Batal Larangan Memoir Rejimen Ke-10: Jangan Guris Hati Wira Negara

Melaka Digest
By -
0

Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan pada Julai 2026, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membatalkan larangan terhadap memoir Shamsiah Fakeh. Larangan terhadap Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah turut ditarik balik. Kerajaan sememangnya mempunyai kuasa untuk mengubah sesuatu keputusan, namun persoalan yang lebih besar ialah apakah yang berubah sehingga penilaian terhadap kedua-dua buku tersebut berubah dalam tempoh yang begitu singkat?

Pada 16 April 2026, Kementerian Dalam Negeri sendiri mempertahankan larangan terhadap kedua-dua buku berkenaan. KDN menjelaskan tindakan tersebut dibuat selepas penelitian terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam. Lebih serius, kementerian turut menyatakan bahawa pemantauan serta maklumat risikan menunjukkan terdapat kecenderungan bahan berunsurkan komunisme diedarkan secara lebih terbuka sehingga boleh membawa kepada normalisasi dan pengagungan fahaman tersebut.

Itu bukan tuduhan pembangkang atau persepsi media sosial. Itu merupakan pendirian rasmi Kementerian Dalam Negeri.

Namun hanya tujuh hari kemudian, pada 23 April, Saifuddin mengumumkan bahawa kerajaan sedang dalam proses membatalkan pengharaman beberapa buku berkaitan komunisme, termasuk memoir Shamsiah Fakeh dan Komrad Asi. Perkara tersebut dilaporkan telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan KDN ketika itu sedang menunggu maklum balas Jabatan Peguam Negara sebelum pembatalan dimuktamadkan.

Di sinilah kerajaan perlu memberikan penjelasan yang benar-benar meyakinkan. Pada 16 April, buku tersebut dikaitkan dengan pertimbangan keselamatan negara serta risiko normalisasi ideologi komunisme. Hanya seminggu kemudian, kerajaan sudah bergerak ke arah membatalkan larangannya. Apakah yang berlaku dalam tempoh tujuh hari itu? Adakah Cawangan Khas membuat penilaian baharu? Adakah Jabatan Peguam Negara berpandangan alasan keselamatan sebelumnya tidak lagi mencukupi? Adakah Kabinet menerima maklumat baharu yang tidak ada ketika larangan dipertahankan? Atau keputusan awal KDN dibuat tanpa penelitian yang secukupnya?

Soalan-soalan ini perlu dijawab kerana sejarah komunisme di Malaysia bukan sekadar sejarah yang dibaca di dalam buku atau dibincangkan di bilik kuliah. PKM pernah melancarkan pemberontakan bersenjata, menyerang anggota keselamatan, balai polis, ladang, lombong dan pelbagai sasaran lain. Negara membayar harga yang sangat mahal untuk menamatkan ancaman tersebut.

Rekod rasmi Polis Diraja Malaysia menunjukkan sebanyak 1,346 anggota polis terkorban sepanjang Darurat. Selain itu, 519 anggota daripada pasukan keselamatan lain turut kehilangan nyawa ketika memerangi komunis. Angka itu tidak sepatutnya dibaca sekadar sebagai statistik. Di belakang setiap angka terdapat seorang manusia, sebuah keluarga dan sebuah kehilangan. Ada isteri yang kehilangan suami, ada anak yang membesar tanpa bapa, ada ibu bapa yang kehilangan anak dan ada anggota yang terpaksa membawa trauma melihat rakan seperjuangan terkorban di hadapan mata.

Sebab itulah keputusan kerajaan dalam perkara seperti ini berpotensi mengguris hati veteran, anggota keselamatan serta keluarga mereka sekiranya tidak disertai penjelasan yang telus dan penuh sensitiviti.

Tragedi Bukit Kepong sahaja sudah cukup menjadi peringatan betapa mahalnya harga yang dibayar negara ketika menghadapi ancaman komunis. Pada 23 Februari 1950, kira-kira 185 anggota komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Anggota polis yang mempertahankan balai diminta menyerah diri, namun mereka memilih untuk terus melawan. Berek keluarga dibakar, wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa, manakala 19 daripada 21 anggota polis dan polis bantuan yang mempertahankan kedudukan mereka terkorban.

Itulah realiti sejarah yang tidak boleh dipisahkan daripada apa-apa perbincangan mengenai PKM dan Rejimen Ke-10.

Tidak salah mempelajari sejarah Shamsiah Fakeh. Tidak salah membaca memoir seseorang yang pernah berada bersama PKM. Sebuah negara yang matang tidak perlu takut kepada sejarah. Namun sejarah mesti dibaca secara lengkap, bukan dengan memberikan ruang yang besar kepada cerita mereka yang mengangkat senjata sambil mengecilkan pengorbanan mereka yang menjadi sasaran senjata tersebut.

Jika kerajaan mahu mempertahankan pembatalan larangan atas nama kebebasan intelektual dan keterbukaan sejarah, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab moral memastikan generasi baharu mengetahui keseluruhan harga yang pernah dibayar oleh negara. Ceritakan juga Bukit Kepong. Ceritakan pengorbanan Cawangan Khas. Ceritakan anggota polis dan tentera yang terbunuh dalam serangan hendap. Ceritakan keluarga yang kehilangan ayah, suami dan anak akibat keganasan komunis.

Jangan sampai generasi baharu mengenali tokoh-tokoh PKM dengan begitu terperinci, namun tidak mengenali nama mereka yang gugur mempertahankan keamanan negara.

Lebih penting, Saifuddin perlu menjelaskan proses yang membawa kepada keputusan pembatalan tersebut. Jika penilaian baharu Cawangan Khas menjadi asas keputusan, nyatakan kepada rakyat. Jika pembatalan dibuat berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara, jelaskan perkara itu. Jika ia merupakan keputusan dasar Kabinet walaupun KDN sebelumnya membangkitkan risiko keselamatan serta normalisasi komunisme, kerajaan juga perlu berani menyatakannya dengan terbuka.

Kerajaan mempunyai hak untuk membuat keputusan, namun rakyat mempunyai hak untuk mengetahui alasannya. Veteran serta keluarga anggota keselamatan pula mempunyai hak moral yang jauh lebih besar untuk mengetahui mengapa sesuatu yang pada satu minggu dianggap mempunyai implikasi terhadap keselamatan dan ketenteraman awam boleh berubah arah hanya beberapa hari kemudian.

Ini bukan soal mengharamkan sejarah. Ini juga bukan soal menutup ruang perbincangan akademik. Persoalannya ialah bagaimana sebuah kerajaan menghormati sejarah negara serta sensitiviti mereka yang pernah mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankannya.

Shamsiah Fakeh boleh mempunyai memoirnya dan sejarah boleh terus dibaca serta diperdebatkan. Namun negara jangan sesekali membiarkan memoir mereka yang pernah berada bersama gerakan bersenjata mendapat ruang yang lebih besar daripada memori anggota polis dan tentera yang gugur menentang gerakan tersebut.

Kerajaan jangan terlalu ghairah mahu dilihat terbuka dan progresif sehingga terlupa bahawa keamanan yang membolehkan rakyat membaca buku itu hari ini turut dibayar dengan darah anggota keselamatan.

Buku boleh dibuka semula. Luka keluarga wira negara tidak semudah itu untuk ditutup.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)