Tuan Yang di-Pertua:
Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Tenggara.
YB Tenggara (Manndzri Yasin):
Auzu billahi minash-shaitanir-rajim. Bismillahir Rahmanir Rahim. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua memberi ruang dan peluang kepada Tenggara untuk bahas Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Lembaga Tabung Haji ini.
Tuan Yang di-Pertua, di tangan saya ini ada senaskah Hansard bertarikh 13 Februari 1969 yang merupakan dokumen keramat yang mencatat detik dan menjadi saksi bisu membentangkan sebuah visi agung, membebaskan uang keringat umat Islam daripada cengkeraman riba demi menyahut seruan ke Baitullah.
Ini adalah Hansard pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Urusan dan Tabung Haji yang dibentang oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein. Lembaran usang ini bukan sekadar tinta di atas kertas, tapi sumpah setia amanah kudus para pengasas yang meletakkan benteng maruah ekonomi Melayu Islam di bawah lembayung daulat sebuah institusi bernama Lembaga Urusan dan Tabung Haji.
Dalam perbahasan Laporan RCI ini, Tenggara bangkit untuk menegaskan satu hal bahawasanya Tenggara tidak akan sesekali membiarkan institusi suci ini dirobek oleh kepincangan tadbir urus mahupun dijadikan bola politik yang ditendang sesuka hati oleh sesiapa pun hingga meruntuhkan kepercayaan jutaan pendeposit yang mengalirkan air mata RM1, RM2 semata-mata demi mengejar mabrurnya sebuah haji.
Tuan Yang di-Pertua, dalam beberapa siri pilihan raya kecil, kerap didengar perkataan "sakau-menyakau" ini yang berlaku dalam Lembaga Tabung Haji dan ia menjadi modal politik dalam pilihan raya. Dan jika benar berbilion ringgit telah dirompak atau disakau, mengapa sehingga ke hari ini tiada seorang pun individu yang dihadapkan ke mahkamah atau didakwa atas tuduhan menipu uang pendeposit Tabung Haji?
Dalam laporan RCI, tiada langsung menamakan atau mengaitkan mana-mana pemimpin politik terutamanya daripada parti saya, UMNO Barisan Nasional, secara langsung dengan kecurian atau kehilangan dana. Kalau ada, di mana dalam laporan setebal 211 muka surat wujudnya kecurian uang atau sakau oleh mana-mana pemimpin parti politik? Dan mana bukti hitam putih yang menyatakan menteri atau ahli politik telah memasukkan duit pendeposit ke dalam poket mereka sendiri?
Tuan Yang di-Pertua, laporan RCI jelas menunjukkan isu yang berlaku adalah berkaitan dengan kelemahan tadbir urus, kaedah perakaunan, dan strategi pelaburan oleh pihak pengurusan profesional. Jadi adakah adil untuk pihak tertentu menukar kegagalan teknikal eksekutif menjadi peluru fitnah politik dengan menuduh parti lain ataupun parti yang sebelumnya ini menyakau?
Tabung Haji dipertikai pembayaran hibah, dividen tinggi kepada jemaah muassasah pada era Barisan Nasional dahulu, saya sebut. Orang Tenggara ramai yang pesan kepada saya suruh tanya soalan ini. Jadi saya mewakili orang Tenggara nak tanya pada kerajaan: formula apa yang diguna pakai dahulu semasa era yang macam tak betul itu, dividen dan hibah tinggi 6.5%, tapi sekarang 3.5% sahaja?
Dan ketika zaman suatu ketika dulu, kos pengerjaan haji muassasah pula terbalik. Dulu kos sekitar RM9,578, sekarang naik sehingga RM33,300. Kan pelik? Dan pada rayuan-rayuan, istri dapat suami tak dapat, suami dapat istri tak dapat, konfem kena bayar yang RM33,000 itu.
Jadi adakah salah apabila sebuah kerajaan berusaha memastikan Mak Cik Kiah (sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri pagi tadi) di kampung dan Pak Cik di FELDA mendapat pulangan dividen yang tinggi hasil simpanan mereka? Dan adakah berdosa apabila kerajaan dahulu memastikan subsidi haji kekal supaya umat Islam boleh ke Tanah Suci dengan kos yang murah dan mampu biaya?
Dan itulah yang dinyatakan dalam Rang Undang-Undang yang dibacakan oleh Allahyarham Tun Razak ini. Tujuan menubuhkan Tabung Haji adalah untuk membantu pendeposit menyimpan duit dengan selamat, dan segala keuntungan pelaburan Tabung Haji hendaklah digunakan untuk membantu pendeposit menunaikan ibadah hajinya.
Tuan Yang di-Pertua, Tenggara juga nak menyanggah dengan tegas kenyataan Yang Berhormat Menteri pagi tadi mendakwa bahawa pengurusan lama Lembaga Tabung Haji langsung tidak membalas atau memberi maklum balas terhadap Bank Negara dan Jabatan Audit Negara, dan ia adalah satu cubaan untuk mengelirukan Dewan.
Saya tadi belek-belek dekat Facebook, ada keluar satu nota pada 26 Januari 2016, dengan izin dalam bahasa Inggeris:
"In relation to Lembaga Tabung Haji, the institution has proactively taken appropriate measures to further strengthen its risk management proactively, both on its own initiative and in response to earlier engagement with the Bank. This will reinforce a sustainable and healthy financial position of the institution going onward."
Fakta pertama, ada tindakan fizikal, bukan membisu. Jangan putar belit fakta sejarah, Yang Berhormat Menteri. Rekod rasmi surat, saya sebut dah tadi, pada 2016 sebaik sahaja menerima teguran Bank Negara Malaysia pada akhir 2015, pengurusan Tabung Haji telah mengambil tindakan kongkrit. Tabung Haji telah memindahkan peruntukan sebanyak RM300 juta ke dalam rizab mereka. Ini adalah bukti bertulis bahawa ada maklum balas dan tindakan intervensi yang dilakukan. Dan bagaimana Yang Berhormat Menteri boleh kata tiada maklum balas langsung?
Fakta kedua, maklum balas bertulis kepada Jabatan Audit Negara. Tabung Haji tidak pernah lari dari pengauditan. Pihak Tabung Haji telah mengemukakan maklum balas rasmi melalui pelarasan polisi kemerosotan nilai (impairment) pada tahun 2017, walaupun kaedah perakaunan RAV itu dipertikaikan. Hari ini melalui laporan RCI, hakikatnya ialah maklum balas dan hujah teknikal yang dikemukakan oleh pengurusan Tabung Haji dan juruaudit mereka pada waktu itu, Ketua Audit Negara ambil maklum balas tersebut, mengeluarkan Emphasis of Matter (penegasan perkara) dalam laporan penyata kewangan 2017. Jika TH tidak respon, pastinya tiada dokumen untuk diaudit.
Tuan Yang di-Pertua, janganlah kerana mahu menuding jari kepada pentadbiran terdahulu, menteri sanggup menyatakan kononnya lima siri surat amaran daripada Bank Negara, teguran Ketua Audit Negara langsung tidak pernah diendahkan dan tiada tindakan yang diambil.
Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, pelaporan RCI ini skopnya tidak boleh terhenti setakat tahun 2020 sahaja. Tenggara bercadang supaya ia mestilah sampai ke tahun 2026 ini kalau boleh. Sebab dalam RCI ini, perkara yang paling penting sekali adalah tentang langkah-langkah mitigasi, pembaikan syor yang ingin dilaksanakan bagi menyelamatkan Tabung Haji.
Berdasarkan dapatan akhir RCI, terdapat empat cadangan alternatif yang telah dipertimbangkan untuk memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji. Boleh dilihat pada muka surat 115 hingga 117 dalam buku laporan RCI:
Suntikan dana hibah terus oleh kerajaan;
Aktifkan jaminan kerajaan berdasarkan Seksyen 24 Akta 535;
Wujudkan aset tertunda; dan
Memindahkan aset kurang berdaya saing kepada SPV untuk peroleh pemulihan Tabung Haji.
Pada akhirnya kabinet memilih cadangan yang keempat dengan menubuhkan SPV iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang ramai telah menyebut dalam Dewan ini. Dan UJSB mengambil alih aset yang dikatakan bermasalah bernilai RM9.63 bilion, ganti dengan instrumen sukuk kupon sifar bernilai RM19.9 bilion bagi mencantikkan buku akaun.
Kerajaan mengeluarkan dua siri sukuk dengan sokongan jaminan kerajaan bagi menggantikan nilai aset untuk tutup defisit kewangan dan membolehkan Tabung Haji mengisytiharkan hibah (yakni keuntungan) kepada pendeposit. Adakah masalah ini benar-benar selesai atau ia sekadar disorokkan di bawah permaidani MOF sebagai hutang jangka panjang?
Mengapakah sebanyak 29 aset hartanah bernilai tinggi dan 106 pegangan ekuiti strategik milik mutlak Tabung Haji perlu dipindahkan keluar secara tergesa-gesa? Siapa sebenarnya yang untung daripada pemindahan ini? Pendeposit kampung atau pasaran korporat?
Sukuk Siri 1 berjumlah RM10 bilion (nilai nominal RM13.2 bilion) untuk tempoh 7 tahun dengan Yield to Maturity 4.05% setahun. Sukuk Siri 2 berjumlah RM9.6 bilion (nilai nominal RM14.3 bilion) untuk tempoh 10 tahun dengan Yield to Maturity 4.10% setahun.
Sukuk Siri 1 yang sepatutnya matang pada Mei 2026, tahun ini. Tenggara nak tanya kepada kerajaan: Sukuk 1 ini dah matang, kerajaan dah habis bayar ke belum kepada Tabung Haji? Jika belum bayar, kenapa tak bayar lagi? Tenggara dapat maklumat hanya RM300 juta (RM100 juta pada 2019 dan RM200 juta pada 2020) dibayar daripada keseluruhan jumlah RM10 bilion yang telah ditetapkan. Jadi kalau benda ini benar, Tenggara nak bagi tahu adakah kerajaan masih berhutang dengan Tabung Haji sebanyak RM9.7 bilion yang patut dibayar pada Mei 2026 tapi masih belum dibuat?
Demikian Tuan Yang di-Pertua, RCI telah mengeluarkan beberapa syor kepada UJSB sebagai fleksibiliti untuk tebus sukuk. Syor telah dibuat tetapi pelaksanaannya masih gagal. Apakah syor yang diberikan ada pada muka surat 125 dokumen ini:
Dengan tunai;
Pemindahan semula aset-aset Lembaga Tabung Haji; dan
Pemindahan aset-aset kerajaan.
Berdasarkan syor yang dikeluarkan RCI, Tenggara nak tanya lagi kepada kerajaan: kenapa perlu pelanjutan tempoh matang Sukuk Siri 1 yang sepatutnya matang Mei 2026 tetapi dilanjutkan 10 tahun lagi? Adakah kerajaan nak menyebabkan masalah Lembaga Tabung Haji berterusan sehingga 2036?
Tenggara nak tanya ke mana perginya peruntukan tahunan lebih RM1 bilion setahun yang telah disediakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu sejak tahun 2019 khusus untuk menebus sukuk-sukuk berkenaan?
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan penyelidikan yang Tenggara buat, minta sikit masa sikit lagi Tuan Yang di-Pertua. Syarikat SPV ini namanya Urusharta Jamaah Sdn Bhd, siapakah pasukan pengurus SPV ini? Apakah statusnya sekarang, adakah rugi, untung, atau membiak harta Tabung Haji yang diuruskan? Dan Tenggara nak tanya pada kerajaan, dan adakah UJSB ini juga perlu diaudit?
Adakah tidak adil audit sehingga 2020 sahaja sedangkan tempoh selepas itu pun banyak transaksi yang diragui terutamanya yang melibatkan terbitan sukuk yang dibayar? Tenggara dapat maklumat UJSB lepas ambil alih aset Tabung Haji, they're making money. Tenggara ada dengar dakwaan UJSB untung, mampu bayar bonus kepada pegawai-pegawainya sedangkan aset yang diambil adalah daripada Tabung Haji.
Dan Tenggara turut nak jawapan jujur daripada kerajaan sedikit, Tuan Yang di-Pertua. Benarkah dakwaan UJSB diurus dan pentadbirannya dilaksanakan menerusi Pro-Khas Sdn Bhd? Sedia kepakaran urus aset yang dipindahkan. Jika benar, di manakah sensitiviti kerajaan sebelum ini? Kerajaan yang menguruskan ini, PH 1.0 pada ketika itu, apabila urus tadbir aset-aset suci Islam diterajui oleh kepimpinan yang bukan Islam. Adakah terdapat agenda di sebalik itu?
Dan akhirnya adalah aset institusi ini hampir tergadai kepada bukan Islam. Ini disebut dalam Dewan ini, ini bukan fitnah, bukan rekaan, dan bukan modal politik kosong, dan tak ada niat langsung pun untuk perkauman.
Hansard Dewan Rakyat 22 Julai 2020 jelas merakamkan pengesahan rasmi bahawa pelupusan 76.2% tanah ladang milik Tabung Haji Plantations berlaku pada 2019. Tapi berjaya disekat, kalau tidak berjaya disekat saya pun tak tahu apa yang berlaku.
Dalam Hansard 8 Disember 2020 pula, terbongkar surat Unit Perancang Ekonomi (kini Kementerian Ekonomi) mendedahkan bahawa tanah subur seluas 6,514 hektar di Sarawak hampir diserahkan secara murah RM170 juta kepada syarikat swasta Tomako Plantation. Siapa Tomako Plantation ini? Syarikat swasta bukan bumiputera, syarikat perniagaan keluarga (family-owned business) berpangkalan di Lahad Datu, Sabah, dipimpin oleh Frank Lim, Pengarah Urusan. Kalau tak percaya boleh semak di mana-mana alam sosial.
Dan akhirnya Tuan Yang di-Pertua, sedikit daripada saya sebagai penambahan untuk penggulungan. Ini bukan serangan peribadi terhadap persoalan serius yang menyentuh kredibiliti dan integriti RCI. Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi Tabung Haji selepas beliau menjadi Pesuruhjaya RCI menimbulkan syak wasangka yang tidak boleh dipandang ringan.
Rakyat berhak tahu bila pelantikan itu dirancang, siapa mencadangkan, dan sama ada ia sudah dibayangkan ketika siasatan masih berjalan. Lebih membimbangkan, siapa yang membentangkan dapatan RCI kepada Kabinet? Adakah badan siasatan sendiri atau pihak yang kemudian mengetuai institusi yang disiasat?
Tabung Haji boleh memberi penjelasan, tetapi jangan sampai pihak yang disiasat atau berkepentingan tampil seolah-olah menjadi jurucakap kepada hasil siasatan. Garisan antara penyiasat dan yang disiasat tidak boleh kabur. RCI ialah badan diraja yang mesti bebas dan telus.
Akhirnya, sebagai penggulungan, saya ingin menyebut firman Allah SWT, tiga firman Ya Berhormat Tuan Yang di-Pertua.
Pertama, daripada Surah az-Zariyat ayat 10:
Auzu billahi minash-shaitanir-rajim. Bismillahir Rahmanir Rahim. Qutilal-kharrāṣūn.
(Celaka dan terkutuklah orang-orang yang banyak berdusta.)
Kedua, Al-Baqarah ayat 9:
Yukhādi‘ūnallāha walladhīna āmanū wa mā yakhda‘ūna illā anfusahum wa mā yash‘urūn.
(Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri tanpa mereka sedari.)
Dan yang ketiga:
Wa lā talbisul-ḥaqqa bil-bāṭili wa taktumul-ḥaqqa wa antum ta‘lamūn.
(Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar dengan yang batil, dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran itu sedangkan kamu mengetahuinya.)
Sebagai kesimpulan, Tuan Yang di-Pertua, Tenggara cadangkan dua hal:
RCI 2.0 jika boleh dengan izin Tuanku; dan
UJSB itu sendiri pun kalau perlu kita buat semakan RCI juga kerana difahamkan sekarang dalam keadaan rugi menguruskan harta-harta umat Islam yang dipindahkan daripada Tabung Haji.
Sekian, assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Yang di-Pertua:
Terima kasih Yang Berhormat
VIDEO: Klik di SINI
