Naratif “BERSATU Ganti UMNO” Versi Rahim Thamby Chik Sekadar Tutup Kelemahan Diri Sendiri

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang mendakwa “BERSATU sudah menggantikan UMNO” kini mengundang pelbagai reaksi apabila ramai menyifatkan kenyataan tersebut lebih bersifat sindiran politik penuh emosi berbanding hujah berasaskan fakta.


Malah pemerhati politik melihat naratif yang dibawa Rahim sebenarnya cuba mengelirukan rakyat dengan menyamakan UMNO dan BERSATU secara membuta tuli hanya kerana beliau kini kecewa dengan kemelut dalaman Bersatu dan mungkin tidak mendapat apa yang beliau kehendaki dari Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataannya, Rahim mendakwa BERSATU kini mengulangi segala perkara yang pernah beliau tuduh terhadap UMNO termasuk kononnya mengamalkan politik diktator, gila kuasa, menyingkirkan pemimpin yang tidak sehaluan serta mempergunakan agenda Melayu demi kepentingan tertentu.


Namun hakikatnya, ramai melihat kenyataan itu sekadar cubaan menutup kegagalan dan perpecahan dalaman BERSATU sendiri.


Jika benar UMNO seteruk yang digambarkan Rahim, persoalannya mengapa beliau sendiri pernah berada begitu lama dalam UMNO, memegang jawatan Ketua Menteri dan menikmati segala kedudukan politik melalui UMNO?

Paling ironik, Rahim kini menggunakan hujah yang sama terhadap BERSATU selepas parti itu dilanda krisis dalaman dan perebutan kuasa sesama sendiri.

Penganalisis politik berpendapat kenyataan itu sebenarnya lebih menggambarkan bahawa budaya politik dalam BERSATU sendiri kini semakin rapuh dan gagal dikawal, bukannya bukti bahawa UMNO “diganti”.

Malah ramai menyifatkan kenyataan Rahim itu tidak lebih daripada luahan kecewa bekas pemimpin yang hilang pengaruh dalam percaturan politik semasa. Malah ramai pemerhati mengatakan bahawa Rahim sudah berumur dan telah ditolak di Melaka.

Realitinya, UMNO dan BERSATU mempunyai sejarah, struktur serta perjuangan yang berbeza.

UMNO ditubuhkan sejak 1946 dan kekal menjadi antara tunjang utama pembinaan negara, termasuk memimpin negara mencapai kemerdekaan, membangunkan institusi Melayu serta membentuk asas kestabilan politik Malaysia selama puluhan tahun.

Sebaliknya, BERSATU baru berusia beberapa tahun tetapi sudah berkali-kali bergolak dengan krisis dalaman, pertukaran kem, pemecatan pemimpin serta perebutan jawatan sehingga menyebabkan ramai ahli akar umbi sendiri hilang keyakinan.

Lebih memeranjatkan apabila pemimpin yang dahulu lantang menyerang UMNO atas isu disiplin parti dan kepimpinan kini mula mengakui BERSATU sendiri mengulangi perkara sama.

Ini sekali gus membuktikan masalah sebenar bukan terletak pada UMNO tetapi budaya politik individu tertentu yang gemar bermain persepsi dan menggunakan sentimen rakyat demi kelangsungan pengaruh mereka sendiri.

Rakyat hari ini semakin matang untuk menilai. Mereka tidak lagi mudah percaya kepada naratif populis atau sindiran politik yang cuba menyamakan semua parti demi menutup kelemahan sendiri.

Apa yang rakyat mahu ialah kestabilan, kepimpinan yang jelas serta parti yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan bukannya sekadar bermain retorik politik penuh dendam dan kekecewaan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)