Apa yang berlaku di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) bukan sekadar kisah sekumpulan anak muda menjadikan balai perlepasan sebagai ‘litar lumba’. Itu hanya permukaan. Yang lebih besar dan lebih membimbangkan ialah mengapa fenomena ini berlaku dan lebih penting, siapa sebenarnya yang gagal sehingga ruang awam bertukar menjadi pentas rempit?
Selepas lebih 40 tahun pentadbiran negeri di bawah PAS, naratif “anak muda bermasalah” sudah terlalu mudah dijadikan alasan. Hakikatnya, apabila peluang, kemudahan dan hala tuju gagal disediakan secara konsisten, maka kekosongan itu akan diisi dan selalunya dengan cara yang salah. Anak muda tidak lahir sebagai ‘rempit’ tapi mereka dibentuk oleh persekitaran yang membiarkan mereka tiada pilihan yang lebih baik.
Di negeri yang sering bercakap soal moral dan nilai, realiti di lapangan menceritakan kisah yang berbeza. Infrastruktur asas masih menjadi isu berpanjangan dengan bekalan air bersih yang tidak stabil, jalan raya sempit yang sesak setiap kali musim perayaan dan ketiadaan fasiliti rekreasi moden yang mampu menampung minat generasi muda. Dalam keadaan ini, adakah mengejutkan apabila kawasan lapangan terbang yang luas, terang dan terbuka akhirnya dijadikan ‘litar alternatif’?
Lebih ironik, apabila kejadian ini tular, barulah rondaan dipertingkatkan. Seolah-olah penyelesaian hanya hadir selepas imej tercalar, bukan sebelum masalah membarah. Ini bukan soal penguatkuasaan semata-mata namun ini soal kegagalan perancangan jangka panjang. Jika kemudahan seperti litar sah untuk peminat motosikal diwujudkan sejak awal, adakah LTSIP akan menjadi mangsa?
Masalah ini juga tidak terpisah daripada isu sosial yang lebih luas. Dadah, pengangguran terselindung, sumbang mahram, rogol dan kekurangan aktiviti sihat untuk belia bukan perkara baharu di Kelantan. Namun, pendekatan yang diambil sering bersifat reaktif, bukan preventif. Menyalahkan anak muda tanpa memperbaiki ekosistem yang membentuk mereka hanyalah mengitar semula masalah yang sama.
Ada juga yang cuba mengalih naratif dengan mengatakan rakyat Kelantan “kaya raya”. Jika benar, kekayaan itu jelas bukan hasil sistem negeri yang efisien tetapi usaha individu yang terpaksa berdikari di luar kerangka pembangunan tempatan. Ini menimbulkan satu persoalan asas, jika rakyat boleh berjaya sendiri, apakah peranan sebenar kerajaan negeri selama ini?
Insiden rempit di lapangan terbang ini sepatutnya membuka mata rakyat bahawa ia bukan kegagalan anak muda semata-mata tetapi refleksi kegagalan kepimpinan dalam menyediakan arah, ruang dan peluang. Selagi punca sebenar tidak diakui, episod seperti ini akan terus berulang dan mungkin di lokasi berbeza tetapi dengan cerita yang sama.
