Tindakan Tuan Ibrahim Tuan Man mempertikaikan pengurusan Sidang DUN Pahang dilihat sebagai satu lagi contoh politik persepsi yang dibuat tanpa melihat cermin pentadbiran negeri-negeri PAS sendiri.
PAS hari ini cuba menggambarkan kononnya pembangkang di Pahang dipinggirkan, tidak diberi akses dan tidak diiktiraf peranannya. Namun realitinya mudah, apakah layanan yang PAS berikan kepada ADUN pembangkang di negeri-negeri yang mereka tadbir?
Di Kelantan sendiri, ADUN Barisan Nasional tidak dilantik dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Alasan yang PAS diberikan cukup mudah, kerana perbezaan politik.
Jadi mengapa apabila perkara hampir sama berlaku di Pahang, PAS tiba-tiba mahu bermain naratif kononnya mereka dizalimi?
Bukankah ini hipokrasi politik yang sangat jelas?
Hakikatnya di Pahang, pembangkang tetap menerima peruntukan tahunan, bantuan semasa Ramadan dan masih bebas menjalankan ceramah serta kuliah agama di beberapa masjid tanpa sekatan besar seperti yang cuba digambarkan.
Malah melalui media sosial pemimpin pembangkang sendiri, mereka beberapa kali mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam dan jabatan kerajaan yang membantu menyelesaikan isu rakyat.
Ini membuktikan dakwaan kononnya kakitangan kerajaan diarahkan meminggirkan pembangkang hanyalah naratif politik yang dibesar-besarkan untuk mencipta persepsi negatif.
Lebih memalukan, Tuan Ibrahim sendiri seolah-olah gagal membuat “homework” sebelum mengadakan sidang media.
Beliau begitu sibuk mempertikai soal teknikal dan jawatankuasa tetapi gagal menawarkan alternatif dasar ekonomi yang lebih baik untuk rakyat Pahang.
Apa sebenarnya tawaran PAS kepada rakyat?
Selepas berdekad mentadbir Kelantan, negeri itu masih sering dikaitkan dengan isu ekonomi perlahan, peluang pekerjaan terhad, infrastruktur asas dan penghijrahan anak muda keluar mencari rezeki.
Tetapi PAS masih mahu mengajar negeri lain tentang pentadbiran? Rakyat hari ini bukan lagi mahu mendengar politik menyalahkan pihak lain semata-mata.
Rakyat mahu solusi.
Rakyat mahu idea.
Rakyat mahu pembangunan yang boleh dirasai.
Bukan sekadar sidang media untuk bermain persepsi dan membina naratif kononnya menjadi mangsa.
Lebih menarik, apabila bercakap soal turun padang dan khidmat rakyat, ramai di kawasan sendiri mula mempersoalkan sejauh mana konsistensi wakil rakyat PAS bekerja untuk rakyat selepas menang pilihan raya.
Belum habis penggal, sudah sibuk dikaitkan mahu bertanding di kawasan lain. Tuan Ibrahim mungkin boleh jelaskan khabar mengatakan beliau mula mencari ‘DUN selamat’?
Ini menimbulkan persoalan, adakah perjuangan sebenar untuk rakyat atau sekadar mengejar kedudukan politik?
Rakyat Pahang mampu menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya muncul apabila kamera dan mikrofon dipasang.
Kerja untuk rakyat tidak perlukan drama politik setiap minggu kerana yang rakyat perlukan ialah pemimpin yang bekerja, bukan sekadar pandai mempertikai.
“Bila jadi pembangkang, semua benda salah. Bila pegang kerajaan, alasan pula yang banyak.”
