Puad, Jangan Ugut Parti Kerana Kecewa Dengan Keputusan Parti

Melaka Digest
By -
0



Datuk Dr Puad Zarkashi perlu menerima satu hakikat yang menjadi asas perjuangan UMNO sejak dahulu lagi bahawa parti ini dibina atas disiplin, hierarki dan keputusan kolektif, bukannya kehendak individu.


Sebab itu ramai ahli UMNO berasa hairan apabila kenyataan beliau semalam seolah-olah memberi gambaran bahawa parti sedang melakukan kesilapan besar hanya kerana tidak memenuhi kehendak seorang pemimpin.

Hakikatnya, UMNO tidak pernah bergerak berdasarkan tekanan mana-mana individu.

Sejarah juga menunjukkan ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku.

Ramai masih mengingati bagaimana ketika era Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO, desakan dan tekanan yang hampir sama pernah dimainkan apabila timbul persoalan mengenai kedudukan dan masa depan politik tertentu. Akhirnya jawatan diberikan, ruang diberikan dan peluang diberikan.

Namun parti tetap berdepan kekalahan besar dalam PRU14.

Pengajaran daripada episod itu cukup jelas.

UMNO tidak boleh lagi membuat keputusan berdasarkan tekanan, ugutan atau persepsi bahawa parti akan rugi jika tidak memenuhi tuntutan individu tertentu.

Jika Datuk Puad benar-benar mahu bersara daripada politik pilihan raya, maka keputusan itu wajar dihormati.

Namun jika keputusan parti tidak memihak kepada kehendak peribadi, ia tidak sepatutnya diterjemahkan sebagai alasan untuk menekan atau memberi tekanan terbuka kepada kepimpinan parti.

DUN Rengit bukan hak milik sesiapa.

DUN Rengit bukan kawasan warisan politik yang mesti diserahkan kepada individu tertentu mengikut kehendak penyandang.

Dalam UMNO, setiap jawatan dan setiap kerusi adalah amanah parti.

Parti menentukan siapa yang paling sesuai berdasarkan keperluan semasa, strategi pilihan raya dan masa depan organisasi.

Inilah prinsip yang membezakan UMNO daripada parti-parti yang sering dituduh mengamalkan budaya keluarga atau politik kelompok.

Ramai pemimpin muda dalam UMNO memahami perkara ini.

Mereka menang jawatan melalui pertandingan, berkhidmat dalam parti bertahun-tahun dan mendaki satu demi satu tangga kepimpinan tanpa menuntut ganjaran politik sebagai hak mutlak.

Mereka memahami bahawa masih ada Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, ketua-ketua sayap dan ramai lagi yang mempunyai hak serta peluang untuk dipertimbangkan.

Itulah budaya parti yang sihat.

Itulah budaya yang membolehkan UMNO terus bertahan lebih tujuh dekad.

Lebih penting, tiada siapa yang menafikan jasa Datuk Puad kepada parti.

Pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Speaker DUN Johor dan pemimpin yang lantang mempertahankan UMNO sentiasa dihargai.

Malah ramai berpendapat beliau masih boleh terus menyumbang kepada parti tanpa perlu menjadi calon pilihan raya.

Pengalaman dan pengaruh tidak semestinya berakhir apabila seseorang tidak lagi bertanding.

Atas sebab itu, kenyataan yang boleh ditafsir sebagai tekanan terhadap parti hanya mengundang persoalan yang tidak perlu.

Ketika UMNO sedang berusaha memperkukuhkan perpaduan dalaman, mengukuhkan jentera dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran politik yang semakin kompleks, perkara terakhir yang diperlukan ialah polemik yang berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap keputusan parti.

UMNO akan terus bergerak ke hadapan.

Pemimpin datang dan pergi.

Jawatan datang dan pergi.

Kerusi datang dan pergi.

Namun parti mesti sentiasa mengatasi kepentingan individu.

Sebab itulah setiap ahli UMNO, tidak kira setinggi mana kedudukan mereka, akhirnya perlu akur kepada satu prinsip yang sama.

Apabila parti sudah membuat keputusan, tugas seorang pemimpin ialah mempertahankan keputusan tersebut, bukannya menekan parti supaya mengubah keputusan demi memenuhi kehendak peribadi.

Untuk perjuangkan anak sebagai calon, letaklah di tepi dahulu.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)