Politik Hamzah Zainuddin: “Reset” atau "Ridsect"?

Melaka Digest
By -
0

Apa yang Hamzah Zainuddin dan kumpulannya ingin ‘resetkan’ mengenai politik di negeri ini jika perjalanan politik Hamzah dan kumpulannya bukan menampakkan satu perjalanan ‘pembaharuan politik’ tetapi hanyalah ‘perjuangan kosmetik politik’ yang berselindung di sebalik penggunaan istilah bahasa sedangkan tujuannya hanyalah untuk meraih sokongan yang kian pudar akibat salah percaturan.


Hamzah Zainudin cuba mencuri tumpuan apabila beliau dan kelompoknya mengangkat gagasan “reset” sebagai asas perjuangan baharu. Secara teorinya, istilah ini membawa makna besar kerana ianya berkait dengan penstrukturan semula politik berteraskan integriti, amanah dan tadbir urus yang lebih baik tetapi dalam realiti politik, makna sesuatu slogan sering ditentukan bukan oleh kata-kata tetapi oleh rekod lampau dan tindakan.

Jika ditelusuri perjalanan politik Hamzah dan sekutunya, kritikan utama yang timbul adalah mengenai konsistensi. Corak pergerakan yang dikaitkan dengan perubahan haluan politik iaitu keluar dan dipecat dari parti, konflik dalaman, serta pergeseran kepimpinan.

Malah sebahagian besar dari kumpulan penyokong Hamzah adalah individu yang terkenal dengan “politik lompat katak”. Jadi, persoalan integriti terhadap Hamzah dan kumpulannya menjadi titik tumpuan, adakah tindakan tersebut didorong oleh prinsip atau sekadar strategi survival dalam percaturan kuasa atau pengekalan nama dalam dunia politik di negara ini?

Lebih signifikan, konflik yang melibatkan Muhyiddin Yassin turut membentuk persepsi terhadap naratif ini. Percubaan mencabar kepimpinan parti, walaupun berbeza tafsirannya mengikut kem politik masing-masing, telah meninggalkan kesan terhadap kredibiliti perjuangan Hamzah dan kumpulan penyokongnnya yang kini cuba berselindung di sebalik nama ‘reset’ yang kononnya satu bentuk pembaharuan politik.

Dilema utamanya adalah apabila sesuatu gerakan yang lahir daripada konflik dalaman dan kegagalan strategi dalam perebutan kuasa utama tiba-tiba dijenamakan sebagai “reset”, ia mengundang skeptisisme. Apakah ini benar-benar usaha memperbaiki sistem atau sekadar reaksi terhadap kehilangan pengaruh?

Istilah seperti “integriti”, “amanah” dan “tadbir urus baik” bukan konsep baharu dalam politik Malaysia. Ia telah lama menjadi slogan merentas parti dan generasi. Namun cabaran sebenar bukan pada menyebutnya tetapi membuktikannya secara konsisten terutamanya apabila sejarah politik seseorang pemimpin menunjukkan pola yang berbeza.

Lebih kritikal, rakyat hari ini semakin celik dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik semata-mata. Mereka menilai bukan sahaja apa yang dijanjikan tetapi siapa yang menjanjikan dan bagaimana rekod lampau menyokong atau menafikan tindakan tersebut.

Sehingga hari ini, ke arah mana Hamzah ingin ‘reset’ politik Malaysia apabila diri sendiri masih terkial-kial tidak berparti dan angin kencang bertiup mengatakan beliau hanya mampu menyertai parti yang sedia tertubuh tanpa berani menubuhkan parti dari tangannya sendiri.
 
Yang pasti, Hamzah dan kumpulannya dianggap 'serangga' oleh kumpulan Muhyiddin. 
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)