RCI TH Mahu Cari Kebenaran, Mengapa Ketua Audit Negara Tidak Didengar?

Melaka Digest
By -
0

Jika tujuan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah untuk mencari kebenaran secara menyeluruh, maka satu persoalan besar mengenai RCI Lembaga Tabung Haji masih belum terjawab.


Persoalan ini bukan perkara kecil kerana bekas Ketua Audit Negara (2017 – 2019) Tan Sri Dr. Madinah Mohamad sendiri menjelaskan bahawa pengauditan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Financial Position Review (FPR) yang dilaksanakan oleh PwC bukan dua penugasan yang mempunyai kedudukan, skop dan asas penilaian yang sama. Menurut beliau, pengauditan JAN merupakan audit statutori yang dijalankan mengikut Akta Audit 1957 serta piawaian pengauditan ISA dan ISSAI, manakala FPR oleh PwC merupakan satu penilaian khas berdasarkan Terms of Reference yang ditentukan oleh pihak yang melantik mereka.

Perbezaan ini sangat penting. Satu ialah audit yang dilaksanakan berasaskan mandat statutori dan piawaian pengauditan yang ditetapkan, sementara satu lagi ialah penilaian khusus yang ruang lingkupnya dibentuk berdasarkan terma penugasan tertentu. Justeru, kedua-duanya tidak boleh diletakkan sebelah-menyebelah dan dibandingkan secara mudah seolah-olah kedua-dua pihak sedang melakukan kerja yang sama dengan ukuran yang sama.

Dalam isu rosot nilai misalnya, Madinah menjelaskan bahawa JAN menjalankan audit berdasarkan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) 139, iaitu piawaian yang berkuat kuasa ketika itu. PwC pula mengambil kira Financial Reporting Standards Implementation Committee (FRSIC) Consensus 14. Menurut Madinah, Malaysian Institute of Accountants menyatakan bahawa FRSIC Consensus 14 bukan merupakan piawaian mandatori. Atas sebab itulah beliau menegaskan bahawa “kedua-dua penugasan oleh JAN dan PwC tidak boleh dibandingkan secara langsung.”

Kenyataan itu membawa implikasi yang besar. Jika terdapat perbezaan asas antara pendekatan JAN dan PwC dalam menilai kedudukan kewangan Tabung Haji, maka penjelasan pihak yang menjalankan audit statutori sewajarnya menjadi antara keterangan penting untuk didengar dan diuji. Di sinilah kedudukan Madinah menjadi sangat relevan. Beliau bukan pemerhati luar, sebaliknya bekas Ketua Audit Negara yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai pendekatan pengauditan JAN dan asas yang digunakan ketika menilai akaun Tabung Haji.

Lebih penting, beliau bukan enggan hadir. Beliau sudah datang. Madinah mendedahkan bahawa beliau hadir ke pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari dan waktu yang ditetapkan ketika prosiding RCI TH berlangsung. Beliau menunggu lebih daripada 30 minit, namun akhirnya namanya tidak dipanggil. Menurut beliau, “Saya sudah pergi ke sana pada hari dan masa ditetapkan di Jakim. Saya menunggu lebih dari 30 minit tetapi terkilan, akhirnya tidak dipanggil.”

Beliau kemudian membuat kenyataan yang lebih berat apabila berkata, “Hak saya untuk didengari dinafikan apabila tidak dipanggil dalam prosiding itu walaupun sudah hadir dan menunggu di situ.” Inilah persoalan yang sepatutnya mendapat perhatian. RCI tidak diwajibkan menerima pandangan JAN secara bulat-bulat dan RCI juga bebas menilai dapatan PwC berdasarkan meritnya. Namun apabila terdapat dua pendekatan yang berbeza, bukankah proses pencarian fakta yang menyeluruh sepatutnya mendengar kedua-duanya?

Jika terdapat perbezaan antara MFRS 139 dan pendekatan yang mengambil kira FRSIC Consensus 14, bukankah prosiding RCI merupakan tempat terbaik untuk menguji perbezaan tersebut? Lebih-lebih lagi apabila individu yang mengetuai institusi audit negara ketika tempoh berkenaan sudah berada di lokasi dan bersedia untuk memberikan penjelasan. Sebab itu isu ini bukan lagi semata-mata soal teknikal perakaunan, sebaliknya menjadi persoalan mengenai kelengkapan proses siasatan itu sendiri.

Hari ini, laporan RCI digunakan untuk membuat penilaian besar terhadap pengurusan Tabung Haji pada suatu era. Jika laporan tersebut mahu dijadikan asas untuk menghakimi keputusan masa lalu, proses yang membawa kepada kesimpulan itu juga mestilah bersedia untuk diperiksa dengan piawaian yang sama ketat. Rakyat berhak bertanya bukan sahaja apa yang berlaku kepada Tabung Haji, tetapi juga bagaimana kesimpulan itu dibentuk, keterangan siapa yang diambil kira dan siapa yang tidak didengar.

Bayangkan keadaan ini, sebuah RCI diwujudkan untuk menyiasat kedudukan Tabung Haji, Jabatan Audit Negara ialah institusi yang menjalankan audit statutori, bekas Ketua Audit Negara hadir sendiri, beliau bersedia memberikan keterangan dan beliau menunggu, namun beliau tidak dipanggil. Sekiranya ada alasan kukuh mengapa keterangannya tidak diperlukan, alasan itu sewajarnya dijelaskan. Kerana semakin besar sesuatu laporan digunakan untuk membentuk persepsi terhadap masa lalu, semakin besar juga keperluan untuk memastikan proses yang menghasilkannya benar-benar menyeluruh.

RCI boleh mempertahankan dapatan akhirnya. Namun selagi tidak dijelaskan mengapa Ketua Audit Negara yang sudah hadir tidak dipanggil, persoalan tentang kelengkapan siasatan itu tidak akan hilang kerana kebenaran bukan hanya bergantung pada apa yang didengar tetapi juga pada siapa yang tidak diberi peluang untuk didengar.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)