Hilang Keyakinan: 200 Ahli Bersatu Masjid Tanah Tinggalkan Mas Ermieyatie

Melaka Digest
By -
0

Gelombang “Rumah Bangsa” yang diinspirasikan oleh Presiden UMNO Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat semakin memberi kesan besar dalam landskap politik Melayu apabila bukan sahaja ribuan bekas ahli UMNO kembali bersama parti itu, malah bahangnya kini mula dirasai di Masjid Tanah, Melaka.


Malam tadi, kira-kira 200 ahli Parti Bersatu Masjid Tanah dilaporkan mengambil keputusan meninggalkan parti tersebut dan kembali menyertai UMNO selepas mendakwa hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut beberapa sumber akar umbi, mereka mula kecewa apabila merasakan diri hanya dipergunakan dalam percaturan politik yang sentiasa berubah arah mengikut kepentingan kelompok tertentu.

“Dulu kami dipujuk masuk Bersatu. Lepas itu diajak sertai kumpulan RESET. Sekarang diminta pula bersedia menyertai parti baharu yang dikatakan akan diketuai oleh Hamzah Zainudin,” kata salah seorang bekas ahli Bersatu yang kembali menyertai UMNO.

Bagi mereka, keadaan itu menunjukkan perjuangan politik yang dibawa tidak lagi berpaksikan kepentingan rakyat Masjid Tanah, sebaliknya lebih tertumpu kepada survival politik individu tertentu.

Malah ada yang secara terbuka mendakwa Mas Ermieyatie terlalu kerap menukar arah politik sehingga menyebabkan penyokong akar umbi menjadi keliru dan akhirnya terbiar tanpa hala tuju yang jelas.

“Rakyat Masjid Tanah bukan bahan eksperimen politik. Hari ini sokong orang itu, esok ikut orang lain. Akhirnya rakyat juga yang dibiarkan terkontang-kanting,” kata seorang lagi.

Kritikan terhadap prestasi Mas Ermieyatie sebagai Ahli Parlimen juga bukan perkara baharu. Dalam kalangan rakyat tempatan, mula timbul persoalan sejauh mana isu-isu Melaka dan khususnya Masjid Tanah benar-benar diperjuangkan di Parlimen.

Mereka mempersoalkan berapa kali sebenarnya isu rakyat tempatan dibawa secara serius, termasuk soal pembangunan kawasan, peluang pekerjaan, pelancongan dan ekonomi setempat.

Ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan sebelum ini, ramai juga melihat tiada impak besar yang benar-benar berjaya dibawa untuk melonjakkan sektor pelancongan Melaka ke tahap lebih tinggi.

Sebaliknya, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilihat lebih agresif dalam memperkukuh pembangunan ekonomi dan pelancongan negeri ketika ini.

Dalam kalangan masyarakat tempatan, Mas Ermieyatie juga sering dikaitkan dengan gelaran sinis “YB Tenggek” kerana didakwa lebih cenderung menumpang isu yang dibangkitkan pihak lain berbanding membawa idea serta agenda sendiri untuk rakyat.

Sebab itu, penghijrahan 200 ahli Bersatu Masjid Tanah malam tadi dilihat bukan sekadar pertukaran parti biasa.

Ia menjadi bukti bahawa semakin ramai penyokong akar umbi mula hilang keyakinan terhadap politik lompat kem, gerakan sementara dan percaturan kuasa yang akhirnya tidak membawa manfaat nyata kepada rakyat setempat.

Bagi mereka, rakyat Masjid Tanah hari ini mahukan kestabilan, hala tuju jelas dan pemimpin yang benar-benar konsisten memperjuangkan kawasan, bukan sekadar sibuk mengurus percaturan politik demi kelangsungan kuasa sendiri.
 






 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)