Sebuah negeri kecil kini sedang menunjukkan pola pertumbuhan ekonomi dan disiplin fiskal yang jauh lebih agresif daripada banyak negeri lain di Malaysia. Apa yang lebih menarik, perkembangan ini berlaku ketika landskap politik negara semakin bergerak daripada politik persepsi kepada politik prestasi.
Poster prestasi ekonomi Melaka yang kini mula beredar dalam ruang politik dan media sosial sebenarnya bukan sekadar bahan propaganda biasa. Apa yang menjadikan poster tersebut signifikan ialah angka-angka yang dipaparkan menunjukkan peningkatan hampir menyeluruh merentasi indikator utama negeri.
KDNK meningkat daripada RM46.9 bilion pada 2023 kepada unjuran sekitar RM51.1 bilion pada 2025. Hasil negeri pula meningkat daripada RM466 juta kepada sekitar RM529 juta. Lebihan fiskal melonjak sekitar 150 peratus daripada sekitar RM120 juta kepada hampir RM300 juta. Pelaburan asing dan domestik meningkat daripada RM6 bilion kepada RM14.7 bilion yang disebut sebagai tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
Rizab negeri meningkat daripada RM384 juta kepada sekitar RM527 juta, manakala hutang negeri menunjukkan penurunan daripada RM632 juta kepada sekitar RM619 juta. Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan bonus minimum RM2,000 untuk tahun 2026.
Dalam politik moden, angka yang bergerak secara konsisten sering kali membawa mesej yang jauh lebih besar daripada slogan politik. Sebab itu apa yang berlaku di Melaka kini mula menarik perhatian pemerhati politik dan ekonomi secara serentak. Melaka dilihat semakin cuba membina imej sebagai negeri yang bergerak berasaskan prestasi sebenar dan bukannya semata-mata persepsi politik. Ini sangat penting kerana dalam landskap politik Malaysia hari ini, rakyat mungkin masih boleh berbeza ideologi dan kecenderungan politik tetapi rakyat semakin sukar menolak angka ekonomi yang menunjukkan peningkatan nyata.
Antara angka yang paling signifikan dalam poster tersebut ialah lonjakan pelaburan kepada RM14.7 bilion. Dalam bahasa politik, angka itu bukan sekadar statistik ekonomi biasa. Ia sebenarnya adalah signal keyakinan pelabur terhadap kestabilan pentadbiran negeri. Pelabur besar tidak membuat keputusan berdasarkan slogan politik, ceramah atau persepsi media sosial semata-mata. Mereka menilai kestabilan kerajaan, kecekapan birokrasi, kestabilan dasar, hubungan pusat dan negeri serta keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan negeri. Sebab itu apabila angka pelaburan meningkat secara agresif, ia secara langsung memperkukuh persepsi bahawa pentadbiran negeri sedang bergerak dalam keadaan yang lebih diyakini dan kompetitif.
Apa yang lebih menarik ialah kombinasi peningkatan rizab negeri bersama pengurangan hutang. Dalam politik fiskal, dua indikator ini sangat sensitif kerana ia sering dianggap cerminan disiplin pentadbiran sebenar sesebuah kerajaan negeri. Banyak kerajaan mampu meningkatkan perbelanjaan atau membuat pengumuman besar tetapi tidak semua kerajaan mampu meningkatkan hasil, menambah rizab, mengawal hutang dan pada masa sama mengekalkan momentum pelaburan. Sebab itu gabungan angka-angka ini mula membentuk persepsi bahawa Melaka kini sedang bergerak ke arah model pentadbiran negeri yang lebih tersusun dan berorientasikan prestasi.
Pengumuman bonus minimum RM2,000 untuk penjawat awam tahun 2026 juga membawa implikasi politik yang jauh lebih besar daripada yang dilihat di permukaan. Dalam mana-mana kerajaan negeri, penjawat awam ialah struktur paling penting dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan persepsi kerajaan. Apabila kerajaan negeri mampu memberikan bonus dalam keadaan hasil meningkat, rizab bertambah dan hutang menurun, ia secara tidak langsung membina naratif bahawa kerajaan negeri mempunyai ruang fiskal yang lebih sihat berbanding sebelumnya dan dalam politik, sentimen penjawat awam sering menjadi indikator senyap terhadap tahap keyakinan dalaman terhadap sesebuah pentadbiran.
Apa yang sedang berlaku di Melaka hari ini mungkin sebenarnya lebih besar daripada sekadar angka ekonomi. Ia sedang membina sesuatu yang jauh lebih penting dalam politik moden iaitu legitimasi politik berasaskan prestasi.
Selama ini banyak negeri bergantung kepada retorik politik, sentimen ideologi, permainan persepsi atau konflik nasional untuk mengekalkan pengaruh politik tetapi Melaka kini dilihat cuba membina kekuatan melalui kestabilan ekonomi, disiplin fiskal, keyakinan pelabur dan naratif pentadbiran yang kompetitif. Dalam era pengundi semakin pragmatik, pendekatan seperti ini semakin sukar dipandang ringan.
Apa yang jelas, politik Malaysia sendiri sedang mengalami perubahan besar. Rakyat hari ini semakin menilai kerajaan bukan sekadar berdasarkan slogan atau serangan politik semata-mata. Sebaliknya rakyat mula melihat siapa mampu menarik pelaburan, siapa meningkatkan hasil negeri, siapa mengurus hutang, siapa mempunyai rizab kukuh dan siapa benar-benar menunjukkan angka prestasi yang boleh diukur dan apabila sesebuah kerajaan negeri berjaya mengawal naratif ekonomi melalui angka yang konsisten, lawan politik biasanya mula berdepan cabaran lebih sukar kerana persepsi boleh diperdebatkan, tetapi angka yang bergerak secara nyata jauh lebih susah untuk dineutralkan.
Mungkin sebab itu Melaka kini semakin dilihat bukan sekadar sebagai negeri kecil biasa. Sebaliknya Melaka sedang mula membina satu formula politik baharu iaitu model pentadbiran yang cuba menggabungkan kestabilan politik, keyakinan ekonomi, disiplin fiskal dan naratif prestasi dalam satu pakej yang semakin relevan dalam landskap politik Malaysia baharu.

