Pengumuman bahawa PAS menyasar bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menimbulkan persoalan lebih besar yang tidak boleh diabaikan. Dalam landskap politik yang semakin kompleks, tumpuan tidak seharusnya hanya terarah kepada satu parti semata-mata tetapi perlu melihat gambaran keseluruhan.
Jika PAS sudah jelas dengan 16 kerusi, bagaimana pula dengan parti lain dalam blok atau luar blok? Di mana kedudukan parti seperti Bersatu, Gerakan, Pejuang, United for the Rights of Malaysians Party, kumpulan bekas HINDRAF, serta parti lain seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia?
Persoalan ini bukan sekadar angka tetapi menyentuh soal strategi, pembahagian kerusi dan realiti kekuatan sebenar di lapangan. Dalam mana-mana pilihan raya, kemenangan tidak ditentukan oleh jumlah kerusi yang diumumkan, tetapi sejauh mana kesepaduan dan kejelasan strategi antara parti-parti yang bertanding.
Melaka yang mempunyai hanya 28 kerusi DUN dan nampaknya PAS mula tunjuk lagak sebagai ‘Abang Besar’.
Pengumuman PAS perlu dilihat secara lebih kritikal. Adakah ia sebahagian daripada strategi menyeluruh bersama rakan politik atau sekadar kenyataan awal tanpa gambaran lengkap pembahagian kerusi? Tanpa jawapan jelas, naratif kekuatan boleh bertukar menjadi tanda tanya.
Pengundi hari ini semakin matang. Mereka bukan sahaja melihat siapa bertanding tetapi bagaimana parti-parti ini mengurus kerjasama, membina kepercayaan dan menawarkan kestabilan.
Wakil rakyat PAS yang ada di Melaka sekarang pun dikatakan tidak berfungsi sebagai wakil rakyat yang diharapkan.
