Mengapa Setiap Kerjasama Dengan PAS Akhirnya Berpecah?

Melaka Digest
By -
0

PAS tidak pernah sunyi daripada episod kerjasama politik yang berakhir dengan perpecahan. Namun bagi ramai pemerhati politik, satu pola mula dilihat semakin jelas setiap kali PAS membentuk gabungan besar bersama parti lain.


Daripada Angkatan Perpaduan Ummah sehinggalah kepada Muafakat Nasional, hampir semua gabungan yang pernah disertai PAS akhirnya gagal bertahan. Kini, ramai mula bertanya sama ada Perikatan Nasional (PN) juga sedang menuju ke arah nasib yang sama.

Bagi pengkritik politik, apa yang berlaku hari ini bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Mereka melihat PAS semakin selesa berada dalam posisi dominan ketika mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera, namun hubungan politik mula berubah apabila soal kuasa, kerusi dan pengaruh menjadi pertarungan utama.

Ungkapan sinis yang kini mula berlegar dalam kalangan pemerhati politik menggambarkan persepsi tersebut;

“Kamu worang ada duit, boleh la tunggang kami ikut suka apa gaya pun. Kamu worang takde duit, boleh jalan da!”

Walaupun bernada keras, sindiran itu sebenarnya mencerminkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap corak hubungan politik dalam pembangkang hari ini terutama gaya PAS melayan rakan Kerjasama.

Lima Gabungan Politik Yang Berakhir Dengan Krisis

1. Angkatan Perpaduan Ummah (APU)

Gabungan politik era 1990-an ini pernah dilihat sebagai platform penyatuan Melayu-Islam paling besar ketika itu. Namun ia gagal bertahan lama selepas berlaku percanggahan kepentingan politik dan hala tuju kuasa.

2. Barisan Alternatif

PAS pernah bergabung bersama PKR dan DAP selepas Reformasi 1998 tetapi perbezaan ideologi terutama melibatkan isu negara Islam dan pelaksanaan hudud akhirnya meretakkan hubungan.

3. Pakatan Rakyat

Gabungan ini pernah hampir menawan Putrajaya selepas PRU13. Namun konflik terbuka antara PAS dan DAP menyebabkan pakatan tersebut berkubur selepas krisis Menteri Besar Selangor serta pertikaian dasar politik.

4. Gagasan Sejahtera

PAS kemudian bergerak sendiri menerusi Gagasan Sejahtera selepas berpisah daripada Pakatan Rakyat. Namun pengaruh gabungan itu gagal berkembang secara besar dan akhirnya tenggelam dalam percaturan politik nasional.

5. Muafakat Nasional

Kerjasama PAS dan UMNO selepas PRU14 pernah dianggap penyatuan terbesar politik Melayu tetapi hubungan itu akhirnya retak apabila PAS memilih untuk terus bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional sehingga menyebabkan UMNO menarik diri.

Perikatan Nasional Sedang Menuju Jalan Sama?

Kini tekanan dalam PN semakin terbuka. Ketegangan antara PAS dan Bersatu tidak lagi mampu disembunyikan apabila beberapa isu melibatkan kuasa di Perlis, sokongan politik dan kepimpinan mula dibangkitkan secara terbuka.

Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini juga dilihat cukup keras apabila menegaskan bahawa “sabar ada batasnya” terhadap tindakan Bersatu.

Bagi ramai penganalisis, itu bukan lagi sekadar teguran biasa tetapi isyarat bahawa hubungan dalam PN sedang memasuki fasa paling rapuh menjelang pilihan raya.

Persoalan utama kini ialah sama ada PN mampu mengelakkan nasib sama seperti gabungan-gabungan terdahulu atau bakal menjadi satu lagi episod kegagalan dalam sejarah kerjasama politik PAS.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)