RCI Bukan Kitab Suci: Laporannya Boleh Disoal, Dibahas dan Ditolak

Melaka Digest
By -
0

Oleh Nordin Kardi


Ada kecenderungan aneh dalam perbahasan mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI. Sebahagian pihak bercakap seolah-olah laporan RCI merupakan sebuah dokumen suci yang tidak boleh dipersoalkan, manakala sesiapa yang mengkritiknya pula dianggap sedang mencabar institusi diraja.

Tanggapan itu bukan sahaja mengelirukan, malah berbahaya kepada budaya demokrasi dan tradisi kebertanggungjawaban awam.

Saya terbaca tulisan seorang individu yang mempunyai latar belakang akademik yang kuat dalam bidang undang-undang. Beliau mempersoalkan kewajaran PAS dan BN mengadakan persidangan untuk membahaskan laporan RCI.

Turut dipersoalkan ialah mengapa BN mahu mempertikai laporan berkenaan sedangkan RCI tersebut ditubuhkan ketika BN menjadi kerajaan.

Hujah seperti itu mencampuradukkan dua perkara yang sangat berbeza: penubuhan RCI dan kandungan laporan yang dihasilkannya.

BN dan PAS bukan mempertikaikan kuasa untuk menubuhkan RCI. Perkara yang dipersoalkan ialah dapatan, hujah, kaedah penelitian, kemungkinan percanggahan, kelengkapan bukti serta integriti proses yang membawa kepada laporan tersebut.

Menyokong penubuhan sebuah suruhanjaya tidak bermakna seseorang mesti menerima setiap perkataan dalam laporannya tanpa soal. Sebuah kerajaan boleh menubuhkan RCI dengan niat untuk mendapatkan kebenaran, namun masih berhak menilai sama ada laporan akhirnya benar-benar memenuhi mandat yang diberikan. 
 
RCI mengemukakan dapatan, bukan menjatuhkan hukuman

RCI bukan mahkamah yang menjatuhkan hukuman muktamad. Ia ditubuhkan untuk menyiasat sesuatu perkara, menilai keterangan dan mengemukakan dapatan serta syor.

Perbezaan ini pernah diperjelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Members of the Royal Commission of Enquiry v Tun Dato’ Seri Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim [2011] 6 MLJ 490.

Mahkamah memutuskan bahawa suruhanjaya berkenaan bukan badan pembuat keputusan undang-undang. Laporannya mengandungi dapatan dan syor yang tidak mengikat individu yang dinamakan, malah tidak mengikat kerajaan.

Mahkamah pada masa sama memutuskan bahawa dapatan tersebut tidak boleh diketepikan melalui semakan kehakiman dalam keadaan kes berkenaan.

Dua prinsip ini tidak boleh dicampuradukkan.

Tidak boleh disemak oleh mahkamah tidak bermaksud tidak boleh dibahas oleh Parlimen. Tidak mengikat kerajaan pula bermaksud kerajaan berhak menerima, menolak atau meneliti semula syor yang dikemukakan.

Perbahasan Parlimen bukan permohonan untuk membatalkan laporan melalui perintah mahkamah. Perbahasan ialah pelaksanaan fungsi semak dan imbang oleh wakil rakyat.
 
Pengalaman Britain membuktikan laporan suruhanjaya boleh dibahas

Amalan RCI di Malaysia banyak dipengaruhi tradisi sistem Westminster. Atas sebab itu, pengalaman United Kingdom wajar dijadikan rujukan apabila ada pihak mendakwa laporan Suruhanjaya Diraja tidak boleh dipersoalkan.

Contoh yang jelas ialah Suruhanjaya Wakeham, sebuah Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan pada 1999 bagi meneliti reformasi House of Lords.

Suruhanjaya itu menghasilkan laporan A House for the Future dengan 132 syor. Laporan tersebut bukan diterima sebagai kata putus yang tidak boleh disentuh. Ia dibahaskan di House of Lords pada 7 Mac 2000 dan kemudian di House of Commons pada 19 Jun 2000.

Rekod rasmi House of Commons menyatakan bahawa perbahasan tersebut diwujudkan bagi memberikan peluang kepada ahli Parlimen mengulas laporan Suruhanjaya Diraja. Kerajaan Britain ketika itu turut mengakui belum membuat keputusan muktamad terhadap cadangan-cadangan khusus kerana mahu terlebih dahulu mendengar pandangan Parlimen. Hansard House of Commons, 19 Jun 2000

Malah, Gerald Kaufman, seorang anggota Suruhanjaya Wakeham sendiri, mengakui di hadapan Jawatankuasa Pentadbiran Awam House of Commons:

“The Government has got every right to reject a Royal Commission Report.”


Beliau menegaskan bahawa kerajaan juga berhak menolak sebahagian besar laporan atau mengetepikan keseluruhannya. Rujuk: Rekod Jawatankuasa House of Commons, 24 Januari 2002

Pengalaman Wakeham membuktikan satu prinsip yang mudah: status diraja pada sesebuah suruhanjaya memberikan kewibawaan kepada proses siasatan, tetapi tidak menghapuskan hak Parlimen untuk menilai hasil kerjanya.

Wakeham juga bukan suatu “kes” mahkamah. Ia merupakan Suruhanjaya Diraja yang laporannya dibahaskan, dikritik dan sebahagian cadangannya tidak diterima kerajaan.
 
Ahli RCI juga tertakluk kepada penelitian

Jika sebuah laporan boleh dipersoalkan, proses yang menghasilkan laporan tersebut juga boleh diteliti.

Ahli Parlimen berhak bertanya sama ada seseorang anggota RCI mempunyai konflik kepentingan, sama ada semua saksi penting telah dipanggil, sama ada bukti material telah dipertimbangkan dan sama ada kesimpulan yang dibuat benar-benar disokong oleh keterangan.

Perkara yang sama terpakai jika timbul persoalan mengenai integriti ahli RCI semasa melaksanakan tugas, bukannya sekadar menyerang latar belakang atau peribadi mereka tanpa asas.

Kritikan mesti bersandarkan fakta. Tuduhan peribadi tanpa bukti tetap boleh menimbulkan implikasi undang-undang, khususnya apabila dibuat di luar Parlimen.

Ahli Parlimen menikmati perlindungan tertentu bagi perkara yang disebut atau undi yang diberikan ketika mengambil bahagian dalam prosiding Parlimen di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada batas yang ditetapkan undang-undang.

Tradisi ini mempunyai persamaan dengan Artikel IX Bill of Rights 1689 di Britain, yang melindungi kebebasan ucapan serta perbahasan dalam Parlimen daripada dipersoalkan di mahkamah atau di luar Parlimen.

Perlindungan itu tidak bermaksud ahli Parlimen boleh melakukan fitnah sesuka hati. Maksudnya, wakil rakyat mesti mempunyai ruang yang cukup untuk melaksanakan penelitian terhadap institusi, laporan dan tindakan kerajaan tanpa ditakut-takutkan.
 
Jangan jadikan institusi diraja sebagai perisai politik

Lebih membimbangkan apabila nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diheret untuk menakutkan rakyat daripada mempersoalkan laporan RCI.

RCI dilantik melalui proses yang diperuntukkan undang-undang. Ahli suruhanjaya kemudian menjalankan siasatan, menilai bukti dan menulis laporan berdasarkan pertimbangan mereka sendiri.

Laporan itu ialah hasil kerja anggota suruhanjaya. Ia bukan titah peribadi Seri Paduka Baginda dan bukan penghakiman Baginda terhadap setiap fakta, individu atau kesimpulan yang terkandung di dalamnya.

Mempersoalkan kaedah, dapatan atau integriti proses RCI tidak sama dengan mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Menggunakan nama institusi diraja untuk menutup ruang perbahasan hanya menjadikan institusi tersebut sebagai perisai kepada kepentingan politik.

Perbuatan seperti itu tidak mempertahankan institusi diraja. Sebaliknya, ia menyeret institusi berkenaan ke tengah gelanggang politik yang sepatutnya diurus oleh kerajaan, Parlimen dan pihak yang menghasilkan laporan.
 
Laporan yang kukuh tidak perlu takut kepada soalan

Sebuah laporan RCI yang dibina atas bukti kukuh, proses adil dan pertimbangan yang konsisten sepatutnya mampu bertahan apabila disoal.

Jika laporan itu tepat, perbahasan akan mengukuhkan kewibawaannya. Jika terdapat kelemahan, percanggahan atau bukti penting yang diketepikan, rakyat berhak mengetahuinya.

RCI bukan kitab suci. Ahlinya bukan maksum dan laporannya bukan keputusan mahkamah yang menentukan seseorang bersalah.

Parlimen tidak harus menjadi tempat untuk mengesahkan laporan secara automatik. Tugas Parlimen ialah meneliti, bertanya dan menuntut penjelasan.

Menyoal laporan RCI bukan penderhakaan. Membahaskannya bukan penghinaan terhadap institusi diraja. Tindakan menakutkan rakyat supaya menerima sesuatu laporan tanpa soal ialah politik yang tidak sihat dan tidak berniat memandaikan masyarakat.

Negara yang matang tidak takut kepada soalan. Hanya hujah yang lemah memerlukan ketakutan sebagai benteng.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)