Tempahan 16 Kerusi Mungkin Bukan Sekadar Rundingan Kerusi. Ia Mungkin Petunjuk Kepada Perubahan Yang Lebih Besar Dalam Landskap Pembangkang Melaka.
Menjelang PRN Melaka, ramai masih melihat politik pembangkang melalui lensa lama, rundingan kerusi, pembahagian kawasan dan strategi kempen.
Sedangkan petunjuk yang muncul di hadapan mata menunjukkan sesuatu yang jauh lebih besar sedang berlaku.
PAS Melaka dilihat bukan sekadar menyusun calon.
PAS Melaka dilihat sedang menyusun kuasa.
‘Tempahan’ 16 kerusi DUN bukan keputusan yang lahir daripada keyakinan biasa. Ia adalah tindakan sebuah parti yang mahu mengukur kekuatan sebenar dirinya sendiri. Ia juga memberi gambaran bahawa PAS tidak lagi mahu dilihat sebagai komponen yang bergantung kepada kekuatan orang lain untuk terus relevan dalam politik pembangkang.
Parti yang menuntut 16 kerusi bukan sedang bercakap tentang penyertaan.
Parti yang menuntut 16 kerusi sedang bercakap tentang pengaruh dan kuasa.
Parti yang menuntut 16 kerusi juga sedang menghantar mesej bahawa mereka mempunyai cita-cita yang lebih besar daripada sekadar menjadi rakan dalam gabungan politik.
Jika PAS benar-benar yakin untuk bergerak lebih jauh di Melaka, siapakah tokoh yang sedang dipersiapkan untuk membawa cita-cita tersebut?
Persoalan itu menjadi semakin penting apabila blok pembangkang masih belum mempunyai seorang tokoh yang jelas mampu menyatukan keseluruhan naratif politik mereka di peringkat negeri.
Kekosongan itulah yang kini sedang menjadi medan perebutan sebenar.
Ali Pasir Berdepan Liabiliti Yang Sukar Dielakkan
Nama Ali Pasir bukan nama asing dalam politik Melaka. Nama beliau harum di kalangan penyokong tegar PAS.
Namun politik hari ini tidak memberi ruang yang luas kepada liabiliti persepsi.
Kewujudan kes mahkamah yang masih menjadi perhatian rakyat Melaka menjadikan kedudukannya sebagai wajah utama kempen negeri semakin sukar dipertahankan. Kes dakwaan rasuah terhadapnya sedang berjalan.
Pilihan raya bukan sekadar pertandingan kekuatan organisasi.
Pilihan raya adalah pertandingan persepsi.
Mana-mana tokoh yang membawa risiko serangan berterusan akan menyebabkan keseluruhan kempen terpaksa bermain secara defensif.
Atas sebab itu, nama Ali Pasir dilihat semakin sukar untuk diketengahkan sebagai "poster boy" utama pembangkang menjelang PRN Melaka.
Ramai pemerhati politik beranggapan beliau mungkin masih mempunyai peranan jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan negeri. Peranan tersebut mungkin hadir dalam bentuk lantikan politik, sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri atau jawatan tertentu yang tidak memerlukan beliau menjadi wajah utama kempen pilihan raya.
Persoalannya, jika bukan Ali Pasir, siapa?
Mengapa Ahli Parlimen Jasin Tiba-Tiba Menjadi Sebutan?
Di sinilah politik pembangkang mula menjadi menarik.
Nama Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail semakin kerap muncul dalam perbualan politik sesama penyokong PAS menjelang PRN Melaka.
Lebih menarik, muncul spekulasi bahawa beliau berpotensi akan bertanding di kerusi DUN pada pilihan raya negeri akan datang.
Langkah seperti ini jarang berlaku tanpa sebab yang besar.
Dalam PAS, bukan sesuatu yang luar biasa apabila seorang Ahli Parlimen turut bertanding di kerusi DUN.
Sejarah politik PAS sendiri menunjukkan pendekatan sedemikian sering digunakan apabila parti mahu mengangkat seseorang tokoh kepada kedudukan yang lebih penting dalam pentadbiran negeri.
Sebab itu persoalan yang semakin kuat bukan sama ada beliau akan bertanding.
Persoalan yang lebih besar ialah mengapa namanya semakin kerap disebut sekarang.
YB Bakri Muncul Sebagai Pilihan Yang Tidak Membawa Beban
Selain Ahli Parlimen Jasin, nama Ahli Parlimen bagi kawasan Tangga Batu, YB Bakri turut mula bergerak dalam radar politik PAS Melaka.
Beliau memiliki beberapa kelebihan berbanding YB Zulkifli dan Ali Pasir.
Kurang kontroversi.
Kurang liabiliti.
Kurang penentangan dalaman.
Namun, jangan disangka air yang tenang tidak mempunyai arus di bawahnya.
Menurut pemerhati politik Melaka, kemunculan nama YB Bakri menunjukkan bahawa PAS mungkin tidak hanya mempunyai satu pilihan untuk diketengahkan.
PAS dilihat sedang menilai beberapa pilihan secara serentak.
Sekiranya PAS mahu menampilkan imej kepimpinan berteraskan agama dan idealisme perjuangan pondok, maka nama seperti YB Zulkifli mempunyai kelebihan tersendiri sebagai simbol tersebut.
Sekiranya PAS mahu membawa imej lebih sederhana, profesional dan korporat, maka YB Bakri dilihat mempunyai kelebihan dalam aspek tersebut. Walau pun beliau bukanlah seorang teknokrat yang hebat.
Bersatu Berdepan Cabaran Tiada Wajah Yang Boleh ‘Dijual’
Masalah utama Bersatu di Melaka bukan semata-mata soal kerusi.
Masalah utama Bersatu ialah soal kepimpinan.
Sehingga hari ini, Bersatu masih belum mempunyai seorang tokoh dominan yang mampu menjadi wajah utama pembangkang negeri secara menyeluruh.
Ketiadaan figura yang benar-benar menonjol menjadi kelemahan yang semakin sukar disembunyikan.

