Kontroversi membabitkan ahli parlimen PAS Pasir Puteh, Kelantan, Nik Muhammad Zawawi Salleh kini bukan lagi sekadar isu “tersalah cakap” atau “fakta tidak tepat” tetapi telah berkembang menjadi ‘cerita palsu’ bagaimana sejarah Islam dan kemuliaan para Sahabat Nabi SAW ditafsir mengikut acuan politik dan kefahaman tersendiri.
Rakyat terutama di Kelantan,Kedah, Terengganu dan Kelantan serta seluruh negara kini mula bertanya, dari kitab mana datangnya dakwaan bahawa Abu Bakar As-Siddiq kononnya “bapa ceti” yang mengutip hutang secara keras dan menjadi kaya dengan menindas orang miskin?
Dari sumber mana pula muncul cerita bahawa Umar Al-Khattab mempunyai “hobi berzina”, malah disamakan dengan syaitan sebelum Islam?
Lebih mengejutkan, tokoh-tokoh agung Islam seperti Uthman Ibn Affan, Ali Ibn Abi Talib dan Hamzah Ibn Abdul Muttalib turut digambarkan sebagai individu “kejam” sebelum memeluk Islam.
Hakikatnya, sejarah Islam yang dipelajari umat Islam sejak sekian lama menggambarkan para Sahabat Rasulullah SAW sebagai insan yang memiliki akhlak tinggi, dihormati masyarakat dan terkenal dengan sifat mulia walaupun sebelum menerima hidayah Islam.
Saidina Abu Bakar misalnya dikenali sebagai pedagang berjaya, jujur, lembut hati serta terlalu mempercayai Rasulullah SAW sehingga digelar As-Siddiq. Tidak pernah wujud naratif utama dalam kitab-kitab muktabar yang menggambarkan beliau sebagai “ceti” yang menindas masyarakat miskin.
Saidina Umar pula dikenali sebagai tokoh Quraisy yang bijak, tegas, berani dan dihormati dalam kalangan kabilah Arab. Beliau sering menjadi pendamai dan wakil rundingan kerana ketokohan serta kecerdasannya. Persoalannya, dari mana datang dakwaan bahawa beliau mempunyai “hobi zina” dengan isteri orang dan anak dara orang malah boleh dikategorikan sebagai perogol?
Saidina Uthman terkenal sebagai bangsawan Quraisy yang sangat pemalu, pemurah dan dermawan, malah membantu ramai masyarakat Mekah sebelum Islam. Saidina Ali pula adalah kanak-kanak pertama memeluk Islam. Sukar diterima akal bagaimana beliau boleh digambarkan sebagai individu “kejam” sebelum Islam sedangkan beliau dibesarkan sendiri di bawah jagaan Rasulullah SAW.
Begitu juga Saidina Hamzah yang dikenali sebagai pahlawan gagah, berbudi pekerti dan disegani masyarakat Arab.
Kontroversi ini menjadi semakin panas apabila Dewan Ulamak PAS Pusat(DUPP) akhirnya mengakui bahawa memang wujud “beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah” dalam ceramah Nik Zawawi.
Namun bagi ramai pihak, kenyataan tersebut dianggap terlalu lembut dan sekadar usaha meredakan kemarahan penyokong tanpa keberanian mengambil tindakan tegas.
Walaupun DUPP mengakui fakta sejarah berkaitan para Sahabat telah disampaikan secara tidak tepat, mereka tetap cuba menampakkan isu itu sebagai “teguran dalaman” dan soal kecermatan penyampaian semata-mata.
Sedangkan isu sebenar jauh lebih besar kerana ia melibatkan maruah dan kemuliaan para Sahabat Nabi SAW yang wajib dipelihara oleh seluruh umat Islam.
Persoalan utama yang masih belum terjawab sehingga hari ini ialah, apakah sumber sebenar dakwaan-dakwaan tersebut?
Jika benar wujud kitab atau riwayat yang mendakwa Saidina Abu Bakar mengamalkan riba, Saidina Umar gemar berzina atau para Sahabat lain kejam dan rosak akhlak, maka kitab itu wajib dinyatakan secara terbuka untuk dinilai para ulama dan ilmuwan.
Jika tiada sumber yang sahih, maka masyarakat berhak mempersoalkan sama ada ini hanyalah naratif ciptaan sendiri demi membina “acuan Islam” versi politik tertentu.
Menggunakan Zaman Jahiliah sebagai ‘fakta’ dan ‘dalil palsu’ bahawa semua warga Arab yang hidup waktu tersebut adalah manusia yang rosak akhlak tidak boleh diterima.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila penyokong taksub menerima bulat-bulat naratif seperti ini atas nama tarbiyah dan wala’ tanpa keberanian mempersoalkan kesahihan fakta.
Dalam Islam, para Sahabat Rasulullah SAW bukan tokoh biasa. Mereka adalah generasi terbaik umat yang dipuji sendiri oleh Rasulullah SAW dan menjadi tonggak penyebaran Islam ke seluruh dunia.
Sebab itu para ulama sentiasa mengingatkan bahawa lidah yang terlalu mudah merendahkan para Sahabat akhirnya boleh merosakkan akidah, adab dan kefahaman umat terhadap agama itu sendiri.
Allah mengatur dengan sempurna siapa yang menjadi mertua Baginda saw, siapa menantu dan siapa sahabat beliau. Bahkan Allah swt mengatur siapa ayah dan ibu kepada Penghulu segala nabi ini.
Mudahnya PAS mencari jalan untuk selesaikan maruah Nabi saw?

