Pemuda AMANAH Cuba Sembunyikan Punca Sebenar Krisis Negeri Sembilan

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Pemuda AMANAH Negeri Sembilan yang mendesak 14 ADUN UMNO mengosongkan kerusi DUN dilihat cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang sedang melanda kerajaan negeri ketika ini.


Krisis ini bukan berpunca daripada UMNO BN mahu menjatuhkan kerajaan tetapi berpunca daripada hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin Harun sendiri dalam menguruskan krisis Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.

Pemuda AMANAH dilihat sengaja membina persepsi seolah-olah UMNO BN menjadi punca ketidakstabilan politik, sedangkan persoalan utama yang terus dibangkitkan rakyat ialah tindakan dan pendekatan Aminuddin yang didakwa mencetuskan ketegangan sehingga menjejaskan imej Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

Apa yang lebih penting untuk difahami ialah isu ini bukan soal UMNO BN perlu mengosongkan kerusi DUN. Jika sekalipun 14 ADUN UMNO melepaskan kerusi dan menang semula dalam pilihan raya kecil, keadaan politik negeri tidak akan berubah secara asas kerana punca sebenar krisis masih belum diselesaikan.

Sebaliknya, ramai melihat penyelesaian paling berkesan ialah Aminuddin sendiri mengambil tanggungjawab politik dengan berundur demi memulihkan semula keyakinan rakyat, memperbaiki hubungan institusi dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri kembali bergerak di atas landasan yang lebih stabil serta profesional.

Ini kerana krisis yang berlaku hari ini dilihat telah mencemarkan nama baik Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan di mata rakyat apabila isu melibatkan adat, institusi dan Perlembagaan gagal ditangani secara harmoni serta penuh kebijaksanaan.

Lebih membimbangkan apabila sehingga hari ini, Sidang DUN masih belum dibuka untuk membuktikan secara rasmi kedudukan sokongan majoriti Menteri Besar. Sedangkan dalam sistem demokrasi berparlimen, medan sebenar untuk menentukan legitimasi ialah Dewan Undangan Negeri, bukannya ceramah politik, propaganda media sosial atau serangan naratif terhadap UMNO BN.

Naratif yang cuba dimainkan Pemuda AMANAH juga dilihat gagal menjawab persoalan utama rakyat iaitu jika Aminuddin benar-benar masih mendapat sokongan kukuh dan mempunyai keabsahan moral serta politik, mengapa masih enggan membuktikannya di dalam Sidang DUN?

Rakyat Negeri Sembilan mahukan penyelesaian, bukannya perang persepsi politik yang hanya bertujuan menutup kelemahan kepimpinan sendiri.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)