Barisan Nasional (BN) Melaka memberi bayangan jelas bahawa majoriti wakil rakyat muda dan berprestasi berusia bawah 50 tahun berpotensi besar dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan generasi baharu yang diketengahkan pada penggal lalu bukan sekadar berjaya menyesuaikan diri dengan landskap politik negeri, malah telah membuktikan kemampuan mereka memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Kenyataan itu sekali gus memberi isyarat bahawa BN Melaka mahu meneruskan formula gabungan pengalaman dan tenaga baharu yang dilihat semakin diterima rakyat.
Menurut beliau, kepimpinan negeri tidak melihat soal “orang lama” atau “muka baharu” sebagai faktor utama, sebaliknya keutamaan diberikan kepada prestasi semasa, semangat kerja berpasukan serta keupayaan menyelesaikan masalah rakyat.
“Semua telah berkhidmat dengan baik dan menunjukkan kesepakatan dalam semangat setiakawan serta bekerja sebagai satu pasukan yang kuat.
“Kalau kita lihat, generasi baharu yang dipilih pada penggal lalu majoritinya berusia bawah 50 tahun dan mereka masih mampu meneruskan khidmat terbaik,” katanya.
Ab Rauf turut mendedahkan bahawa senarai calon PRN sebenarnya sudah lama diperhalusi dan kini berada pada peringkat akhir penilaian.
“Senarai calon dah lama saya pendekkan. Saya tak pernah panjangkan nama calon ini.
“Tunggu masa dan ketika sesuai untuk diumumkan,” katanya.
Kenyataan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa BN Melaka kini sedang bergerak dalam fasa terakhir menyusun strategi mempertahankan kerajaan negeri, termasuk menilai kombinasi calon paling berpotensi menghadapi cabaran pembangkang.
Pada masa sama, Ab Rauf menegaskan Melaka tidak akan sekadar mengikut rentak politik negeri lain termasuk Johor sekiranya berlaku kemungkinan PRN serentak.
Menurut beliau, landskap politik Melaka mempunyai dinamik tersendiri dan keputusan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri akan dibuat berdasarkan kepentingan serta kestabilan negeri itu sendiri.
“Suasana di Johor dan Melaka tidak sama. Melaka ada pendekatan sendiri dan kita akan fikir cara terbaik untuk berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.
Penganalisis politik melihat kenyataan tersebut sebagai petanda bahawa BN Melaka kini lebih yakin dengan kekuatan jenteranya sendiri, khususnya selepas beberapa pemimpin muda dilihat semakin menonjol dan berjaya membina pengaruh akar umbi sejak PRN lalu.
Dengan gabungan kestabilan kerajaan negeri, disiplin dalaman parti dan kemunculan generasi baharu, BN Melaka kini dilihat sedang bersiap memasuki medan PRN dengan keyakinan lebih besar berbanding sebelum ini.
.jpeg)