Chegu Bard Akui Memfitnah Nik Nazmi

Melaka Digest
By -
0

Dalam landskap politik hari ini, satu fenomena yang semakin membimbangkan mula menjadi kebiasaan fitnah dijadikan bahan kempen. Tuduhan dilontarkan dengan mudah, disebarkan secara meluas dan akhirnya ditutup dengan satu perkataan, MAAF. Persoalannya, adakah permohonan maaf itu benar-benar mampu memadam kesan fitnah yang telah tersebar?


Realitinya tidak semudah itu. Dalam dunia media sosial yang bergerak pantas, sesuatu tuduhan boleh sampai kepada ribuan, malah jutaan orang dalam masa singkat. Namun apabila kebenaran muncul dan permohonan maaf dibuat, tidak semua yang pernah mendengar fitnah tersebut akan mengetahui hakikat sebenar. Akibatnya, persepsi yang salah terus kekal, walaupun fakta telah diperbetulkan.

Kes melibatkan Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin menjadi contoh terkini yang jelas bagaimana isu ini berlaku. Saman fitnah yang difailkan akhirnya diselesaikan di mahkamah selepas Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard membuat permohonan maaf secara terbuka serta mengakui bahawa dakwaan yang dibuat adalah palsu dan tidak berasas.

Dalam penghakiman persetujuan yang direkodkan, beliau bukan sahaja menarik balik semua kenyataan, malah berjanji untuk tidak mengulangi dakwaan sama serta mengeluarkan kandungan berkaitan daripada semua platform media sosialnya. Mahkamah turut mengarahkan permohonan maaf itu disiarkan dalam tempoh 24 jam, menunjukkan betapa seriusnya implikasi undang-undang terhadap penyebaran fitnah.

Namun, penyelesaian kes ini menimbulkan persoalan yang lebiih serius, adakah budaya “fitnah dahulu, minta maaf kemudian” sedang dinormalisasikan dalam politik?

Ini kerana kesannya tidak terhenti di mahkamah. Reputasi individu yang difitnah mungkin telah tercalar, kepercayaan awam mungkin telah terhakis dan naratif palsu mungkin telah pun membentuk persepsi yang sukar dipulihkan sepenuhnya.

Lebih membimbangkan, apabila tindakan sedemikian tidak diambil sebagai pengajaran, ia berisiko menjadi amalan berulang seolah-olah permohonan maaf dianggap sebagai jalan keluar mudah selepas sesuatu fitnah dilemparkan.

Hakikatnya, politik memerlukan persaingan idea, bukan perlumbaan menyebarkan tuduhan. Kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan integriti dan keadilan.

Kes ini sepatutnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa setiap kenyataan mempunyai implikasi, dan setiap fitnah membawa kesan yang tidak mudah dipadam.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)