Panggil Untuk Hadir Ceramah Politik Guna Data Maklumat Peribadi?

Melaka Digest
By -
0

Beberapa penerima bantuan yang berdaftar dalam sistem dalam talian N9 Digital bagi program Bantuan Aspirasi Negeri Sembilan meluahkan rasa kecewa dan bimbang selepas mendakwa menerima mesej jemputan menghadiri ceramah politik melibatkan Pakatan Harapan (PH).


Mereka mempersoalkan bagaimana nombor telefon peribadi mereka boleh diperoleh pihak tertentu, memandangkan maklumat tersebut hanya digunakan ketika pendaftaran bantuan kerajaan negeri.

Menurut beberapa penerima bantuan, mesej jemputan itu dihantar secara terus melalui 'WhatsApp' dan turut mengandungi nama penuh penerima, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan penyalahgunaan data peribadi yang dikemukakan dalam sistem rasmi kerajaan.

“Pelik bagaimana nombor telefon kami boleh diperoleh. Bila semak dengan rakan-rakan lain yang turut berdaftar dalam sistem bantuan N9 Digital, mereka juga menerima mesej yang sama,” kata seorang penerima bantuan.

Mesej tersebut mengajak penerima hadir ke “Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan” di kawasan parkir Stadium Paroi malam ini, selain turut menyertakan pautan portal berita dan media sosial berkaitan PH.

Antara kandungan mesej itu berbunyi:

“KITA MESTI BERTINDAK!

KEBENARAN MESTI DIDENGAR!

PERUBAHAN MESTI DICIPTA!”

Penerima bantuan mendakwa tindakan menggunakan data yang dipercayai diperoleh melalui sistem bantuan kerajaan bagi tujuan politik merupakan sesuatu yang serius dan tidak wajar berlaku.

Mereka menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) serta kerajaan negeri menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti sama ada berlaku kebocoran atau penyalahgunaan data dalam sistem tersebut.

“Data rakyat yang diberikan untuk tujuan bantuan kebajikan tidak sepatutnya digunakan bagi aktiviti politik. Jika benar berlaku, tindakan tegas perlu diambil,” kata seorang lagi penerima bantuan.

Isu berkenaan turut mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan data pengguna dalam sistem digital kerajaan negeri serta perlindungan maklumat peribadi rakyat.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)