Hina Mertua, Sahabat Nabi saw: Cara PAS Mengurus ‘Maaf’ Dari Zawawi Menyimpang

Melaka Digest
By -
0

Isu wakil rakyat parlimen PAS Pasir Puteh, Kelantan, Nik Muhammad Zawawi bukan lagi soal politik semata-mata. Ia sudah menyentuh maruah para sahabat Rasulullah SAW yang menjadi tonggak awal perjuangan Islam.


Permohonan maaf yang dibuat tidak boleh dianggap selesai hanya dengan alasan “kurang cermat ketika mengolah maklumat”. Ini bukan kes tersalah fakta kecil atau tersilap petik sejarah biasa. Ini melibatkan dakwaan serius terhadap insan yang dimuliakan Islam.

Bagaimana seorang yang mengaku ‘ilmuan’ boleh mengeluarkan naratif yang menggambarkan Saidina Abu Bakar RA adalah “bapa ceti”, memaparkan Saidina Umar RA dengan gambaran jijik kononnya mempunyai hobi zina serta melemparkan persepsi buruk terhadap Saidina Ali RA dan Saidina Usman RA?

Lebih membimbangkan apabila semua itu cuba menunggang atas nama “sirah” sedangkan banyak kitab muktabar tidak pernah menggambarkan para sahabat dengan naratif sehina itu.

Umat Islam bukan marah kerana perbezaan politik. Umat Islam marah kerana para sahabat Nabi SAW diperlakukan seolah-olah watak politik murahan yang boleh dihina, diputar dan dijadikan bahan ceramah.

Dalam Islam, sahabat Rasulullah SAW mempunyai kedudukan sangat tinggi. Mereka dipuji al-Quran, dipertahankan hadis dan dimuliakan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sepanjang zaman. Sebab itu para ulama sentiasa berhati-hati apabila berbicara tentang mereka.

Apa yang berlaku ini bukan sekadar “kekhilafan bahasa”. Ia fitnah terhadap generasi terbaik umat.

PAS tidak boleh sekadar meminta orang ramai “move on” selepas menerima permohonan maaf. Jika benar mahu mempertahankan akhlak Islam, maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengakui bahawa naratif tersebut salah, berbahaya dan tidak wajar diulang.

Zawawi sepatutnya tampil bertaubat secara terbuka kepada umat Islam, menarik balik keseluruhan naratif yang mencemarkan para sahabat serta menjelaskan sumber sebenar dakwaan tersebut.

Ini kerana apabila seseorang menggunakan agama dan sirah untuk menyebarkan gambaran palsu terhadap para sahabat, kesannya bukan kecil. Ia boleh merosakkan kefahaman umat, khususnya generasi muda yang menganggap semua itu benar kerana disampaikan oleh “tokoh agama”.

Adalah amat memalukan apabila kepimpinan Pas menerima penjelasan serta permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh tersebut seolah-olah ‘dosa’ Zawawi hanya kepada parti politik yang dianggotainya.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjelasan tersebut diharap mampu menjernihkan keadaan serta menamatkan polemik yang timbul sebelum ini. Tindakan Tuan Ibrahim seperti Zawawi tidak melakukan dosa besar.

“Kepimpinan parti menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh atas kekhilafan yang berlaku ekoran ucapan beliau dalam ceramah di Kuala Terengganu,”. Menurut golongan ilmuan, kenyataan Tuan Ibrahim ini meletakkan PAS di titik paling rendah dan menghina Islam.

Mempertahankan sahabat Nabi SAW bukan soal parti. Ia soal aqidah, adab dan amanah ilmu.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)