Rahim Tamby Chik Gagal Tuntut Semula Pelaburan RM3Juta

Melaka Digest
By -
0

Abdul Rahim Tamby Chik gagal dalam usahanya menuntut semula pelaburan amanah tunai bernilai RM3 juta selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa syarikat pemegang amanah, My Premier Trustee (M) Bhd tidak bertanggungjawab terhadap kerugian pelaburan berkenaan.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari dalam penghakimannya bertarikh 8 Mei 2026 memutuskan bahawa Rahim gagal membuktikan tuntutannya terhadap syarikat pemegang amanah itu, manakala pihak defendan pula berjaya membuktikan tuntutan balas mereka.

Mahkamah turut mengetepikan serta-merta perintah injunksi Mareva yang sebelum ini dikenakan terhadap My Premier Trustee dan membenarkan syarikat itu meneruskan tuntutan ganti rugi serta kos terhadap Rahim.

Kes berprofil tinggi itu berpunca daripada pelaburan RM3 juta yang dibuat Rahim pada September 2018 dalam satu dana amanah tunai dikendalikan syarikat berpangkalan di Hong Kong, Asia Cornerstone Asset Management Co Ltd (ACAM).

Pelaburan tersebut menjanjikan pulangan bulanan sebanyak RM37,500 selama 24 bulan selain pemulangan penuh modal RM3 juta pada bulan ke-25.

Sepanjang tempoh pelaburan, Rahim dilaporkan menerima bayaran pulangan selama 23 bulan berjumlah RM862,500. Namun beliau mendakwa gagal menerima bayaran bagi bulan ke-19 yang sepatutnya dibayar pada 31 Mac 2020 selain modal asal RM3 juta yang tidak dipulangkan.

Pada awal prosiding, saman itu turut menamakan The Rain Maker MGMT Sdn Bhd sebagai defendan kerana bertindak sebagai ejen kepada ACAM. Bagaimanapun, Rahim menarik balik tuntutan terhadap syarikat tersebut selepas ia digulungkan, namun diberikan kebenaran untuk memfailkan semula tindakan pada masa hadapan jika perlu.

Rahim kemudian meneruskan saman hanya terhadap My Premier Trustee dengan menuntut bayaran RM37,500 bagi pulangan bulanan yang tertunggak serta pemulangan modal RM3 juta.

Beliau turut menuntut faedah tahunan sebanyak 15 peratus ke atas jumlah tersebut bermula 1 September 2020 sehingga keputusan mahkamah dibuat, selain faedah lima peratus setahun selepas penghakiman sehingga bayaran penuh diselesaikan.

Namun, mahkamah memutuskan bahawa perjanjian pelaburan sebenarnya hanya melibatkan Rahim dan ACAM, sekali gus menjadikan My Premier Trustee tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kegagalan pembayaran pulangan.

Hakim turut menegaskan bahawa sebarang tuntutan berkaitan kegagalan pembayaran sepatutnya dibuat terhadap ACAM atau The Rain Maker kerana kedua-dua entiti itu menguruskan dana serta membuat pembayaran pulangan sepanjang tempoh pelaburan.

Dalam penghakiman itu, mahkamah turut merujuk Klausa 7.3 Perjanjian Perkhidmatan Induk yang menyatakan bahawa sekiranya penasihat pelaburan dilantik oleh pelabur sendiri, maka pihak pemegang amanah tidak lagi bertanggungjawab selepas dana disalurkan kepada penasihat terbabit.

“Mahkamah berpandangan plaintif tidak mempunyai sebab tindakan yang sah terhadap defendan kedua dan tuntutan tersebut adalah remeh,” kata hakim dalam alasan penghakimannya.

Mahkamah turut berpandangan bahawa sebarang kerugian yang dialami Rahim berpunca daripada kegagalan ACAM membuat pembayaran pulangan bulan ke-19 serta kegagalan memulangkan modal pelaburan RM3 juta itu.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)