Ketua Pembangkang Di Parlimen: PAS Termakan Budi Dengan Hamzah?

Melaka Digest
By -
0

Sikap berdolak-dalih Setiausaha Agung PN yang baharu, Takiyuddin Hassan berhubung isu penggantian Ketua Pembangkang terus mengundang kritikan, apabila sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat walaupun keputusan dikatakan telah dimuktamadkan di peringkat Perikatan Nasional (PN).


Sumber dalaman memaklumkan bahawa PN sebelum ini telah mencapai kata sepakat untuk menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada wakil PAS, menggantikan penyandang ketika ini, Hamzah Zainudin. Namun, kelewatan PAS menamakan calon pengganti menimbulkan persoalan serius terhadap ketegasan dan kredibiliti kepimpinan parti itu.

Lebih membimbangkan, beberapa sumber memaklumkan kelewatan ini berkemungkinan berpunca daripada faktor dalaman, termasuk elemen “termakan budi” dalam kalangan pimpinan tertinggi PAS terhadap Hamzah.

Menurut sumber, sentimen tersebut menyebabkan keputusan yang sepatutnya bersifat strategik dan segera menjadi terikat dengan pertimbangan peribadi, sekali gus melemahkan keupayaan PAS untuk bertindak secara tegas.

“Ini bukan soal individu, ini soal institusi. Kalau benar sudah dipersetujui, kenapa masih tangguh? Adakah kerana ada pihak yang masih terikat dengan ‘hutang budi’?” kata sumber berkenaan.

Pemerhati politik melihat situasi ini sebagai satu kegagalan besar PN untuk menampilkan imej sebagai “government in waiting” yang cekap dan tersusun.

Sepatutnya, sebarang peralihan kepimpinan lebih-lebih lagi jawatan penting seperti Ketua Pembangkang patut dilaksanakan dengan pantas dan terancang bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa blok tersebut bersedia mengambil alih pentadbiran negara.

Sebaliknya, kelewatan berterusan ini memberi gambaran bahawa blok PN tiada ketegasan dalam membuat keputusan, kepimpinan terikat dengan kepentingan individu dan kurang kesepaduan dalam kalangan parti komponen. Keadaan ini menyebabkan isu yang sedang di hadapi oleh rakyat contohnya isu harga minyak gagal dimanfaatkan oleh blok pembangkang. Tiada satu kenyataan rasmi atau pandangan rasmi dari pihak pembangkang tentang cadangan alternatif untuk meredakan suhu kemarahan rakyat yang boleh menampakkan bahawa pembangkang di negara ini berfungsi atau berguna.

Dalam beberapa kenyataan sebelum ini, Takiyuddin dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dengan menegaskan tiada keputusan rasmi dibuat berhubung perlantikan Ketua Pembangkang di parlimen, walaupun sumber dalaman menyatakan sebaliknya.

Pendekatan ini ditafsirkan sebagai cubaan “main selamat” bagi mengelakkan konflik kepentingan dalaman, namun dalam masa yang sama mengorbankan kejelasan dan ketelusan kepada umum.

Penganalisis berpendapat, sikap sedemikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan PN sebagai blok alternatif yang stabil.

Jika isu ini terus berlarutan tanpa penyelesaian maka akan berlaku tekanan terhadap PAS untuk segera menamakan calon dan menamatkan polemik yang berpanjangan.

Kelewatan demi kelewatan bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif terhadap PAS, malah turut memberi kesan kepada keseluruhan imej PN sebagai sebuah gabungan yang sepatutnya bersedia mentadbir negara.

Siapa yang termakan budi dengan Hamzah? Takiyuddin atau PAS?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)