UEC: Mengapa Nga Kor Ming Memilih Menyerang UMNO Dari Dalam Kerajaan

Melaka Digest
By -
0



Bukan isu UEC yang paling mengundang perhatian tapi yang lebih besar ialah mengapa seorang menteri memilih menyalahkan rakan sendiri dalam Kerajaan Perpaduan di pentas politik.


Apabila Nga Kor Ming mendakwa cadangan berkaitan UEC tidak dapat dilaksanakan kerana kononnya wujud menteri UMNO yang tidak memberikan kerjasama, kenyataan itu mengubah titik perbahasan daripada kandungan dasar kepada dinamika politik dalam Kerajaan Perpaduan. Lebih jauh daripada itu, beliau mengakhiri hujah dengan mesej bahawa masyarakat Cina perlu memberikan mandat lebih besar kepada Pakatan Harapan supaya tidak lagi bergantung kepada UMNO.


Persoalannya, adakah ini usaha mencari penyelesaian atau membina naratif menjelang pilihan raya?


Dalam sistem Kabinet Malaysia, perbezaan pandangan bukan sesuatu yang luar biasa. Setiap cadangan dasar melalui proses penelitian, perbincangan dan pertimbangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan. Peranan seorang menteri bukan sekadar menyokong semua cadangan yang dibawa ke meja Kabinet, sebaliknya memastikan setiap keputusan mengambil kira kepentingan negara secara menyeluruh.

Atas sebab itu, jika terdapat menteri UMNO yang meneliti atau mempersoalkan sesuatu cadangan berkaitan dasar pendidikan, ia tidak boleh terus dilabel sebagai tindakan menghalang. Menyemak, memperhalusi dan mempertimbangkan implikasi sesuatu dasar merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pentadbiran.

Inilah prinsip yang sering dipegang oleh UMNO. Apabila sesuatu isu menyentuh Perlembagaan, kedudukan bahasa kebangsaan, institusi negara, pendidikan atau kepentingan nasional, pemimpin-pemimpinnya tidak pernah mengambil sikap berdiam diri. Sama ada pendirian itu diterima atau tidak, ia tetap sebahagian daripada amanah yang diberikan oleh pengundi kepada mereka.

Apa yang lebih membimbangkan ialah cara isu ini mainkan dan naratif dibina. Kenyataan Nga Kor Ming seolah-olah cuba mewujudkan persepsi bahawa UMNO menjadi penghalang kepada aspirasi masyarakat Cina, sebelum menawarkan penyelesaian politik bahawa Pakatan Harapan perlu diberikan kuasa yang lebih besar.

Naratif seperti ini bukan sekadar mempertikaikan pendirian sebuah parti. Ia berisiko mewujudkan gambaran bahawa rakan dalam Kerajaan Perpaduan sendiri menjadi masalah utama kepada agenda kerajaan.

Sekiranya setiap isu dasar dijadikan medan untuk menyalahkan rakan Kabinet, apakah makna sebenar konsep tanggungjawab kolektif yang menjadi asas pentadbiran negara?

Lebih menarik perhatian, kenyataan tersebut hadir ketika perhatian rakyat turut tertumpu kepada pelbagai isu lain yang melibatkan kementerian di bawah portfolio beliau dan paling kritikal adalah isu pembaziran kiok yang nilainya ratusan juta ringgit?.

Dalam suasana sedemikian, kenyataan berprofil tinggi yang menyasarkan UMNO secara tidak langsung mengubah fokus perdebatan orang ramai daripada prestasi pentadbiran kepada konflik politik antara parti.

Walau apa pun sebab di sebaliknya, strategi sedemikian hanya menguntungkan politik jangka pendek. Sebaliknya, ia boleh menghakis keyakinan terhadap keupayaan Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan perbezaan pandangan secara matang dan tertutup.

Rakyat tidak mengundi kerajaan campuran untuk melihat menteri saling menyalahkan melalui media. Rakyat mengharapkan perbezaan diselesaikan di meja Kabinet, manakala keputusan akhir dipertahankan secara bersama.

Sekiranya benar wujud perbezaan pendirian mengenai UEC, ruang Kabinet ialah tempat yang paling wajar untuk mencapai kesepakatan. Membawa pertikaian itu ke pentas politik sambil mengaitkannya dengan keperluan menyingkirkan pengaruh UMNO hanya mengundang persoalan terhadap komitmen sebenar terhadap semangat Kerajaan Perpaduan.

Akhirnya, isu ini bukan lagi semata-mata mengenai UEC. Isunya ialah budaya pentadbiran. Apabila seorang menteri mula menggunakan perbezaan pandangan dalam Kabinet sebagai modal politik untuk melemahkan rakan sendiri, persoalannya bukan siapa yang menang dalam polemik ini. Persoalan sebenar ialah siapa yang sedang menanggung risiko terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Jika semangat kerjasama terus digantikan dengan kempen menyalahkan rakan sendiri, yang rugi bukan hanya UMNO atau Pakatan Harapan. Yang paling rugi ialah kerajaan yang dibentuk atas janji untuk mentadbir secara bersama demi kepentingan negara.

DAP antara sebab utama UMNO-BN mula menjauhkan diri dari Pakatan Harapan.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)