Tindakan Ahli Parlimen Jasin daripada PAS, Zulkifli Ismail, yang dilihat turun padang menggunakan platform NGO Muafakat Nasional ketika menyantuni masyarakat mula mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan netizen dan pemerhati politik tempatan.
Antara persoalan yang paling hangat dibincangkan ialah mengapa pendekatan tersebut tidak dilakukan secara terbuka menggunakan lambang PAS atau Perikatan Nasional (PN), sedangkan beliau merupakan wakil rakyat yang memenangi kerusi atas tiket gabungan politik tersebut.
Situasi itu menimbulkan tanda tanya sama ada wujud kebimbangan bahawa identiti parti mungkin kurang diterima dalam sesetengah kelompok masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi.
Perbincangan ini menjadi lebih sensitif apabila nama Zulkifli sebelum ini turut dikaitkan dengan kes saman fitnah melibatkan Menteri Pendidikan yang menyaksikan beliau didapati bersalah oleh mahkamah. Justeru, ada pihak beranggapan penggunaan platform NGO mungkin sebahagian daripada strategi pemulihan persepsi awam terhadap dirinya. BACA kes Zulkifli di SINI.
Dalam masa sama, perhatian turut terarah kepada kemunculan Khairuddin Abu Hassan dalam gerakan yang dikaitkan dengan Muafakat Nasional. Khairuddin sebelum ini cukup dikenali sebagai individu rapat dengan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai spekulasi mengenai hala tuju politik semasa.
Walaupun Khairuddin dikatakan baru sahaja menjadi ahli PAS, persoalan yang masih bermain di fikiran ramai ialah mengapa beliau tidak memilih untuk bersama parti Mahathir Mohamad sendiri sebelum ini, iaitu Parti Pejuang Tanah Air.
Pemerhati politik melihat perkembangan ini sebagai petanda bahawa percaturan politik menjelang pilihan raya akan datang semakin kompleks dengan penggunaan NGO, gerakan luar parti dan pendekatan imej “merentas sempadan politik” mungkin menjadi strategi baharu untuk mendekati pengundi.
Apa pun alasannya, persoalan utama yang terus dibangkitkan rakyat tetap sama jika benar yakin dengan perjuangan dan kekuatan parti sendiri, mengapa perlu berselindung di sebalik platform lain?

