Persoalan mengapa harga minyak di Sabah dan Sarawak lebih murah berbanding Semenanjung dijadikan bahan politik kononnya wujud ketidakadilan dalam negara. Namun hakikatnya adalah wujudnya cubaan untuk tidak bercakap benar di dalam isu tersebut dengan mengabaikan asas sebenar iaitu bagaimana dasar awam dirangka untuk menyeimbangkan realiti yang tidak seragam.
Pertama, Malaysia tidak mengamalkan sistem harga bahan api sepenuhnya berasaskan pasaran bebas. Harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel ditentukan melalui mekanisme harga siling serta subsidi kerajaan. Ini bermakna apa yang dibayar di pam bukan harga sebenar tetapi harga yang telah diselaraskan melalui intervensi fiskal. Dalam konteks ini, Sabah dan Sarawak menerima pelarasan subsidi yang berbeza dan bukan sebagai keistimewaan tetapi sebagai sebahagian daripada reka bentuk dasar.
Kedua, realiti geografi tidak boleh diabaikan. Sabah dan Sarawak mempunyai keluasan wilayah yang besar, kepadatan penduduk yang rendah serta infrastruktur yang tidak setanding dengan Semenanjung. Kos mobiliti harian rakyat di sana lebih tinggi dengan jarak perjalanan yang jauh dan pilihan pengangkutan yang terhad. Maka harga bahan api yang lebih rendah berfungsi sebagai mekanisme imbangan dan ianya bukan kelebihan mutlak.
Ketiga, perlu diakui bahawa Sabah dan Sarawak merupakan antara penyumbang utama kepada pengeluaran petroleum negara. Walaupun hanya menerima sekitar lima peratus royalti, sumbangan ini menjadikan hujah imbangan ekonomi lebih relevan. Dalam kerangka dasar awam, ini selari dengan prinsip bahawa wilayah penyumbang wajar menikmati sebahagian manfaat daripada sumber yang dihasilkan.
Namun, satu dimensi yang sering sengaja diketepikan ialah kos sara hidup keseluruhan. Walaupun harga minyak lebih rendah, banyak barangan asas di Sabah dan Sarawak sebenarnya lebih mahal berbanding Semenanjung. Kos logistik, pergantungan kepada penghantaran antara wilayah serta keterbatasan rantaian bekalan menyebabkan harga makanan, bahan binaan dan keperluan harian meningkat. Ini membuktikan bahawa harga minyak murah tidak secara automatik bermaksud kos hidup lebih rendah.
Dalam konteks ekonomi umum, pendekatan ini dikenali sebagai “equity over equality”, keadilan berbanding kesamarataan. Kesamarataan menuntut harga yang sama di semua tempat tetapi keadilan menuntut dasar yang mengambil kira perbezaan realiti. Malaysia memilih pendekatan kedua, kerana struktur ekonomi dan geografi yang tidak seragam memerlukan penyelesaian yang lebih seimbang.
Malangnya, perbahasan politik sering memilih jalan mudah. Perbandingan dibuat secara linear iaitu harga di Sabah dan Sarawak dibandingkan terus dengan Semenanjung tanpa mengambil kira subsidi, kos logistik, struktur pasaran dan keseluruhan kos sara hidup. Pendekatan ini bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi mengelirukan rakyat. Pembangkang menggunakan pendekatan ini untuk menunjukkan betapa lemahnya kerajaan pusat hari ini.
Lebih membimbangkan, isu ini kerap dijadikan alat untuk membina sentiment dan bukannya mencari penyelesaian. Pihak yang lantang mempertikaikan perbezaan ini jarang sekali menawarkan alternatif dasar yang praktikal. Mereka tidak menjelaskan sama ada mahu menyeragamkan harga (yang mungkin meningkatkan beban di Sabah dan Sarawak) atau mengurangkan subsidi secara keseluruhan (yang akan memberi kesan kepada semua rakyat).
Akhirnya, perbahasan mengenai harga minyak tidak seharusnya terperangkap dalam retorik angka di pam semata-mata. Ia perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas dengan melibatkan dasar subsidi, realiti geografi, sumbangan ekonomi wilayah dan kos sara hidup sebenar.
Ini bukan soal siapa mendapat harga lebih murah tetapi bagaimana negara mengurus keadilan dalam kepelbagaian. Tanpa konteks, perbandingan hanya menjadi alat propaganda dan bukan analisis.
