Parti GERAKAN Sedia Terima Hamzah

Melaka Digest
By -
0

GERAKAN bersedia menerima sekiranya parti baharu pimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ingin menyertai Perikatan Nasional (PN), walaupun ia tidak 'direstui' rakan parti komponen, BERSATU.


Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, berkata pendirian GERAKAN adalah mana-mana parti yang mempunyai ideologi sama dialu-alukan untuk menyertai gabungan itu.

Ketika ditanya sama ada penyertaan rumah baharu Hamzah ke dalam PN boleh direalisasikan dalam keadaan Timbalan Presiden BERSATU itu 'memusuhi' Presiden parti terbabit, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dominic bagaimanapun berkata, ia boleh berlaku kerana pada akhirnya permohonan perlu mengikut peraturan, proses dan perlembagaan yang ditetapkan.

"Mana-mana parti hendak memohon masuk PN, asalkan ideologi yang sama, untuk membantu dan mewakili rakyat dan bersuara dalam Parlimen, kita memang alu-alukan.

"Di PN kita ada peraturan atau perlembagaan kita diri sendiri. Apa-apa permohonan baharu parti nak bersama-sama dengan PN, kita mesti melalui proses yang tertentu.

"Seperti kita katakan dalam PN, kita kena bincang. Mana-mana parti yang hendak masuk PN, kita alu-alukan tetapi mesti ikut prosedur, ikut perlembagaan PN," katanya kepada pemberita, di sini.

Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau tidak mampu membayangkan kerjasama dengan Hamzah pada tempoh terdekat ini kerana beliau sudah tidak mempercayai nama itu lagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sendiri akan menolak sekiranya Hamzah bersama rumah baharunya kelak mahu menyertai PN.

Sebelum ini, Hamzah dilaporkan akan memimpin sebuah parti baharu selepas dipecat daripada BERSATU Februari lalu.

Pada masa sama, Dominic berkata, GERAKAN tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Hamzah, malah mempunyai hubungan yang erat sepanjang kedua-dua mereka berada dalam PN sebelum ini.

"Kita tiada masalah dengan Hamzah daripada beliau menjadi Setiausaha Agung sampai Timbalan Presiden (BERSATU) dan kitapun melalui banyak pilihan raya bersama juga.

"Semua komponen parti, pemimpin daripada PN, PAS, BERSATU, MIPP, perhubungan kita memang erat," katanya.

Ketika ditanya sama ada Muhyiddin perlu membuka hati untuk menerima kerjasama itu, Dominic berkata, GERAKAN tidak boleh campur tangan pendirian parti komponen PN.

Namun GERAKAN boleh memainkan peranan sebagai pendamai bukan sahaja kepada kedua-dua pemimpin itu malah pihak lain bagi mendepani musuh sebenar yang berada di luar PN.

Dalam perkembangan lain, Dominic berkata, PN turut menerima permohonan penyertaan daripada parti PEJUANG dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, permohonan itu belum diterima kerana gabungan memerlukan lebih butiran maklumat sebelum menetapkan keputusan.

"Kita tidak terima terus, bukan kita tolak, tapi kita nak butiran yang lebih daripada parti terbabit sebelum kita menerima mereka," katanya.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)