Ali Pasir Berbohong - Sulaiman

Melaka Digest
By -
0

Bekas Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali tampil menafikan dakwaan kononnya Presiden UMNO pernah membuat janji untuk menyerahkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka kepada Ab Rauf Yusoh seperti yang cuba dimainkan pihak tertentu.


Penafian itu dilihat sebagai jawapan tegas terhadap tuduhan yang dikaitkan dengan Ali Pasir yang sebelum ini didakwa cuba membina persepsi bahawa berlaku “perjanjian politik” dalam kepimpinan UMNO Melaka.

Menurut Sulaiman, dakwaan tersebut tidak benar dan tidak pernah berlaku seperti yang digambarkan. Beliau menegaskan bahawa perkara berkaitan pelantikan dan kepimpinan parti adalah hak prerogatif pucuk pimpinan serta diputuskan mengikut saluran parti, bukannya melalui janji politik tertentu.

Kenyataan itu juga secara tidak langsung menepis naratif bahawa wujud percaturan tersusun untuk menyerahkan kedudukan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka daripada beliau kepada Ab Rauf sejak awal lagi.

Isu berkenaan kembali hangat apabila timbul pelbagai dakwaan di media sosial yang cuba mengaitkan perubahan kepimpinan Melaka dengan “janji dalaman” parti. Namun sebelum ini, Ab Rauf sendiri pernah menafikan dakwaan bahawa berlaku pertukaran kepimpinan UMNO Melaka dalam masa terdekat. 

Untuk rekod, Sulaiman pernah menafikan laporan bahawa beliau akan melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka sebelum penggantian berlaku pada tahun 2023. 

Pemerhati politik melihat penjelasan terbaru Sulaiman penting bagi meredakan pelbagai spekulasi yang boleh mengeruhkan hubungan dalaman UMNO Melaka menjelang landskap politik negeri yang semakin mencabar.

Apa yang lebih penting, rakyat hari ini semakin matang menilai. Politik persepsi dan tuduhan tanpa bukti mungkin mencipta sensasi sementara, tetapi akhirnya fakta dan penjelasan rasmi tetap menjadi penentu utama.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)