Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka Tempelak ADUN PAS Terengganu, Dakwa 'Politik Ketakutan' Sudah Tidak Laku Di Melaka

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan ADUN PAS, YB Mohd Nor Hamzah dari Terengganu yang datang ke Melaka dan melontarkan pelbagai dakwaan terhadap kerajaan negeri dalam ceramah politiknya dilihat mencetuskan sindiran pedas dari Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Dr. Mustafa Musa


Dr. Mustafa menyifatkan kenyataan tersebut sebagai membina naratif takutkan rakyat dan ianya tidak lagi berpijak pada realiti sebenar keadaan di Melaka hari ini.

Menurut beliau, tuduhan kononnya UMNO mengkhianati Melayu-Islam kerana bekerjasama dengan DAP hanyalah naratif lama yang terus dimainkan PAS bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu menjelang percaturan politik akan datang.

Beliau juga menegaskan bahawa rakyat Melaka hari ini lebih matang dan tidak lagi mudah dipengaruhi dengan sentimen politik sempit yang cuba menggambarkan negeri itu bakal dipenuhi pusat judi, kandang babi dan premis arak secara besar-besaran.

Tambah beliau, EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, Datuk Dr Akmal Salleh turut menegaskan bahawa tiada satu pun kawasan dan juga permit untuk ladang babi dikeluarkan dan ladang babi ditutup sepenuhnya.

“PAS datang ke Melaka dan bercakap seolah-olah Melaka sedang menuju kehancuran moral. Sedangkan selepas lebih tiga tahun kerajaan negeri diterajui majoriti Barisan Nasional bersama Kerajaan Perpaduan, apa yang mereka tuduh langsung tidak berlaku,” katanya.

Menurut beliau lagi, Melaka hari ini kekal aman, stabil dan terus berkembang sebagai antara negeri paling aktif menarik pelaburan, sektor pelancongan dan pembangunan ekonomi.

“PAS cuba momokkan rakyat kononnya Melaka akan dipenuhi kandang babi dan pusat judi. Hakikatnya kerajaan negeri terus memperkasa Islam, menjaga sensitiviti masyarakat Melayu dan memacu ekonomi negeri dengan baik,” katanya lagi.

Beliau turut menyindir kenyataan pimpinan PAS yang mendakwa Melaka perlu “diselamatkan” daripada pengaruh DAP sedangkan identiti Melayu dan Islam di negeri itu tidak pernah terhakis.

Menurut beliau, institusi agama di Melaka terus diperkasakan, program keagamaan berjalan aktif dan masyarakat Melayu kekal menjadi tunjang utama dalam pentadbiran negeri.

Dalam masa sama, Dr. Mustafa turut membidas cubaan ADUN PAS dari Terengganu itu menggunakan sentimen agama dengan memetik ayat al-Quran untuk menggambarkan seolah-olah orang Melayu di Melaka sedang “tersasar” hanya kerana kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, rakyat hari ini lebih mahu melihat kemampuan sesebuah kerajaan menyelesaikan masalah kehidupan harian berbanding terus memainkan politik ketakutan dan sentimen kebencian.

“Rakyat sekarang fikir soal pekerjaan, kos sara hidup, peluang ekonomi dan masa depan anak-anak. Mereka tidak lagi hanya mahu dengar retorik ceramah politik yang menakutkan orang Melayu setiap kali pilihan raya,” katanya.

Beliau turut membandingkan keadaan ekonomi Melaka dan Terengganu yang menurutnya menunjukkan perbezaan jelas dari sudut peluang pekerjaan dan pembangunan negeri.

Menurut beliau, walaupun PAS sering membanggakan “indeks kebahagiaan” Terengganu, ramai anak muda negeri itu sendiri berhijrah ke Kuala Lumpur, Selangor dan Johor untuk mencari pekerjaan kerana peluang ekonomi di negeri sendiri masih terhad.

“Rakyat tidak tertipu dengan indeks kebahagiaan. Rakyat perlukan pekerjaan stabil, ekonomi kukuh, gaji yang baik dan masa depan yang terjamin,” tegasnya.

Beliau juga menyifatkan cubaan PAS mahu mengambil alih kawasan seperti Hang Tuah Jaya dan Bukit Katil hanyalah sebahagian strategi politik persepsi untuk menggambarkan kononnya rakyat Melaka sedang menolak kerajaan negeri sedia ada.

Realitinya, kata beliau, rakyat akan terus menilai berdasarkan prestasi sebenar kerajaan, bukannya retorik politik yang hanya sedap didengar di atas pentas ceramah.

“Politik Malaysia sudah berubah. Rakyat semakin matang. Mereka mahu hasil, bukan sekadar slogan agama dan politik ketakutan,” katanya.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)