Gerakan “RESET” yang suatu ketika dahulu digambarkan kononnya bakal menjadi gelombang baharu dalam politik pembangkang kini dilihat semakin kehilangan arah apabila satu demi satu perancangan besar mereka gagal menjadi kenyataan.
Apa yang lebih menarik, keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak menerima kemasukan parti baharu dilihat menjadi tamparan paling kuat kepada kelompok tersebut sekali gus melegakan ramai pemimpin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang sejak awal dikatakan kurang selesa dengan percaturan politik “geng RESET”.
Dulu, penyokong mereka dimomokkan dengan cerita bahawa ketua geng bakal menjadi Perdana Menteri. Ahli-ahli pula sudah mula memasang angan-angan besar untuk menjadi menteri dan timbalan menteri apabila “pelan besar” berjaya dilaksanakan.
Namun akhirnya, semuanya tinggal mimpi politik.
Apabila rancangan pertama gagal, alasan baharu pula muncul. Kononnya kerjasama politik tidak menjadi kerana ada pihak dalam gabungan tidak menyukai presiden parti tertentu. Entah benar atau sekadar alasan untuk menyelamatkan keadaan, pengikut diminta percaya bahawa masalah sebenar hanyalah pada individu tertentu.
Maka bermulalah gerakan menjatuhkan presiden sendiri.
Parti dikocak dari dalam. Serangan demi serangan dibuat. Kem dibelah. Ahli dihasut. Suasana parti menjadi koyak-rabak semata-mata mahu membuka laluan kepada “pelan reset” mereka.
Tetapi akhirnya apa jadi?
Presiden yang mahu dijatuhkan masih berdiri teguh.
Sebaliknya, ketua geng pula yang tercampak keluar daripada permainan.
Namun drama belum berakhir.
Selepas gagal menguasai parti sendiri, penyokong pula diberitahu bahawa mereka kini mempunyai “rumah baharu”. Kononnya sudah ada parti yang berjaya diambil alih untuk dijadikan platform politik baharu.
Tetapi selepas disemak, parti yang diwar-warkan itu rupanya belum pun wujud secara rasmi.
Belum berdaftar.
Belum sah.
Pendek kata, parti “ghaib”.
Di sinilah ramai pengikut mula tersedar bahawa mereka sebenarnya sedang dibawa berjalan dalam projek politik yang penuh ilusi dan janji kosong.
Tidak cukup dengan itu, muncul pula naratif baharu.
Kononnya ada sebuah parti lain yang sedang menunggu untuk diterima masuk ke dalam PN. Selepas parti itu diterima, mereka merancang untuk masuk beramai-ramai, mengambil alih parti tersebut dan seterusnya menguasai PN dari dalam.
Penyokong kembali dihembus semangat.
Sudah ada yang kononnya bersedia meraikan “kejayaan besar” ketua geng.
Tetapi sekali lagi, realiti politik menghancurkan angan-angan tersebut apabila Majlis Tertinggi PN membuat keputusan bahawa tiada parti baharu akan diterima masuk ke dalam gabungan itu buat masa ini.
Sekali lagi mereka “langgar dinding”.
Sekali lagi pengikut ditinggalkan dengan persoalan yang sama:
Apa sebenarnya pelan besar ini?
Dan sampai bila mereka perlu terus percaya kepada janji yang tidak pernah menjadi?
Hakikatnya, politik bukan sekadar retorik dan permainan persepsi.
Politik memerlukan kestabilan, kejelasan arah dan kepimpinan yang benar-benar mempunyai strategi realistik bukan sekadar menjual harapan kepada pengikut setiap kali rancangan lama gagal.
Sebab itu ramai kini melihat keputusan PN menutup pintu kepada kemasukan parti baharu sebagai mesej jelas bahawa gabungan itu sendiri tidak mahu menjadi medan eksperimen kepada percaturan politik kelompok tertentu.
Dan kalau seorang penyokong masih terus diminta percaya selepas satu demi satu rancangan gagal, mungkin sudah tiba masanya mereka bertanya soalan paling mudah:
“Boss… sebenarnya apa yang sedang berlaku?”
Olahan semula oleh Pelanggan Ridsek
-

