Hamzah Kekal Ketua Pembangkang: Bukan Sekadar Tukar Kerusi

Melaka Digest
By -
0

Susunan kerusi di Dewan Rakyat jarang menjadi perhatian rakyat. Namun dalam politik, kedudukan seseorang di dalam dewan sering menceritakan realiti yang tidak diucapkan secara terbuka.


Pengesahan Speaker Dewan Rakyat bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang menutup pelbagai spekulasi yang berlegar sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Pada masa sama, kedudukan baharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di barisan hadapan bersama Hamzah mencipta satu persoalan yang lebih besar.

Jika Hamzah kekal mengetuai pembangkang di Parlimen dan Samsuri kini menerajui gabungan, apakah peranan sebenar yang masih dimainkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam struktur kuasa PN?

Bagi sebuah gabungan yang pernah dibentuk di bawah bayangan kepimpinan Muhyiddin, perkembangan ini sukar untuk dianggap sekadar perubahan teknikal.

Di atas kertas, Muhyiddin masih merupakan tokoh paling berpengaruh dalam PN. Beliau dikatakan merupakan arkitek utama pembentukan gabungan tersebut dan individu yang berjaya membawa PN menjadi pencabar utama kepada Kerajaan Perpaduan. Namun politik sentiasa bergerak mengikut keperluan semasa. Pengaruh sejarah tidak semestinya menjamin kedudukan masa depan.

Apa yang berlaku di Dewan Rakyat memperlihatkan satu realiti yang semakin jelas. Hamzah menguasai pentas Parlimen. Samsuri menguasai organisasi gabungan. Kedua-duanya kini berada di kedudukan paling strategik dalam struktur pembangkang.

Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa pusat graviti PN sedang beralih daripada kepimpinan lama kepada generasi baharu.

Hamzah bukan sekadar memegang jawatan Ketua Pembangkang. Beliau kini menjadi wajah utama yang berdepan secara langsung dengan kerajaan setiap kali sidang Dewan Rakyat berlangsung. Setiap serangan terhadap dasar kerajaan, setiap perbahasan penting dan setiap isu nasional akan menjadikan beliau sebagai jurucakap utama blok pembangkang.

Adakah PN sedang menyediakan pelan peralihan kepimpinan tanpa mengumumkannya secara rasmi?

Apa yang berlaku di Dewan Rakyat minggu ini memberi gambaran bahawa PN mungkin sedang memasuki fasa yang masih tiada penghujung apabila Muhyiddin pula semakin dilihat semakin di ketepikan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)