Bersatu berdepan ironi paling pahit, diketepikan dalam rundingan gabungan sendiri tetapi dipelawa berbincang oleh DAP, parti yang sekian lama dijadikan hantu politiknya.
Bersatu kini berada di persimpangan yang tidak pernah dibayangkan. Ketika parti itu dilihat semakin terpinggir dalam percaturan BN-PN menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka, DAP pula secara terbuka menyatakan kesediaan mempertimbangkan kerjasama dengannya. Isyarat ini belum membuktikan kewujudan sebarang pakatan tetapi cukup untuk mengubah suhu politik menjelang PRN Melaka.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, partinya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Bersatu, demi kestabilan negara, pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat majmuk. Namun, tawaran itu bukan ‘blank cheque’. DAP menetapkan syarat agar rakyat tidak sekali lagi menjadi mangsa pengkhianatan politik.
Belum ada perjanjian, pembahagian kerusi atau rundingan rasmi yang diumumkan. Namun, bagi Bersatu, pintu yang dibuka DAP mungkin menjadi ruang paling penting untuk parti itu kembali bernafas di Melaka.
Kedudukan Bersatu dalam PN semakin mengundang persoalan selepas Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan dilaporkan mengesahkan parti itu tidak terlibat dalam rundingan PN-BN bagi menghadapi PRN Melaka. Lebih menyakitkan, Parti Wawasan Negara turut dikatakan berminat menandingi Sungai Udang dan Bemban, dua kerusi yang dimenangi Bersatu dalam PRN lalu.
Bersatu ialah komponen PN tetapi kerusinya mahu direbut dan pandangannya tidak dibawa ke meja rundingan. Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai nilai sebenar Bersatu dalam gabungan tersebut. Apakah gunanya menjadi rakan komponen jika masa depan parti boleh dibincangkan tanpa kehadirannya? Ketika sekutu sendiri tidak menyediakan tempat, lawan politik pula menghulurkan tali.
Di sinilah DAP muncul sebagai talian hayat politik Bersatu. DAP tidak menawarkan cinta atau kesetiaan tanpa syarat, sebaliknya menawarkan peluang untuk Bersatu kekal hidup. Persefahaman dengan DAP boleh membuka ruang rundingan, mengurangkan pertembungan kerusi dan memberikan Bersatu peluang mempertahankan kewujudannya dalam politik Melaka.
Bagaimanapun, DAP bukan badan kebajikan politik. Hubungan parti itu dengan BN Melaka retak selepas empat wakil rakyatnya menarik diri daripada pentadbiran negeri pada 14 Julai kerana membantah pindaan yang membolehkan pelantikan sehingga tujuh ADUN tanpa melalui pilihan raya. BN masih menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memiliki lima kerusi. Bersatu, PAS dan Wawasan masing-masing mempunyai satu kerusi.
Angka itu menunjukkan BN tidak memerlukan DAP untuk terus memerintah. DAP pula memerlukan formula baharu untuk mencabar penguasaan BN dan mengelakkan undi lawan berpecah dalam pertandingan pelbagai penjuru. Bersatu boleh membantu DAP mendekati sebahagian pengundi Melayu, manakala DAP boleh memberikan Bersatu ruang untuk terus bersaing. Kedua-duanya mempunyai kepentingan, tetapi tahap keperluan mereka tidak sama. DAP sedang mencari pilihan, sedangkan Bersatu sedang mencari jalan keluar.
Menurut pemerhati politik Melaka, halangan terbesar kepada kerjasama ini bukan pembahagian kerusi tetapi soal kepercayaan. Penyokong DAP masih mengingati kejatuhan kerajaan PH dan episod “tebuk atap”, manakala Bersatu sudah bertahun-tahun menggambarkan DAP sebagai ancaman kepada orang Melayu dan Islam. Jika kerjasama berlaku, Bersatu perlu menjelaskan mengapa parti yang selama ini dijadikan musuh kini diperlukan untuk menyelamatkan kedudukannya.
Paling jelek, selama ini Bersatu menghina UMNO dengan gelaran ‘UMDAP’, kali ini Bersatu rela memakai label apa pula di dahi mereka?
Ada juga survey dibuat oleh netizen di media sosial, adakah DAP akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka?
Ramai yang memberi jawapan, belum pasti kerana percaturan semasa menunjukkan bahawa DAP tidak terlalu memerlukan Bersatu. Sebaliknya, Bersatu yang semakin memerlukan DAP. Dalam PRN Melaka, DAP mungkin bukan pasangan baharu Bersatu tetapi boleh menjadi bot penyelamatnya. Persoalannya, sanggupkah Bersatu menaiki bot yang selama ini dikatakannya akan menenggelamkan orang Melayu?
