Apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan secara terbuka bahawa beliau tidak akan menyertai debat, persoalan utama bukan lagi siapa hadir atau siapa menang. Persoalannya ialah mengapa program itu masih diteruskan sehingga memerlukan penggunaan fasiliti kerajaan dan mobilisasi agensi kerajaan, sekiranya surat yang tular itu benar.
Surat rasmi Jabatan Penerangan Negeri Johor menunjukkan jemputan ke Dialog Pilihan Raya Negeri Johor di Auditorium RTM Johor, lengkap dengan kuota kehadiran daripada pelbagai agensi kerajaan, GLC dan rangkaian Komuniti MADANI. Jika kandungan surat itu sahih, rakyat berhak mempersoalkan mengapa sebuah program yang mempunyai kepentingan politik semasa kempen PRN memerlukan penglibatan jentera kerajaan untuk memastikan dewan dipenuhi. Ini ketirisan wang rakyat secara terbuka.
Lebih menghairankan, program tersebut tetap diteruskan walaupun objektif asalnya sudah tidak lagi wujud.
Debat sepatutnya menjadi medan pertukaran idea antara dua pihak. Apabila salah seorang peserta telah memutuskan untuk tidak hadir, apakah tujuan sebenar meneruskan program tersebut? Adakah ia masih bertujuan memberi manfaat kepada rakyat, atau sekadar menyediakan pentas kepada sebelah pihak untuk menyerang lawan yang tiada peluang menjawab?
Rakyat tidak selesa kerana Pakatan Harapan selama bertahun-tahun membina naratif bahawa kerajaan dan parti politik mesti dipisahkan. Mereka lantang mengkritik penggunaan aset kerajaan, kemudahan awam dan penjawat awam bagi kepentingan politik. Sebab itu, apabila timbul surat seperti ini, persepsi yang lahir sukar dielakkan. Rakyat akan melihat sama ada prinsip yang pernah diperjuangkan masih dihormati atau telah berubah apabila kuasa berada di tangan sendiri.
Tiada siapa mempertikaikan hak mana-mana pihak untuk menganjurkan dialog atau forum politik. Namun, sekiranya kemudahan kerajaan seperti RTM, Jabatan Penerangan serta rangkaian agensi kerajaan digunakan untuk menjayakan program yang memberi manfaat politik kepada satu pihak, penjelasan terbuka perlu diberikan. Ketelusan bukan lagi pilihan tetapi tanggungjawab sebuah kerajaan yang pernah menjanjikan reformasi institusi.
Lebih penting daripada itu, rakyat Johor berhak mengetahui mengapa program tersebut masih dipaksakan selepas Onn Hafiz mengesahkan tidak akan hadir. Jika bukan lagi untuk berdebat, apakah matlamat sebenar penganjurannya?
Adakah ia sekadar mahu membina persepsi politik, memperlekehkan keputusan Onn Hafiz atau cuba menggambarkan seolah-olah kepimpinan Bangsa Johor takut berhadapan dengan lawan?
“Nak ambil peluang mencela Bangsa Johor?” kata pemerhati politik JB.
