Rafizi Ramli datang ke Melaka membawa cerita tentang politik baharu. Parti Bersama Malaysia mendakwa politik lama sudah gagal, gabungan politik hanya mementingkan kuasa, calonnya lebih profesional dan undi hari ini akan membina kekuatan pada masa hadapan.
Ceritanya menarik. Rakyat Melaka hanya perlu bertanya satu perkara.
Apa sebenarnya Rafizi nak bawa ke Melaka?
Jika Rafizi mahu membawa politik yang mendahulukan rakyat, beliau perlu menjelaskan mandat yang ditinggalkan sebelum penggal berakhir.
Rafizi mengosongkan kerusi Parlimen Pandan. Nik Nazmi Nik Ahmad meninggalkan Setiawangsa. Wong Chen kemudian meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan tiada pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kawasan tersebut. Pandan, Setiawangsa dan Subang kini tidak mempunyai Ahli Parlimen yang dipilih rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang. Tindakan mereka sah di sisi undang-undang, namun pengundi tetap kehilangan suara di Dewan Rakyat.
Politik baharu tidak boleh meminta mandat baharu sebelum menjelaskan mandat lama yang ditinggalkan.
Jika Rafizi mahu membawa kehebatan mengurus ekonomi, rekodnya sebagai Menteri Ekonomi mesti dibuka untuk dinilai. Beliau memang memperkenalkan PADU, Inisiatif Pendapatan Rakyat dan terlibat menyediakan RMK13. Pelancaran program dan penghasilan dokumen belum membuktikan sesuatu formula berjaya memajukan negara.
IPR dilancarkan dengan peruntukan RM750 juta dan dilaporkan menyasarkan kira-kira 120,000 golongan miskin tegar. Selepas hampir tiga tahun, Kementerian Ekonomi memaklumkan program itu memberi manfaat kepada 7,787 isi rumah. Mereka yang dibantu wajar dihargai, namun jurang antara sasaran awal dengan skala pelaksanaannya perlu dijelaskan.
Kehebatan seorang Menteri Ekonomi bukan diukur melalui nama program. Ukurannya ialah pendapatan yang meningkat, pekerjaan yang diwujudkan, produktiviti yang bertambah dan kos kehidupan yang semakin ringan.
Rafizi pernah diberikan sebuah kementerian untuk membuktikan formulanya. Rekod yang ditinggalkan belum menunjukkan beliau memiliki formula luar biasa yang berjaya membawa Malaysia menjadi negara maju. Jika kehebatannya belum terbukti ketika memegang kuasa Persekutuan, formula apakah yang mahu dibawa ke Melaka?
Nik Nazmi juga pernah berada dalam Kabinet. Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang dijangka dibentangkan pada suku pertama 2025 masih belum menjadi undang-undang sehingga Ogos 2026. Nik Nazmi mendakwa rang undang-undang itu hampir siap sebelum beliau meninggalkan kementerian. Kenyataan tersebut tetap menunjukkan satu agenda utama tidak sempat diselesaikan ketika beliau berkuasa.
Wong Chen pula bukan bekas menteri. Beliau menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal. Jika pengalaman itu mahu dijadikan bukti kewibawaan Bersama, terbitkan laporan prestasi yang boleh dinilai. Senaraikan dasar yang berjaya diubah, masalah yang diselesaikan dan hasil yang boleh diaudit.
Rakyat tidak boleh diminta mempercayai imej semata-mata.
Jika Rafizi mahu membawa strategi politik baharu, Johor sudah memberikan ujian pertamanya.
Kesemua 15 calon Bersama kehilangan deposit selepas secara purata hanya memperoleh antara tiga hingga enam peratus undi. Tiada seorang pun mencapai paras minimum 12.5 peratus untuk menyelamatkan deposit.
Johor bukan kajian pendapat. Johor ialah keputusan sebenar peti undi.
Kempen Bersama turut hilang arah apabila calon Perling, Boo Wei Han, membawa isu larangan penternakan babi di Selangor ke pentas pilihan raya Johor. Rafizi pada mulanya memuji keberanian Boo.
Malam berikutnya, Rafizi mengakui terpaksa mengeluarkan garis panduan kepada semua calon kerana tidak mahu kejadian sama berulang dan keadaan itu menyukarkannya untuk menjawab.
Isu penternakan babi di Selangor akhirnya kelihatan seolah-olah menjadi perjuangan calon Bersama di Johor. Boo hanya memperoleh 2,996 undi atau 4.4 peratus di Perling.
Adakah kegagalan mengawal mesej calon, kekeliruan memilih isu dan kehilangan semua 15 deposit merupakan model kempen yang mahu dibawa ke Melaka?
Bersama turut menjual imej calon profesional sebagai bukti kebolehan. Gelaran doktor, peguam atau ahli korporat menunjukkan kelayakan seseorang. Ia tidak menjamin keupayaan mengurus kawasan.
Bersama kini mempertaruhkan Dr Muhammad Solehin Saleh di Bemban. Kawasan itu sebelum ini dimenangi seorang lagi doktor, Dr Mohd Yadzil Yaakub, atas tiket Bersatu.
Penduduk Bemban masih berdepan banjir berulang. Lebih 60 rumah di Kampung Lubok Kasau dilaporkan terjejas apabila Sungai Bemban melimpah. Kerajaan negeri kemudian menyalurkan RM800,000 untuk menaik taraf sistem saliran sehingga risiko banjir berjaya dikurangkan sekitar 70 peratus.
Dr Yadzil tidak boleh dipersalahkan seorang diri. Rekod Bemban tetap membuktikan gelaran profesional bukan pengganti kepada keupayaan mendapatkan peruntukan, menggerakkan agensi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Melaka bukan pusat pemulihan reputasi politik. Rakyat tidak patut diminta memberikan peluang baharu hanya kerana sebuah parti menggunakan nama dan kononnya wajah baharu politik negara.
Rafizi mungkin sudah membawa calon, poster dan ucapan ke Melaka. Setakat ini, apa yang dibawanya ialah tiga kerusi Parlimen tanpa wakil rakyat, rekod kementerian yang belum membuktikan kehebatan luar biasa, kempen Johor yang hilang arah serta 15 calon yang kesemuanya kehilangan deposit.
Apa yang masih belum dibawa Rafizi ke Melaka ialah bukti kejayaan.
