Keputusan DAP Melaka untuk keluar daripada Kerajaan Negeri susulan kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 adalah hak politik parti tersebut. Dalam sistem demokrasi, setiap parti berhak menentukan pendirian terhadap sesuatu dasar atau undang-undang. Namun, perlu dibezakan dengan jelas antara
Apa yang jelas, pindaan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Melaka bukan dibuat di luar kerangka undang-undang. Sebaliknya, ia dilaksanakan mengikut Perlembagaan Negeri Melaka, dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan melalui tatacara yang diperuntukkan dalam Dewan Undangan Negeri. Dari sudut perlembagaan, kerajaan negeri menggunakan saluran yang sah untuk meminda undang-undang tubuh negeri.
Justeru, adalah tidak tepat untuk menyifatkan sesuatu yang diluluskan mengikut proses perlembagaan sebagai tindakan yang menafikan demokrasi. Dalam sistem demokrasi berparlimen, Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal dan meminda undang-undang mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan. Selagi proses itu mematuhi kehendak perlembagaan dan peraturan Dewan, ia merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi berperlembagaan.
DAP berhujah bahawa semua wakil rakyat sepatutnya dipilih melalui pilihan raya. Itu merupakan pendirian politik yang boleh dihormati dan diperdebatkan. Namun, pendirian tersebut tidak bermaksud semua bentuk pelantikan yang diperuntukkan oleh undang-undang adalah tidak demokratik. Malaysia sendiri mengamalkan pelbagai bentuk pelantikan yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bagi memenuhi fungsi tertentu dalam pentadbiran negara.
Tujuan memperkenalkan mekanisme seperti ADUN lantikan ialah membolehkan Dewan mendapat manfaat daripada kepakaran individu yang mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya tetapi mempunyai pengalaman dalam bidang seperti ekonomi, pendidikan, perundangan, kesihatan, teknologi dan pembangunan masyarakat.
DAP berpendapat kepakaran boleh disalurkan melalui jawatankuasa atau panel penasihat. Pandangan itu mempunyai merit sebagai satu pilihan dasar. Namun, ia bukan ukuran mutlak untuk menentukan sama ada sesuatu mekanisme itu demokratik atau sebaliknya.
Malah, hujah DAP menimbulkan persoalan tentang konsistensi pendiriannya. Umum mengetahui bekas ADUN DAP Skudai, Marina Ibrahim, pernah didedahkan menerima cadangan daripada kepimpinan DAP untuk dipertimbangkan sebagai Pengerusi sebuah badan berkanun negeri sekiranya beliau tewas dalam pilihan raya negeri Johor yang baru sahaja selesai. Menurut Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, cadangan itu bertujuan membolehkan Marina terus menyumbang kepada masyarakat dan kerajaan walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai wakil rakyat.
Persoalannya, jika pelantikan ke jawatan badan berkanun atas alasan untuk terus menyumbang kepada masyarakat boleh diterima, mengapa konsep pelantikan ADUN yang diwujudkan melalui pindaan perlembagaan negeri pula terus dilabel sebagai tidak demokratik? Bukankah kedua-duanya juga melibatkan mekanisme pelantikan bagi membolehkan seseorang menyumbang kepada pentadbiran dan rakyat?
Lebih penting, Rang Undang-Undang tersebut tidak diluluskan secara unilateral oleh kerajaan negeri. Ia dibentangkan, dibahaskan dan diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri mengikut proses yang diperuntukkan dalam sistem demokrasi berparlimen. Semua Ahli Dewan, termasuk pembangkang, diberi ruang untuk berhujah, membantah dan mengundi mengikut pendirian masing-masing. Itulah asas demokrasi berperlembagaan.
Keputusan DAP Melaka untuk keluar daripada kerajaan negeri adalah pilihan politik mereka. Namun, tindakan itu tidak mengubah hakikat bahawa pindaan tersebut telah diluluskan melalui saluran yang sah di sisi Perlembagaan Negeri Melaka. Perbezaan pendapat terhadap sesuatu dasar tidak semestinya bermaksud proses yang melahirkannya tidak demokratik.
Perbahasan mengenai keperluan ADUN lantikan wajar diteruskan secara terbuka dan matang. Namun, perbahasan itu seharusnya tertumpu kepada keberkesanan dasar, keperluan pentadbiran dan manfaat kepada rakyat, bukannya menafikan kesahan proses perundangan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri Melaka.
Demokrasi bukan hanya mengenai pilihan raya. Demokrasi juga menuntut penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang, institusi legislatif dan proses perlembagaan. Selagi sesuatu pindaan diluluskan mengikut Perlembagaan Negeri Melaka dan prosedur Dewan Undangan Negeri, ia kekal sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi berperlembagaan yang menjadi asas sistem pemerintahan negara.
