Kepimpinan Tertinggi UMNO Masuk Istana Besar Johor

Melaka Digest
By -
0

Suasana penuh simbolik dan bersejarah menyelubungi Istana Besar Johor hari ini apabila kepimpinan tertinggi UMNO bersama barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu berhimpun sempena ulang tahun ke-80 penubuhan parti keramat Melayu berkenaan.


Kehadiran barisan pemimpin utama UMNO ke Istana Besar Johor bukan sekadar acara rasmi biasa, sebaliknya membawa mesej mendalam tentang akar perjuangan parti yang lahir di bumi Johor pada 11 Mei 1946.

Difahamkan, rombongan kepimpinan UMNO akan menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam satu pertemuan yang turut dilihat sebagai lambang hubungan erat antara institusi Raja Melayu dan perjuangan UMNO sejak penubuhannya.

Istana Besar Johor dipilih sebagai lokasi sambutan kerana di situlah tercetusnya sejarah awal UMNO apabila parti tersebut diasaskan di kawasan Tangga Agung istana berkenaan, 80 tahun lalu, demi menyatukan orang Melayu menentang Malayan Union.

Antara pemimpin yang dilihat memasuki pekarangan istana termasuk Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta pimpinan tertinggi parti dari seluruh negara.

Program berkenaan difahamkan turut diisi dengan bacaan tahlil ringkas dan sesi bergambar bagi memperingati jasa tokoh-tokoh terdahulu yang membina asas perjuangan UMNO sehingga menjadi antara parti paling dominan dalam sejarah politik negara.

Namun di sebalik sambutan ulang tahun bersejarah itu, tumpuan utama turut terarah kepada mesyuarat MKT UMNO yang dijadual berlangsung di Pejabat Perhubungan UMNO Johor pada sebelah petang.

Mesyuarat tersebut dijangka menjadi platform penting bagi membincangkan strategi dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin menghampiri, khususnya di Johor dan Melaka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pemilihan Johor sebagai lokasi mesyuarat bukan sahaja bagi memperingati sejarah kelahiran UMNO, malah untuk memperkukuh persediaan parti menghadapi cabaran politik semasa.

“Apabila MKT diadakan di Melaka sebelum ini, fokusnya kepada persiapan di Melaka. Jadi apabila di Johor, fokusnya tentulah kepada gerak kerja dan kesiapsiagaan di Johor,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran lebih 50 ahli MKT ke negeri itu membuktikan kesungguhan kepimpinan parti dalam memastikan UMNO dan Barisan Nasional terus kekal dominan menjelang PRN akan datang.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022 lalu, Barisan Nasional mencipta kemenangan besar apabila berjaya meraih 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kini, selepas lapan dekad perjuangan, UMNO sekali lagi kembali ke tempat kelahirannya, bukan sekadar untuk mengenang sejarah, tetapi bagi menghantar isyarat bahawa parti itu masih mahu kekal menjadi tunjang utama politik Melayu dan pentadbiran negara.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)