Kerusi BN Melaka Bukan Untuk Diagih Dari Luar

Melaka Digest
By -
0



PH boleh memberikan mandat. PN boleh mengumumkan rundingan positif. Namun tidak seorang pun boleh mengagihkan kerusi BN sebelum BN Melaka dan akar umbinya membuat keputusan.” Itulah pandangan pemerhati politik Melaka dan juga rata-rata suara dari akar umbi serta laporan dari portal maya termasuk dari liputan berita TV .


Belum pun Barisan Nasional memuktamadkan bentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka, pemimpin parti lain sudah mula bercakap seolah-olah kerusi BN tersedia untuk dibahagikan.

Berita RTM pada 25 Ogos 2026, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Datuk Seri Amirudin Shari diberikan mandat untuk memperincikan kerjasama antara Pakatan Harapan dengan BN, termasuk perkara berkaitan agihan kerusi.

Sinar Harian pula, sehari sebelumnya, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan rundingan PN-BN telah bermula. Beliau menyifatkan perkembangan awal sebagai sangat positif, manakala Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa perbincangan semakin hampir mencapai persefahaman.

PH sudah memberikan mandat kepada perundingnya. PN sudah bercakap mengenai kemajuan rundingan. Penganalisis pula mula menggambarkan BN seperti sedang memilih antara dua pasangan.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sendiri menggunakan kiasan perkahwinan untuk menerangkan kedudukan BN. Beliau mengumpamakan BN Melaka sebagai “anak dara cantik” yang ramai mahu meminang.

“Jadi pastinya saya sebagai ketua dalam keluarga ini memilih siapa yang memberi mas kahwin yang terbaik untuk menjadi menantu saya.”

Kiasan itu bukan bermaksud kerusi BN sedang dilelong kepada pihak yang menawarkan habuan paling besar. “Mas kahwin terbaik” dalam konteks politik mestilah formula yang memperkuatkan BN, menjaga kestabilan negeri dan memberikan manfaat kepada rakyat Melaka.

Anak dara yang menjadi pilihan ramai tidak perlu tergesa-gesa menerima pinangan pertama. Pihak yang datang meminang juga tidak boleh mengumumkan tarikh perkahwinan sebelum keluarga membuat keputusan.

Memberikan mandat untuk berunding tidak sama dengan memperoleh persetujuan BN. Memulakan perbincangan pula tidak bermakna kerusi sudah dipersetujui untuk diserahkan.

PH dan PN mempunyai hak mengemukakan formula masing-masing. BN juga berhak mendengar semua cadangan yang mampu mengukuhkan kestabilan politik Melaka.

Rundingan bukan tanda kelemahan. Membuka ruang perbincangan tidak bermaksud BN terdesak mencari penyelamat.

BN memasuki sebarang rundingan sebagai gabungan yang memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRN 2021. PH memenangi lima kerusi, manakala PN memperoleh dua kerusi.

Angka tersebut menunjukkan kedudukan sebenar setiap pihak di Melaka. BN bukan parti kecil yang menunggu diberikan tempat. BN membentuk kerajaan melalui mandat besar rakyat dan mempunyai organisasi di seluruh negeri.

Sebarang kerjasama mesti bermula dengan menghormati mandat itu.

Berita RTM juga melaporkan, Ab Rauf telah menegaskan bahawa 21 kerusi yang dimenangi BN menjadi asas rundingan dan akan dipertahankan. Baki tujuh kerusi boleh dibincangkan berdasarkan kekuatan, kelemahan dan kemampuan setiap parti membantu kemenangan.

Pendirian itu jelas. BN terbuka berbincang tetapi keterbukaan tersebut bukan lesen untuk mana-mana pihak mengumumkan pembahagian kerusi dari Kuala Lumpur, Shah Alam, Marang atau Putrajaya.

Kerusi DUN bukan angka kosong di atas meja rundingan.

Di setiap kawasan terdapat bahagian UMNO, cawangan, pemimpin tempatan dan petugas yang menjaga rakyat ketika pilihan raya masih jauh. Mereka mengurus aduan, menyampaikan bantuan, mempertahankan parti dan membina keyakinan selepas setiap krisis.

Keputusan yang dibuat tanpa mendengar akar umbi boleh menyebabkan calon ditolak, jentera bekerja separuh hati dan penyokong memilih untuk tidak keluar mengundi.

Formula mungkin kelihatan sempurna di atas kertas tetapi tetap gagal jika tidak mampu memindahkan undi di lapangan.

Atas sebab itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN tidak akan memasuki sebarang kerjasama secara membuta tuli. Sentimen akar umbi masih bercampur dan kajian terperinci sedang dilakukan. Beliau turut mengiktiraf peranan Ab Rauf sebagai Pengerusi BN Melaka dalam menentukan keputusan.

Pendirian tersebut bukan tanda BN keliru. Ia menunjukkan BN tidak mahu menerima pinangan hanya kerana ditekan oleh kenyataan media pihak lain.

PH juga perlu memahami kedudukannya.

Pada Julai lalu, PH Melaka memilih keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri selepas menolak pindaan berkaitan ADUN lantikan. Sebulan kemudian, kepimpinannya mahu membincangkan kerjasama dan agihan kerusi dengan BN.

PH berhak mengubah strategi. Perubahan itu tidak memberikan hak kepada PH menentukan kerusi yang patut diserahkan kepadanya.

PN pula tidak boleh menggunakan “jasa” di Johor dan Negeri Sembilan sebagai tuntutan automatik terhadap kerusi Melaka. Abdul Hadi berkata peranan PAS di kedua-dua negeri perlu diambil kira dalam rundingan PRN Melaka.

Kerjasama lalu boleh dihargai. Jasa politik tidak boleh ditukar menjadi invois yang perlu dibayar menggunakan kerusi milik akar umbi.

Prestasi di negeri lain tidak boleh mengatasi keputusan sebenar di Melaka. Setiap pihak yang mahu bekerjasama dengan BN perlu membuktikan jumlah undi baharu yang mampu dibawa, kawasan kekuatannya, penerimaan terhadap calon dan bagaimana kerjasama itu boleh menambah kemenangan BN.

Matlamat rundingan bukan untuk menghimpunkan paling banyak logo parti di atas pentas. Matlamatnya ialah membentuk formula yang boleh menang, diterima akar umbi dan menghasilkan kerajaan negeri yang stabil.

BN tidak perlu menutup pintu kepada PH atau PN. BN juga tidak perlu menyerahkan kunci rumah hanya kerana ramai datang meminang.

Pinangan boleh dipertimbangkan. Perkahwinan hanya berlaku selepas keluarga bersetuju. Kerusi BN Melaka bukan untuk diagih dari luar.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)