Naratif politik yang mula dimainkan oleh penceramah PAS kononnya hanya parti mereka dan negeri di bawah pentadbirannya seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah menjadi simbol perjuangan Islam kini semakin dipersoalkan apabila fakta sebenar menunjukkan Melaka sedang bergerak jauh lebih agresif dalam memperkukuhkan syiar Islam melalui peruntukan kewangan, program keagamaan dan bantuan rakyat secara menyeluruh.
Di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka,Dato Seri Ab Rauf Yusoh, kerajaan negeri memperuntukkan sekitar RM335 juta setahun untuk semua agensi agama Islam di negeri itu. Jumlah tersebut bukan sahaja besar, malah dilaporkan lebih tinggi daripada perbelanjaan sektor pelancongan negeri, sekali gus membuktikan bahawa agenda Islam diberikan keutamaan yang sangat serius dalam pentadbiran Melaka.
Lebih menarik, komitmen tersebut bukan sekadar angka atas kertas.
Melaka turut melaksanakan lebih 3,500 program keagamaan setiap tahun melibatkan ceramah agama, program selawat, sambutan Maulidur Rasul, Ihya Ramadan, pendidikan al-Quran, program belia masjid dan pelbagai lagi pengisian yang benar-benar menyentuh masyarakat di peringkat akar umbi.
Dalam masa sama, sekitar RM200 juta setahun turut dibelanjakan bagi membantu golongan asnaf melalui pelbagai skim bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Semua ini menunjukkan bahawa pemerkasaan Islam di Melaka bukan sekadar retorik politik atau slogan ceramah, tetapi diterjemahkan melalui bajet besar, program tersusun dan bantuan yang sampai terus kepada rakyat.
Terengganu Banyak Retorik, Melaka Tunjuk Angka
Apa yang mula menjadi perhatian ramai ialah bagaimana Melaka yang sering diserang pembangkang kononnya “terlalu dekat dengan DAP” sebenarnya memperlihatkan rekod pemerkasaan Islam yang jauh lebih tersusun dan besar dari sudut pelaksanaan.
Sebaliknya di Terengganu, walaupun naratif “negara Islam” dan “politik Islam” sering dimainkan secara agresif oleh PAS, angka peruntukan khusus berskala besar seperti RM335 juta setahun untuk keseluruhan agenda syiar Islam tidak begitu jelas dipaparkan kepada rakyat.
Terengganu sememangnya mempunyai pelbagai institusi agama, sekolah pondok dan pusat pengajian Islam, namun persoalan utama yang semakin dibangkitkan ialah sejauh mana agenda tersebut benar-benar diterjemahkan melalui impak ekonomi, pembangunan masyarakat dan bantuan berskala besar kepada rakyat. Dan kebanyakannya adalah wujud di zaman Barisan Nasional memerintah.
Ramai mula melihat bahawa PAS lebih kuat bermain persepsi politik Islam berbanding membina model pentadbiran Islam moden yang benar-benar kompetitif dan progresif.
Melaka Buktikan Negeri Maju Masih Boleh Perkukuh Islam
Apa yang membezakan Melaka ialah negeri itu berjaya membuktikan bahawa pembangunan ekonomi, pelaburan dan syiar Islam boleh bergerak seiring.
Walaupun Melaka merupakan negeri pelancongan dan ekonomi terbuka, identiti Islam negeri itu tidak pernah terhakis seperti yang sering dimainkan oleh pihak tertentu.
Masjid terus diperkasa. Program agama terus berkembang. Bantuan asnaf terus diperluaskan. Pendidikan Islam terus diperkukuhkan.
Ini membuktikan bahawa kekuatan Islam tidak diukur melalui slogan politik semata-mata, tetapi melalui keupayaan kerajaan menyediakan peruntukan, program dan manfaat sebenar kepada umat Islam.
Politik Islam Bukan Sekadar Ceramah Dan Persepsi
Dalam suasana politik hari ini, rakyat semakin matang menilai antara retorik dan realiti.
Rakyat tidak lagi hanya mahu mendengar siapa paling lantang bercakap tentang Islam di atas pentas ceramah. Rakyat mahu melihat siapa benar-benar memperuntukkan bajet besar untuk agama, memperkasakan institusi Islam dan membantu rakyat secara konsisten.
Apa yang jelas, Melaka hari ini sedang memperlihatkan model bahawa negeri maju, moden dan majmuk masih mampu menjadi antara negeri paling aktif memperkukuhkan syiar Islam.
Dan ironinya, negeri yang sering dituduh “kurang Islam” oleh lawan politik kini dilihat mempunyai angka, program dan bantuan yang jauh lebih besar serta tersusun berbanding negeri yang selama ini menjadikan politik Islam sebagai identiti utama mereka.
"Lebai PAS jangan ingat di Terengganu tiada konsert.." kata pemerhati politik Melaka.

