Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru sahaja bermula, namun Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sudah memberikan gambaran jelas mengenai isu yang ingin dibawa kepada pengundi. Bukan soal kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, banjir atau pembangunan negeri, sebaliknya isu penternakan babi menjadi antara tema utama kempen parti itu.
Perkara tersebut dizahirkan sendiri oleh calon BERSAMA bagi kerusi N46 Perling, Boo Wei Han yang mempertikaikan tindakan terhadap industri penternakan babi dan menggesa kerajaan mengubah pendiriannya.
"Dua tiga generasi bela babi, tiba-tiba suruh tutup. Kami harap kerajaan membuat pusingan U."
Kenyataan itu memberi isyarat bahawa BERSAMA melihat isu penternakan babi sebagai satu agenda yang wajar diketengahkan kepada rakyat Johor sepanjang kempen PRN.
Isu ini dilihat seolah ingin memanaskan semula mengenai penternakan babi yang mendapat perhatian di peringkat nasional baru-baru ini. Di Selangor, Istana Selangor sebelum ini menegaskan bahawa aktiviti penternakan babi tidak wajar diteruskan berikutan kebimbangan terhadap pencemaran tanah, udara dan sumber air, di samping kepentingan menjaga kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.
Lantaran itu, tindakan BERSAMA mengangkat isu berkenaan sebagai salah satu fokus kempen dijangka mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengundi. Ada yang mungkin melihatnya sebagai usaha mempertahankan mata pencarian sebahagian pengusaha, manakala ada juga yang mempersoalkan sama ada isu tersebut benar-benar mencerminkan keutamaan majoriti rakyat Johor.
Persoalan yang bakal menentukan penerimaan pengundi ialah sama ada isu penternakan babi merupakan keutamaan masyarakat di Perling berbanding cabaran lain yang lebih dekat dengan kehidupan harian seperti peluang ekonomi, kos sara hidup, kesesakan lalu lintas, perumahan, kemudahan awam dan pembangunan setempat.
PRN merupakan medan untuk setiap parti menawarkan keutamaan dasar kepada rakyat. Apabila BERSAMA memilih untuk membawa isu penternakan babi sebagai antara naratif awal kempennya, pengundi akhirnya akan menentukan sama ada agenda tersebut benar-benar selari dengan aspirasi dan keperluan mereka.
Persoalannya kini, adakah penternakan babi merupakan isu yang paling penting bagi pengundi Perling, atau terdapat keutamaan lain yang lebih mendesak untuk masa depan Johor?
