Muhyiddin Lakukan Pembersihan Total Terhadap Kumpulan ‘Reset’

Melaka Digest
By -
0

Gelombang pemecatan dan penggantungan terbaru terhadap kumpulan pro Hamzah Zainuddin dilihat lebih menyerupai operasi pembersihan dalaman besar-besaran oleh Muhyiddin Yassin terhadap saki-baki kelompok pro-Hamzah Zainuddin dalam parti itu.


Apa yang berlaku semalam bukan lagi sekadar isu disiplin parti. Ia dilihat sebagai fasa kedua “perang kuasa” dalam Bersatu selepas Hamzah Zainuddin sendiri disingkirkan daripada jawatan Timbalan Presiden pada Februari lalu bersama 16 pemimpin kanan lain.

Kini, giliran barisan yang dipercayai ‘paling kanan’ kepada kem Hamzah pula dikenakan tindakan daripada pemecatan dua ADUN hinggalah penggantungan lima Ahli Parlimen dan beberapa ADUN lain.

Adakah Muhyiddin sedang menyusun semula Bersatu menjadi parti yang hanya dipenuhi kelompok loyalis beliau?

Lebih menarik, tindakan keras ini turut dilihat sebagai isyarat yang sangat jelas kepada PAS dalam Perikatan Nasional.

Muhyiddin menghantar ‘signal’ mahu menutup terus ruang untuk sebarang usaha membawa Hamzah Zainuddin kembali berpengaruh dalam PN melalui saluran PAS ataupun rundingan belakang tabir.

Ini kerana sejak beberapa bulan kebelakangan ini, spekulasi semakin kuat bahawa terdapat usaha dalam kalangan tertentu untuk “menyelamatkan” Hamzah dan mengekalkan pengaruh beliau dalam blok pembangkang.

Namun tindakan terbaru Bersatu memberi gambaran bahawa Muhyiddin tidak lagi mahu berkongsi kuasa atau berkompromi dengan mana-mana kelompok yang dianggap masih setia kepada Hamzah.

Langkah ini juga menunjukkan Muhyiddin kini berada dalam mod “survival mutlak”.

Beliau sedar Bersatu sedang berdepan krisis keyakinan dalaman yang serius selepas siri kekalahan, perpecahan serta perebutan pengaruh dalam parti.

Maka pendekatan yang dipilih kini dilihat lebih keras dengan bersihkan parti, singkirkan kem lawan, dan pastikan struktur parti kembali sepenuhnya di bawah kawalan presiden.

Pemerhati politik melihat jika PAS terus dilihat mesra dengan kelompok Hamzah, ia boleh dianggap bercanggah dengan kehendak Muhyiddin tetapi jika PAS memilih untuk berdiam diri, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa parti itu membiarkan Bersatu melakukan “pembersihan politik” sesama sendiri demi mengekalkan dominasi dalam PN.

Antara yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Sementara itu, lima Ahli Parlimen yang digantung ialah Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

 


Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)