Puad, Dari PAS Masuk UMNO Masuk PKR?

Melaka Digest
By -
0

Pendedahan terbaharu oleh Datuk Lokman Adam banyak membantu ahli UMNO dan warga Johor sedar apa yang sebenarnya berlaku. Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, alasan yang diberikan Puad ialah beliau mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas kerana kononnya wujud campur tangan Istana Johor dalam pentadbiran parti. Dakwaan tersebut disifatkan Lokman sebagai satu tuduhan yang serius kerana melibatkan institusi yang dihormati.


Lokman bagaimanapun menegaskan, tindakan Puad kali ini bukan sesuatu yang luar biasa. Dakwanya, corak yang sama pernah berlaku sebelum ini apabila Puad dikatakan mengambil keputusan meninggalkan PAS selepas berlaku rasa tidak puas hati. Justeru, beliau mendakwa budaya merajuk dan meninggalkan parti bukanlah episod baharu dalam perjalanan politik Puad.

Menurut Lokman lagi, sejarah yang lebih jelas berlaku menjelang Pilihan Raya Umum 2013. Ketika tidak dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional bagi Parlimen Batu Pahat, Puad didakwa mengugut UMNO dengan menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas. Hasrat itu bagaimanapun tidak diteruskan selepas beliau dipanggil menghadap Kebawah Duli Tuanku Sultan Johor.

Lokman turut mendakwa bahawa tindakan tersebut memberi kesan kepada penerimaan ahli-ahli UMNO terhadap Puad. Dalam pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas itu, beliau mengalami kekalahan yang disifatkan sebagai isyarat penolakan daripada akar umbi terhadap sikap yang dianggap meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti.

Ironinya, kata Lokman, walaupun tidak dipilih sebagai calon Parlimen, Puad tetap diberikan peluang besar apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), satu jawatan yang menurutnya berada pada gred JUSA A, sedangkan struktur asal jawatan Ketua Pengarah JASA hanyalah pada gred JUSA C. Bagi Lokman, ini menunjukkan parti masih memberi kepercayaan dan penghargaan kepada Puad.

Lokman turut menolak dakwaan bahawa keputusan Puad meninggalkan UMNO berpunca daripada isu campur tangan Istana Johor. Sebaliknya, beliau mendakwa punca sebenar lebih berkait dengan soal pencalonan politik.

Menurut beliau, Puad dikatakan menjangkakan bahawa sekiranya beliau tidak lagi bertanding sebagai wakil rakyat, anaknya akan diberi laluan untuk menggantikannya sebagai calon pilihan raya.

“Saya tidak tahu bagaimana dia merasakan bahawa bila dia dah tak jadi wakil rakyat maka mesti digantikan dengan anak kita"

Lokman kemudian mengingatkan bahawa UMNO bukan sebuah parti yang mewariskan jawatan politik secara automatik kepada ahli keluarga.

"Parti ini bukan parti mak bapak kita"

"Parti ini bukan parti warisan turun-temurun anak beranak"


Beliau menambah, sekiranya seseorang anak itu benar-benar mempunyai kelayakan, kemampuan dan mendapat sokongan akar umbi, tiada halangan untuk diketengahkan. Namun ia tidak boleh dianggap sebagai hak yang wajib diberikan.

Lokman juga menyentuh mengenai usaha anak Puad menerusi program podcast "Omar-Puad". Menurut beliau, rancangan tersebut masih belum mencapai tahap pengaruh, capaian dan populariti yang boleh dijadikan ukuran bahawa seseorang itu layak dipilih sebagai calon pilihan raya.

"Macam mana kalau buat podcast tu nak mewajibkan parti ambil anak dia sebagai calon pilihan raya menggantikan dia?"

Beliau turut mengingatkan bahawa Puad sendiri pernah bertanding sebagai Ketua Bahagian tetapi tewas, sekali gus menunjukkan bahawa sokongan dalam parti tidak boleh diukur berdasarkan persepsi atau populariti di media sosial semata-mata.

Realitinya, naratif yang dibawa Lokman Adam ialah tindakan Puad meninggalkan UMNO bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Istana Johor, sebaliknya didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap hala tuju politik peribadinya.

VIDEO
 


 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)