Sejak Barisan Nasional kembali menerajui Melaka selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu, landskap pentadbiran negeri itu semakin jelas menunjukkan satu perbezaan besar antara politik persepsi dan politik bekerja.
Ketika sesetengah pihak terus sibuk bermain sentimen, menyerang peribadi dan mencipta naratif media sosial, kerajaan BN Melaka pimpinan YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memilih untuk bergerak dengan pasukan ADUN UMNO-BN melalui pendekatan lebih tenang, fokus kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan negeri memberi tumpuan besar kepada pengukuhan ekonomi, kemasukan pelaburan baharu dan pembangunan peluang pekerjaan khususnya untuk anak muda Melaka.
Pendekatan kerajaan negeri yang lebih stabil dan tersusun berjaya mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Melaka selepas beberapa tahun negeri itu berdepan ketidaktentuan politik.
Dalam masa sama, sektor TVET dan latihan kemahiran turut diperkasakan bagi memastikan anak muda tidak hanya bergantung kepada pekerjaan tradisional tetapi mampu bersaing dalam sektor teknologi, industri dan ekonomi baharu.
Kerajaan BN Melaka juga dilihat lebih agresif dalam menyelesaikan isu rakyat yang bersifat praktikal termasuk perumahan rakyat, saliran dan tebatan banjir, kebersihan bandar, infrastruktur tempatan serta pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Berbanding pembangkang yang gemar bermain politik persepsi, kerajaan negeri memilih untuk turun padang menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Hakikatnya, rakyat Melaka hari ini tidak menilai kerajaan hanya melalui ceramah atau TikTok politik semata-mata. Rakyat melihat siapa yang benar-benar bekerja.
Rakyat Melaka sendiri boleh bezakan ADUN mana yang bekerja untuk rakyat dan siapa pula sibuk dengan ceramah memburukkan orang lain tanpa bukti. Malah lebih sedih dan membazir duit pembayar cukai bagi menyediakan gaji, elaun dan kemudahan mereka, ada ADUN pembangkang yang asyik tiada di dalam kawasan dan hanya gemar menghasut di media sosial. Aduan dari masyarakat yang diwakilinya terabai sehinggakan kerajaan negeri melalui ADUN UMNO BN datang untuk selesaikannya.
Dalam sektor digital dan teknologi pula, kerajaan negeri mula memberi fokus kepada agenda pendigitalan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan supaya lebih pantas, cekap dan mesra rakyat.
Tidak cukup dengan itu, sektor pelancongan Melaka yang menjadi nadi ekonomi negeri terus diperkasakan menerusi pelbagai program promosi dan pembangunan produk pelancongan baharu bagi memastikan Melaka kekal relevan sebagai destinasi utama negara.
Apa yang lebih penting, pentadbiran BN Melaka hari ini dilihat lebih stabil berbanding episod pergolakan politik sebelum ini yang hanya merugikan rakyat dan menjejaskan keyakinan pelabur.
Rakyat sebenarnya sudah penat dengan politik drama.
Rakyat mahu kerajaan yang boleh bekerja, membuat keputusan dan membawa hasil kepada negeri.
Sebab itu, walaupun pembangkang terus menyerang dari sudut persepsi, realitinya banyak agenda pembangunan negeri masih terus berjalan.
Jalan raya terus dinaik taraf. Projek pembangunan diteruskan. Bantuan rakyat diperluaskan. Pelaburan masuk. Peluang pekerjaan diwujudkan.
Inilah perbezaan antara kerajaan yang sibuk bercakap dengan kerajaan yang sibuk bekerja.
BN Melaka mungkin tidak sempurna tetapi rakyat boleh melihat sendiri bahawa pentadbiran hari ini jauh lebih fokus kepada kestabilan dan pembangunan berbanding politik tidak berkesudahan.
Akhirnya, rakyat akan menilai bukan berdasarkan siapa paling kuat menjerit di media sosial, tetapi siapa yang benar-benar mampu mentadbir negeri dengan matang, stabil dan membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
Lagi satu, BN Melaka boleh terus kekalkan kemenangan besar jika tiada dalang yang tamak kuasa dan cuba rosakkan nama baik UMNO BN di Melaka dengan menjadi ‘barua politik’ kepada pihak musuh.
.jpeg)
