Dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia, institusi Diraja bukan sekadar lambang warisan dan adat istiadat negara. Institusi ini merupakan salah satu tonggak utama yang memastikan kestabilan, kesinambungan Perlembagaan dan keseimbangan dalam sistem pemerintahan negara.
Sebab itu, apabila timbul sesuatu isu melibatkan institusi Diraja, perbincangan mengenainya sepatutnya dilakukan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan fakta dan menghormati kedudukan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Malangnya, budaya politik yang semakin ekstrem hari ini telah melahirkan satu fenomena yang membimbangkan. Sebahagian penyokong politik tidak lagi menilai sesuatu isu berdasarkan prinsip atau fakta. Sebaliknya, segala-galanya diukur berdasarkan kesetiaan kepada parti dan pemimpin yang mereka sokong.
Apa sahaja yang memihak kepada kelompok mereka dianggap betul. Apa sahaja yang tidak selari dengan kehendak politik mereka dianggap salah dan perlu diserang.
Budaya inilah yang akhirnya melahirkan kelompok penyokong taksub yang sanggup menyerang sesiapa sahaja, termasuk institusi yang selama ini dihormati rakyat.
Perkembangan terbaru melibatkan teguran yang dibuat oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menjadi contoh yang jelas tentang bagaimana politik kebencian boleh mencetuskan tindak balas melampau dalam kalangan penyokong politik tertentu.
TMJ menyuarakan pandangan dan teguran terhadap beberapa perkembangan politik semasa. Dalam sebuah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara dan Raja Berperlembagaan, pandangan tersebut boleh dipersetujui atau tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.
Namun apa yang berlaku selepas itu jauh lebih membimbangkan.
Media sosial mula dipenuhi dengan pelbagai bentuk serangan peribadi, kata-kata kesat, penghinaan dan tuduhan melampau yang ditujukan kepada TMJ. Ada yang mempersoalkan kedudukan institusi Diraja. Ada yang menggunakan bahasa yang tidak pernah digunakan terhadap institusi negara sebelum ini. Ada yang sanggup menyebarkan pelbagai fitnah semata-mata kerana tidak bersetuju dengan pandangan yang disuarakan.
Persoalannya, dari mana datangnya keberanian untuk menghina institusi yang selama ini dihormati?
Jawapannya mungkin terletak pada budaya politik yang telah lama mengajar penyokong bahawa sesiapa yang mengkritik pemimpin atau parti mereka mesti dianggap sebagai musuh.
Apabila sentimen itu dipupuk secara berterusan, pengikut yang taksub tidak lagi melihat sesuatu isu secara rasional. Mereka tidak lagi membezakan antara kritikan dan penghinaan. Mereka tidak lagi membezakan antara perbezaan pandangan dan serangan terhadap institusi negara.
Apa yang tinggal hanyalah kemarahan politik yang diterjemahkan dalam bentuk cacian dan kebencian.
Lebih membimbangkan apabila terdapat pemimpin politik yang gagal mengecam tindakan penyokong mereka sendiri. Ada yang memilih untuk berdiam diri. Ada yang membiarkan sentimen tersebut berkembang tanpa sebarang teguran.
Keadaan ini akhirnya mewujudkan persepsi bahawa penghinaan terhadap institusi Diraja boleh diterima selagi ia dilakukan atas nama perjuangan politik.
Realitinya, seseorang boleh tidak bersetuju dengan mana-mana pandangan.
Seseorang boleh mengemukakan hujah balas.
Seseorang juga boleh mengkritik secara beradab dan berfakta.
Namun tidak bersetuju tidak memberi lesen untuk menghina.
Tidak bersetuju tidak menghalalkan fitnah.
Tidak bersetuju tidak membenarkan serangan terhadap institusi yang menjadi sebahagian daripada asas negara.
Sejarah membuktikan bahawa institusi Diraja telah memainkan peranan penting dalam pelbagai detik kritikal negara, termasuk ketika berlaku ketidakstabilan politik, pertukaran kerajaan dan pelbagai situasi luar biasa yang memerlukan kebijaksanaan serta pertimbangan yang berlandaskan Perlembagaan.
Parti politik boleh berubah.
Pemimpin politik boleh datang dan pergi.
Kerajaan boleh bertukar ganti.
Namun institusi Diraja kekal menjadi sebahagian daripada identiti negara dan kesinambungan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas Malaysia sejak merdeka.
Atas sebab itu, mana-mana pihak yang secara sengaja atau tidak sengaja menanam kebencian terhadap institusi Diraja demi keuntungan politik jangka pendek sebenarnya sedang melakukan kerosakan yang jauh lebih besar daripada sekadar berpolitik.
Mereka sedang mendidik penyokong supaya menghormati institusi hanya apabila keputusan memihak kepada mereka.
Mereka sedang mengajar penyokong bahawa institusi negara boleh diserang apabila pandangannya tidak selari dengan kepentingan politik tertentu.
Dan apabila budaya itu terus dibiarkan berkembang, yang terhakis bukan sekadar adab politik, yang terhakis ialah rasa hormat terhadap institusi yang menjadi sebahagian daripada asas pembentukan negara Malaysia.
