Isu “Tin Milo” dijadikan penaik semangat kepada penyokong totok PAS yang bergelar ‘walaun’ terpaksa dimainkan demi menutup malu kerana isu ini mula menyedarkan rakyat.
Pemimpin PAS lupa bahawa sekarang rakyat mula mempersoalkan budaya kempen politik yang dilihat semakin jauh daripada realiti kehidupan rakyat biasa. Apa yang PAS ingin tunjukkan kepada rakyat di seluruh negara melalui pencapaian di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis?
Kelantan sendiri telah masuk 40 tahun PAS memerintah di sana dan kekal antara negeri tercorot dari segi ekonomi negeri dan poket rakyat.
Di pentas ceramah, pemimpin PAS bercakap soal perjuangan, pengorbanan dan kesusahan parti. Ahli diminta terus menyumbang, bantu gerak kerja, kutip derma dan hulur wang demi “menyelamatkan perjuangan” tetapi pada masa sama, ahli dan rakyat melihat pemimpin mereka hidup mewah, berkereta besar, bergaya eksklusif dan bergerak dengan gaya hidup elit yang langsung tidak mencerminkan naratif kesempitan yang sering dilaungkan kepada akar umbi.
Akhirnya yang terus berkorban ialah ahli bawahan dan penyokong tegar.
Mereka diminta beli meja makan malam politik.
Mereka diminta hulur derma dalam tin.
Mereka diminta jadi jentera percuma.
Mereka diminta pertahankan parti siang malam di media sosial.
Tetapi bila tiba soal habuan, jawatan dan kemewahan… yang menikmati semuanya hanyalah kelompok atasan.
Lebih menyakitkan, rakyat sendiri sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit. Harga barang naik, peluang ekonomi makin sempit, tetapi masih ada politikus yang sibuk bermain persepsi kononnya mereka paling “teraniaya” sambil hidup selesa.
Negeri lain sibuk dengan ‘Strategi Blue Ocean” (Strategi Lautan Biru), sentiasa mencari peluang baharu bagi ekonomi negeri dan rakyat tetapi PAS bangga merobek poket ahli demi kuasa politik. Apabila negeri dapat ke tangan mereka, apa jadi dengan rakyat?
