Kongres DAP, PRN Melaka tarik perhatian pelabur menjelang PRU16

Melaka Digest
By -
0

KUALA LUMPUR: Ogos menjadi bulan yang 'sibuk' buat pelabur apabila perhatian kini beralih kepada beberapa perkembangan politik tempatan yang dijangka mempengaruhi sentimen pasaran, dengan tumpuan utama terarah kepada Kongres Khas DAP pada 16 Ogos ini bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen.

Pada masa sama, pelabur turut memantau kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilihat mampu memberikan gambaran lebih jelas mengenai dinamik kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dalam tempoh itu, pasaran juga dijangka dipengaruhi beberapa perkembangan utama lain termasuk Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), pengumuman laporan akhir Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 serta kemuncak musim pengumuman keputusan kewangan syarikat tersenarai.

Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang, berkata gabungan faktor politik dan ekonomi itu akan menjadi pemacu utama hala tuju pasaran saham tempatan sepanjang Ogos, selain perkembangan luaran yang terus mencorakkan sentimen pelabur global.

Beliau berkata, dari sudut politik, tumpuan pasaran kini beralih kepada Kongres Khas DAP yang dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos, apabila perwakilan akan mengundi sama ada parti itu kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga berakhirnya penggal Parlimen semasa.

"Pelabur juga akan memantau perkembangan berkaitan kemungkinan PRN Melaka kerana keputusan itu boleh memberikan gambaran awal mengenai dinamik kerjasama politik menjelang PRU16," katanya dalam laporan pasaran bulanan yang diterbitkan CIMB Securities.

Perhatian terhadap perkembangan politik itu hadir selepas Barisan Nasional (BN) mengukuhkan kedudukannya pada PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai lalu apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga, manakala baki lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Perkembangan itu disusuli keputusan Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos yang menyaksikan kerjasama tidak rasmi BN dan Perikatan Nasional (PN) menguasai 25 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, membabitkan 18 kerusi dimenangi BN dan tujuh oleh PN, manakala PH memenangi baki 11 kerusi.

Selain perkembangan politik, Lee Fang berkata, pelabur dijangka memberi tumpuan kepada Sidang Khas Parlimen yang akan membahaskan dapatan RCI berkaitan TH, di samping memantau pelaksanaan dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) bagi penjawat awam yang layak serta perkembangan cadangan memperluaskan komponen FBM KLCI kepada 50 saham daripada 30 saham.

Beliau berkata, musim keputusan kewangan suku kedua syarikat tersenarai juga dijangka menjadi pemacu penting pasaran memandangkan sebahagian besar syarikat akan mengumumkan prestasi kewangan masing-masing sepanjang bulan ini.

Katanya, setakat ini, 19 syarikat di bawah liputan CIMB Securities sudah mengumumkan keputusan kewangan, dengan 21 peratus mencatat prestasi mengatasi jangkaan, manakala 26 peratus berada di bawah unjuran, sementara selebihnya menepati jangkaan pasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata pasaran saham tempatan memasuki Ogos dengan momentum yang lebih positif selepas FBM KLCI mencatat prestasi bulanan terbaik tahun ini apabila meningkat 3.66 peratus kepada 1,725 mata pada Julai, dipacu pengukuhan asas makroekonomi domestik, kemasukan semula dana asing serta permulaan musim keputusan kewangan yang memberangsangkan.

"Sentimen pasaran turut disokong oleh pertumbuhan awal KDNK suku kedua 2026 sebanyak 5.8 peratus, inflasi yang semakin sederhana serta keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara," katanya.

Mengulas aliran pelaburan, Lee Fang berkata, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih pada Julai dengan aliran masuk RM267 juta selepas dua bulan berturut-turut mencatat aliran keluar, sekali gus mengurangkan jumlah aliran keluar bersih bagi tujuh bulan pertama tahun ini kepada RM2.86 bilion.

Beliau berkata, pembelian pelabur asing tertumpu kepada sektor perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan utiliti, dengan saham Public Bank Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Westports Holdings Bhd menjadi antara pilihan utama.

Dalam tempoh sama, institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM406 juta selepas dua bulan berturut-turut mencatat pembelian bersih, manakala pelabur runcit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk bulan ketiga berturut-turut walaupun nilai pembelian susut kepada RM19 juta.

Di peringkat antarabangsa, beliau berkata pasaran masih perlu berdepan beberapa ketidaktentuan termasuk perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS) di bawah Seksyen 301, simposium Jackson Hole, ketegangan geopolitik di Asia Barat serta jangkaan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 September depan.

Sumber.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)