Isu kehadiran wakil rakyat ke Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka kini semakin panas mula masuk fasa terbaharu iaitu kenapa masih belum ada laporan polis dibuat untuk segerakan siasatan?
Rakyat mula mempersoalkan kewajaran gaji dibayar penuh sekiranya tanggungjawab utama di Dewan tidak dilaksanakan dengan baik.
Tindakan perlu diambil terhadap mana-mana wakil rakyat yang kerap ponteng, gagal menjaga kawasan serta disyaki menyalahgunakan sijil sakit. Apa yang berlaku sekarang bukan sekadar bualan di kedai kopi tetapi tindakan perlu diambil. Ini mencerminkan kebimbangan yang semakin meluas dalam kalangan rakyat terhadap tahap komitmen sebahagian wakil rakyat dalam menjalankan tugas mereka.
Alasan kesihatan sememangnya boleh diterima, namun ia menimbulkan tanda tanya apabila individu yang sama masih dilihat aktif menghadiri program politik. Keadaan ini mencetuskan persoalan besar dalam kalangan rakyat, jika benar tidak sihat untuk hadir sidang DUN, bagaimana pula boleh hadir ke ceramah atau program parti dan tiada kelihatan alat sokongan seperti tongkat ketika berjalan?
Situasi ini dilihat seolah-olah menunjukkan keutamaan yang tidak selari apabila tanggungjawab rasmi sebagai wakil rakyat diketepikan, manakala aktiviti politik tetap diteruskan. Lebih mencetuskan perhatian apabila terdapat kenyataan yang dilihat mengutamakan pelancaran jentera parti berbanding kehadiran ke Sidang DUN Melaka. Perkara ini secara tidak langsung menguatkan persepsi bahawa amanah rakyat tidak diberi keutamaan sewajarnya.
Dalam masa yang sama, isu penyalahgunaan sijil sakit bukan perkara kecil kerana ia merupakan kesalahan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan Malaysia.
Mengemukakan sijil sakit palsu boleh diklasifikasikan sebagai pemalsuan dokumen di bawah Seksyen 468 dan 471 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi penjawat awam, tindakan ini juga melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 yang boleh membawa kepada tindakan tatatertib termasuk pemecatan, manakala bagi pekerja swasta, ia melanggar Akta Kerja 1955 dan boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan.
Lebih penting, doktor yang meluluskan sijil sakit juga tidak boleh terlepas daripada perhatian sekiranya berlaku penyalahgunaan. Sekiranya terdapat unsur kelulusan tanpa pemeriksaan sah atau bersubahat dalam pemalsuan dokumen, siasatan wajar dijalankan bagi memastikan integriti sistem kesihatan terus terpelihara dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan tertentu.
Isu ini bukan lagi berkisar kepada individu semata-mata tetapi melibatkan prinsip besar iaitu integriti, tanggungjawab dan kepercayaan rakyat.
