PRN: Jangan Ubah Formula Melaka

Melaka Digest
By -
0

Dalam politik pilihan raya, kemenangan bukan lahir daripada slogan paling kuat atau siapa paling lantang di pentas ceramah. Ia akhirnya ditentukan oleh angka di peti undi. 
 
Atas ukuran itu, ada satu fakta yang sukar dipadam daripada sejarah PRN Melaka 2021.

Sebab itu apabila Isham Jalil menyifatkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai “tamak” kerana mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi BN, Isham Jalil kena tanya dirinya sendiri di hadapan cermin,  sejak bila mempertahankan kerusi yang rakyat sudah menangkan dianggap tamak?

BN tidak meminta 28 kerusi. Zahid juga tidak mengatakan semua kerusi Melaka mesti menjadi milik BN. Pendirian yang ditekankan ialah 21 kerusi yang sudah dimenangi perlu dipertahankan. Itu bukan tuntutan luar biasa. Dalam mana-mana strategi pilihan raya, kerusi penyandang sememangnya menjadi asas sebelum rundingan mengenai kawasan lain dimulakan.

Keputusan 2021 menunjukkan BN memperoleh 21 kerusi, PH lima dan PN dua. Daripada keseluruhan kemenangan BN, UMNO memenangi 18 kerusi, MCA dua dan MIC satu. PAS pula bertanding di bawah PN tetapi gagal memenangi satu pun kerusi yang ditandinginya.

Angka itu tidak bermaksud PAS selama-lamanya tidak boleh menang di Melaka. Landskap politik sentiasa berubah. Sokongan pengundi juga boleh berubah antara satu pilihan raya dengan pilihan raya berikutnya. Namun kalau mahu mencadangkan formula baharu, hujahnya mestilah berdasarkan data baharu yang lebih kuat daripada keputusan terakhir, bukannya sekadar seruan untuk “menghijaukan” sebuah negeri.

Di sinilah serangan Isham Jalil terhadap Zahid bagaikan sebuah dendam yang tidak pernah padam. Isham mungkin masih terasa hina bila dipecat dari UMNO, tidak boleh 'move on'.

Jika PAS atau PN mempunyai kawasan yang berdasarkan data semasa lebih berpotensi dimenangi oleh calon mereka, bentangkan. Tunjukkan kekuatan jentera, pola pengundi, penerimaan calon dan keputusan pilihan raya terkini. Rundingan berasaskan 'winnability' seperti itu wajar dipertimbangkan.

Yang tidak munasabah ialah apabila sebuah parti diminta mengorbankan kerusi yang telah dimenanginya terlebih dahulu, kemudian dilabel “tamak” apabila mahu mempertahankannya.

Lebih menarik, Isham sendiri pernah memahami logik ini.

Menjelang PRN Melaka 2021, ketika masih bersama BN, beliau pernah meramalkan gabungan itu berpotensi memenangi antara 17 hingga 21 kerusi. BN akhirnya mencapai angka maksimum ramalannya, iaitu 21.

Pada ketika itu juga, Isham mempertikaikan tuntutan kerusi daripada pihak yang dianggap tidak mempunyai kekuatan akar umbi setanding BN. Logiknya mudah, jangan serahkan kerusi yang mempunyai potensi kemenangan hanya kerana mahu memenuhi tuntutan rundingan politik.

Logik tersebut tidak salah pada 2021.

Jadi mengapa prinsip yang sama berubah menjadi “ketamakan” pada 2026?

Parti seseorang boleh berubah. Kedudukan politik seseorang juga boleh berubah. Matematik pilihan raya tidak sepatutnya berubah hanya kerana pentas tempat seseorang berucap sudah bertukar warna.

Pada masa yang sama, BN juga tidak boleh menggunakan kemenangan 2021 sebagai alasan untuk menjadi terlalu selesa. Mempertahankan 21 kerusi tidak bermaksud 21 penyandang mesti dikekalkan secara automatik. 
 
Prestasi wakil rakyat perlu dinilai. Calon yang tidak lagi diterima masyarakat mesti dipertimbangkan semula. Perubahan demografi, pengundi muda, pola pengundian PRU15 dan perkembangan politik selepas Negeri Sembilan semuanya perlu dimasukkan dalam pengiraan.

Yang perlu dipertahankan ialah kekuatan BN di 21 kawasan tersebut, bukannya kedudukan mana-mana individu.

Ini perbezaan penting.

Kerjasama dengan PAS atau PN juga tidak perlu ditutup. Jika kerjasama mampu mengurangkan pertembungan, menyatukan undi dan menghasilkan lebih banyak kemenangan, ia boleh dibincangkan secara pragmatik. Politik tidak pernah statik.

Namun kerjasama yang baik sepatutnya menghasilkan lebih banyak kerusi untuk blok yang bekerjasama, bukannya bermula dengan meminta salah satu pihak menyerahkan kerusi yang sudah dimenanginya.

Jika BN mempunyai 21 kerusi dan mahu berbincang dengan pihak lain, persoalan strategiknya sepatutnya ialah bagaimana baki tujuh kerusi boleh ditawan atau bagaimana majoriti kemenangan dapat diperkukuhkan.

Bukan bagaimana 21 itu hendak dikecilkan sebelum kempen pun bermula.

Malah formula Melaka 2021 mempunyai satu kelebihan yang tidak boleh dipandang ringan. BN bukan sekadar menang tetapi ia berjaya membina majoriti kerajaan yang stabil. Dalam politik negeri, kestabilan seperti itu mempunyai nilai kerana kerajaan tidak perlu hidup setiap hari dengan ancaman perubahan sokongan beberapa orang ADUN.

Jika formula tersebut mempunyai kelemahan, baiki.

Jika calon perlu diperbaharui, perbaharui.

Jika strategi digital perlu diperkasakan untuk menghadapi pengundi muda, lakukan.

Jika kerjasama baharu boleh menambah kemenangan, runding.

Jangan rosakkan asas yang sudah terbukti menang sebelum ada bukti bahawa formula baharu mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik.

Akhirnya, tiada satu parti pun memiliki sesuatu kerusi secara kekal. BN tetap perlu kembali kepada rakyat dan meminta mandat baharu. PAS juga mempunyai hak menawarkan calon dan meyakinkan pengundi.

Hak terakhir tetap berada di tangan rakyat Melaka.

Namun selagi ukuran terakhir ialah keputusan PRN 2021, rekodnya tetap jelas: BN 21, PH lima, PN dua.

Maka sebelum Zahid dituduh “tamak” kerana mempertahankan 21 kerusi tersebut, mungkin lebih wajar Isham Jalil berfikir apakah formula yang lebih masuk akal bagi mempertahankan kawasan yang sudah terbukti boleh dimenangi atau menyerahkannya berdasarkan andaian bahawa pihak lain mungkin mampu menang?

Melaka tidak perlukan formula baharu hanya kerana orang yang pernah mengakui formula BN itu berjaya kini berdiri di pentas yang berbeza. 
 
BN sudah membuktikan 21 kerusi melalui peti undi. Kalau PAS mahu lebih, buktikan kepada rakyat melalui kekuatan sendiri dan bukan jadikan keengganan BN menyerahkan kerusinya sebagai bukti kononnya BN tamak.
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)