Benarkah PAS Sebuah 'Gerakan Islam' Seperti Didakwa Oleh Ahli Parlimen Jasin?

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail bahawa “duit gerakan Islam itu daripada poket ahli-ahlinya” kini mula menimbulkan persoalan di kalangan rakyat, adakah PAS benar-benar sebuah gerakan Islam atau sekadar parti politik yang menggunakan imej agama untuk meraih sokongan dan kutipan dana?


Kalau benar PAS sebuah gerakan Islam, di manakah suara para pemimpinnya ketika Ahli Parlimen PAS Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh dikecam kerana didakwa menghina dan memperlekehkan Sahabat Nabi SAW?

Mengapa rakyat dan netizen lebih lantang mendesak permohonan maaf berbanding pimpinan PAS sendiri di dalam isu Zawawi menghina Sahabat Nabi saw?

Mengapa tokoh yang dilabel “Tuan Guru” dan agamawan dalam PAS begitu membisu ketika isu melibatkan maruah Sahabat Nabi SAW dipersoalkan? Inilah persoalan yang mula bermain dalam fikiran rakyat.

Malah, menggunakan nama tokoh besar Islam seperti Hassan al-Banna untuk meraih derma politik juga bukan perkara kecil. Islam mengajar keikhlasan perjuangan, bukan eksploitasi nama tokoh agama tertentu untuk mengukuhkan kuasa politik.

Para Sahabat Nabi SAW tidak pernah menjadikan nama Rasulullah SAW sebagai alat kempen kutipan dana selepas kewafatan Baginda. Mereka membina kekuatan umat melalui amanah, integriti dan pengorbanan sebenar dan bukan sentimen politik yang berselindung di sebalik slogan agama.

Lebih menarik apabila Zulkifli turut menyebut:

“Jangan sesekali memandang remeh soal ekonomi ini. Kita bukan hanya perlu kuat dari sudut siasah dan tarbiyah, bahkan kekuatan ekonomi juga amat penting…”

Persoalannya, apakah maksud sebenar “kekuatan ekonomi” yang dimaksudkan itu?

Adakah kutipan derma politik atas nama perjuangan Islam kini dianggap sebagai model ekonomi domestik?

Atau PAS sebenarnya sedang cuba membina empayar politik menggunakan sentimen agama sebagai bahan bakar kewangan?

Rakyat hari ini semakin celik. Mereka bukan lagi menilai hanya berdasarkan serban, kopiah atau gelaran “ustaz”. Rakyat mahu melihat keberanian menegur kesalahan sendiri, mempertahankan akhlak Islam secara konsisten dan meletakkan kebenaran lebih tinggi daripada kepentingan parti.

Kalau benar PAS mahu dilihat sebagai gerakan Islam, maka mereka mesti membuktikannya melalui tindakan dan bukan sekadar slogan, kutipan dana dan retorik pentas ceramah.

“Itu belum masuk memfitnah, menghasut dan mengadu domba sebagai alat kempen politik” kata seorang penganalisis politik Melaka.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)