Dewan Ulama PAS kini berdepan kritikan hebat apabila dilihat begitu pantas dan agresif menyerang isu UEC, namun dalam masa sama gagal menunjukkan ketegasan yang sama ketika timbul kontroversi melibatkan Ahli Parlimen PAS sendiri, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina Sahabat Nabi SAW termasuk mertua Baginda SAW.
Ramai mula mempersoalkan keutamaan sebenar Dewan Ulama PAS.
Mana lebih utama bagi sebuah gerakan yang mendakwa membawa imej Islam?
Isu berkaitan dasar pendidikan negara atau penghormatan terhadap Sahabat Nabi SAW?
Apa yang mencetuskan kemarahan ramai ialah apabila Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Mohd Nor Hamzah tampil begitu lantang memberi amaran bahawa sebarang bentuk pengiktirafan terhadap UEC kononnya bakal membawa “malapetaka” kepada negara.
Beliau malah mendakwa langkah kerajaan membuka laluan tertentu kepada lepasan UEC dan tahfiz ke IPTA bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta boleh merosakkan perpaduan negara.
Namun dalam isu melibatkan kenyataan Zawawi yang menyentuh sensitiviti berkaitan Sahabat Nabi SAW, rakyat melihat Dewan Ulama PAS jauh lebih perlahan, berhati-hati dan seolah-olah cuba mengelak daripada menegur secara terbuka.
Di sinilah timbul persoalan besar dalam kalangan umat Islam sendiri.
Kenapa apabila isu melibatkan politik dan UEC, kenyataan boleh keluar begitu pantas dan keras tetapi apabila melibatkan penghormatan terhadap Sahabat Nabi SAW, nada yang sama gagal kedengaran?
Ramai melihat keadaan ini sebagai satu bentuk “double standard” yang semakin sukar diterima rakyat.
Lebih membimbangkan, PAS dilihat lebih ghairah membina naratif politik terhadap kerajaan berbanding membersihkan kekeliruan akidah dan kefahaman masyarakat yang timbul akibat kenyataan pemimpin mereka sendiri.
Hakikatnya, rakyat boleh membezakan antara perjuangan Islam dengan permainan politik.
Kalau benar mahu mempertahankan agama, maka perkara paling utama sepatutnya ialah menjaga kemuliaan Nabi SAW, keluarga Baginda dan para Sahabat RA daripada sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham serta penghinaan.
Bukannya memilih isu tertentu untuk dijadikan modal politik sementara isu lain yang lebih besar terhadap maruah agama cuba diperlahankan.
Apa yang lebih ironik, PAS sendiri suatu ketika dahulu pernah bersama DAP dan PKR memperjuangkan pengiktirafan UEC ketika era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Hari ini, apabila sentimen Melayu semakin memuncak, nada politik mereka pula berubah menjadi jauh lebih keras terhadap isu yang sama.
Sebab itu ramai mula melihat bahawa isu UEC hari ini bukan sekadar soal dasar pendidikan, tetapi sudah dijadikan senjata politik untuk menyerang lawan dan membina persepsi tertentu terhadap kerajaan.
Malangnya, dalam keghairahan bermain politik, PAS kini dilihat berdepan satu persoalan yang jauh lebih besar. Kenapa isu UEC lebih cepat mendapat “kemarahan” Dewan Ulama PAS berbanding isu penghinaan terhadap Sahabat Nabi SAW sendiri?
Dan persoalan itulah yang kini sedang bermain dalam fikiran ramai umat Islam di negara ini.

