Dalam politik, perbezaan pendapat bukan sesuatu yang luar biasa. Setiap gabungan yang dibentuk daripada parti-parti berlainan ideologi pasti akan melalui detik perselisihan. Namun sejarah politik menunjukkan bahawa sesebuah gabungan jarang runtuh kerana wujudnya perbezaan. Sebaliknya, ia mula dipersoalkan apabila perbezaan itu tidak lagi dapat diurus melalui semangat muafakat dan penghormatan terhadap kepimpinan bersama. Atas sebab itu, apa yang berlaku di Melaka hari ini tidak boleh dilihat sebagai isu terpencil mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan. Ia telah berkembang menjadi satu episod politik yang mengundang persoalan lebih besar tentang kesepaduan Pakatan Harapan (PH) dan keberkesanan mekanisme kepimpinannya.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil pendekatan yang sederhana dan jelas. Beliau tidak menyeru kepada konfrontasi, sebaliknya meminta DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri. Rayuan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, kepimpinan DAP Melaka dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Bagi Anwar, perbezaan pandangan tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab terhadap pembangunan negeri dan kebajikan rakyat. Beliau mengingatkan bahawa dalam sebuah kerajaan gabungan, tidak semua perkara akan dipersetujui tetapi agenda pembangunan perlu diteruskan sementara perbezaan diselesaikan melalui rundingan.
Rayuan tersebut membawa satu mesej yang cukup penting. Sebuah kerajaan gabungan hanya mampu bertahan jika setiap parti bersedia menghormati proses perundingan dan keputusan bersama. Demokrasi memberi ruang kepada perbezaan pendapat, tetapi kestabilan politik menuntut kematangan untuk mengurus perbezaan itu tanpa menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Namun, DAP Melaka tetap mengumumkan keputusan untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan ADUN lantikan. Dari sudut hak politik, setiap parti berhak menentukan pendiriannya sendiri.
Namun dari sudut persepsi awam, keputusan itu berlaku selepas rayuan terbuka daripada Pengerusi Pakatan Harapan supaya tindakan tersebut ditangguhkan bagi memberi ruang kepada rundingan. Di sinilah isu ini berubah daripada sekadar keputusan sebuah parti kepada persoalan tentang bagaimana hubungan dalaman gabungan itu dilihat oleh rakyat.
Dalam politik, persepsi sering menjadi sama penting dengan realiti. Rakyat bukan sekadar menilai apa yang diputuskan tetapi juga bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan apakah isyarat yang dihantar kepada umum. Apabila sebuah parti memilih untuk meneruskan pendiriannya walaupun terdapat gesaan supaya memberi ruang kepada rundingan, sebahagian pemerhati politik akan melihatnya sebagai petunjuk bahawa proses membina konsensus dalam gabungan sedang diuji. Sama ada tafsiran itu tepat atau tidak, ia tetap menjadi sebahagian daripada perbahasan politik yang perlu dihadapi oleh kepimpinan Pakatan Harapan.
Peristiwa di Melaka juga mengingatkan bahawa membentuk kerajaan adalah satu perkara tetapi mengekalkan kesepaduan sebuah kerajaan gabungan adalah cabaran yang jauh lebih besar. Parti-parti yang mempunyai sejarah, budaya politik dan keutamaan berbeza sentiasa memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan mereka ketika berdepan perbezaan. Dalam konteks ini, kewibawaan tidak hanya diukur melalui jawatan yang disandang, tetapi melalui keupayaan memupuk persefahaman dan memastikan saluran rundingan terus dihormati oleh semua pihak.
Apa yang berlaku di Melaka membuktikan bahawa Pakatan Harapan sedang berpecah dan juga membuktikan bahawa hubungan antara parti-parti komponennya seolah sudah tidak boleh dipulihkan.
.jpeg)