Sanusi Ambil Tanah Kerajaan Buat Rumah Sendiri?

Melaka Digest
By -
0

Kontroversi melibatkan dakwaan pemilikan lot tanah PT 13189 Seksyen 36 yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kini mula timbul tanya dalam kalangan rakyat khususnya apabila ia melibatkan tanah bernilai tinggi, status pegangan selama-lamanya dan dikatakan diperoleh ketika masih baru memegang kuasa sebagai Menteri Besar.


Rakyat bukan marah kerana seseorang pemimpin memiliki tanah tetapi rakyat berhak bertanya apabila tanah tersebut didakwa mempunyai kaitan dengan tanah kerajaan negeri dan berlaku ketika individu berkenaan masih terlalu baharu berada di tampuk kuasa pentadbiran negeri.

Lebih menarik perhatian apabila geran tanah yang didedahkan memaparkan nama “Muhammad Sanusi bin Md Nor” sebagai pemilik dengan tarikh pendaftaran hak milik pada 29 September 2024 ketika beliau masih baru menjadi Menteri Besar Kedah.

Tanah tersebut pula bukan kecil nilainya.

Dengan keluasan sekitar 1,630 meter persegi atau lebih kurang 17,545 kaki persegi, kategori kegunaan bangunan dan berada di lokasi strategik berhampiran kawasan bandar elit, nilai anggaran tanah itu dikatakan boleh mencecah antara RM1.75 juta hingga RM2.28 juta bergantung kepada harga semasa pasaran.

Sebab itu rakyat mula bertanya. Tanah ini asalnya milik siapa? Adakah ia tanah kerajaan negeri?

Kalau benar tanah kerajaan, bagaimana proses ia boleh jatuh ke tangan seorang Menteri Besar yang baru memegang kuasa? Tempoh pemerintahan Sanusi sendiri ketika tanah itu didakwa dianugerahkan masih belum pun cukup satu penggal penuh lima tahun selepas PRN Kedah.

Dalam masa sama, rakyat turut membandingkan situasi ini dengan nasib 31 keluarga di Kupang, Baling yang didakwa menerima arahan pengosongan tanah tanpa pampasan.

Lebih menyentuh hati apabila kawasan itu dikatakan mempunyai sejarah panjang dengan PAS sendiri termasuk tapak ceramah era arwah Fadzil Noor, rumah mengaji, PASTI dan bilik gerakan parti.

Malah rumah milik bekas Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak juga dikatakan berada di kawasan tersebut. Di sinilah rakyat mula melihat percanggahan moral yang sukar dijelaskan.

Bagaimana seorang Menteri Besar boleh dikaitkan dengan tanah anugerah bernilai tinggi tetapi pada masa sama rakyat biasa termasuk penyokong sendiri didakwa diminta mengosongkan kawasan yang didiami bertahun-tahun tanpa pampasan?

Rakyat bukan mahu menghukum tanpa fakta.

Rakyat hanya mahukan penjelasan.

Kalau tanah itu dibeli menggunakan wang sendiri melalui proses biasa, maka tunjukkan sahaja bukti pembelian dan transaksi. Selesai cerita, tetapi apabila melibatkan tanah kerajaan, kuasa politik dan penganugerahan ketika masih memegang jawatan, maka ia bukan lagi isu peribadi.

Ia menjadi isu integriti pentadbiran negeri.

Lebih-lebih lagi apabila PAS selama ini sering membawa imej “bersih”, “amanah” dan “membela rakyat”.

Sebab itu rakyat melihat isu ini bukan sekadar soal tanah.

Ini soal prinsip.

Ini soal keadilan dan ini soal sama ada kuasa digunakan untuk rakyat atau akhirnya memberi kelebihan kepada kelompok elit politik sendiri.

Jangan marah rakyat kerana bertanya.
 



 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)